MAJLIS BELIA MALAYSIA

6 inisiatif belia

pm_hbn2011Oleh Johari Ibrahim, Magendran Rajagopal, Haika Khazi dan Fakhrrurazi Usuldin

bhnews@bharian.com.my 2011/05/29

Pengiktirafan pacu kepemimpinan masa depan negara: PM PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak, semalam mengumumkan enam inisiatif untuk kepentingan belia di negara ini selaras pengiktirafan terhadap golongan itu sebagai pemangkin transformasi negara serta pelapis kepemimpinan pada masa depan. Inisiatif itu diumumkan Perdana Menteri ketika berucap melancarkan program Himpunan Sejuta Belia Putrajaya 2011 di sini petang semalam.

Enam inisiatif itu adalah: Mewujudkan Taman Belia di Putrajaya selaras hasrat kerajaan menjadikan pusat pentadbiran negara itu sebagai bandar raya mesra belia. Perbadanan Putrajaya diarah menyediakan kemudahan infrastruktur bagi taman itu termasuk tapak perkhemahan; Mewujudkan Parlimen Belia untuk membolehkan wakil yang dipilih belia menyatakan pandangan, cadangan dan cita rasa golongan itu kepada kerajaan. Ia adalah persediaan untuk masa depan negara serta usaha kerajaan memahami pandangan, cadangan dan cita rasa belia bagi membolehkan wakil golongan itu berbahas usul dan kerajaan akan menimbangkannya; Mewujudkan portal belia sebagai satu galeri untuk memaparkan kegiatan belia di seluruh negara; Memperkenalkan Ikon Belia bagi menonjolkan tokoh belia dan remaja negara ini yang boleh menjadi idola kepada rakan lain. Mereka akan menjadi contoh kepemimpinan kepada belia; Program My Corps untuk memupuk semangat khidmat sukarela di kalangan belia dan meningkatkan semangat kesukarelawanan di kalangan golongan itu dalam segala kegiatan. Program The Leader iaitu mentor-mentee yang boleh memberikan galakan ke arah mewujudkan belia yang berjaya dalam bidang keusahawanan, aktiviti sosial, pentadbiran awam dan profesional.

Terdahulu, Najib menyempurnakan pelancaran program realiti terbaru terbitan stesen TV3, Sejuta Impian sempena penganjuran Karnival Jom Heboh Edisi Hari Belia Negara 2011 di sini. Program realiti hasil usaha sama TV3, Telekom Malaysia (TM) dan Dana Belia 1Malaysia (DB1M) itu menawarkan insentif sebanyak RM1 juta bagi membolehkan semua peserta menunaikan impian masing-masing. Ia antara lawatan Perdana Menteri di 12 kawasan program selama tiga jam, bermula 2.30 petang termasuk memulakan tinjauan mesranya dengan menyaksikan pertandingan akhir Sasuke Malaysia sebelum melancarkan Program Latihan 1Malaysia.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kagum dengan sikap berdikari dan semangat kesukarelawanan belia dalam menjayakan program Himpunan Sejuta Belia 2011, yang mengetengahkan pelbagai aspek berkaitan hobi, kerjaya, rekreasi serta minat masing-masing. Beliau berkata, kesanggupan belia mengeluarkan belanja dan mengusahakan sendiri semua aspek logistik sepanjang acara yang bermula kelmarin dan berakhir hari ini di Putrajaya membuktikan kesungguhan mereka untuk berjaya dalam apa saja bidang diceburi. “Yang amat istimewa ialah semangat kesukarelawanan. Saya dimaklumkan, mereka datang sendiri dan tidak disediakan apa-apa bantuan logistik. “Mereka buat khemah sendiri, cari tempat, menguruskan pasukan sendiri. Biasanya kita kena tanggung dengan perbelanjaan besar,” katanya pada sidang media selepas melawat tapak pameran sempena program Himpunan Sejuta Belia, di sini, semalam.

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »