MAJLIS BELIA MALAYSIA

31 belia terima Dana Antarabangsa IYF@KBS, Jendela 3 dibuka hingga 7 September

PUTRAJAYA – Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim hari ini menyerahkan mock cheque Dana Antarabangsa Belia KBS (International Youth Fund, IYF@KBS) kepada 23 penerima Jendela Kedua dalam satu majlis di Menara KBS.

Majlis itu menjadi penanda aras penting usaha kerajaan MADANI melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam memperkukuh penglibatan belia Malaysia di pentas antarabangsa.

Menurut KBS, inisiatif IYF@KBS yang pertama kali diperkenalkan bertujuan memperkukuh penyertaan aktif belia, membangunkan kemahiran kepimpinan, advokasi serta membuka ruang jaringan antarabangsa selari dengan nilai daya cipta dan keyakinan dalam kerangka Malaysia MADANI.

“Melalui pelaksanaan inisiatif ini, KBS yakin generasi belia Malaysia mampu terus berdaya saing dan membawa suara negara ke peringkat global,” katanya di sini hari ini.

Setakat ini, seramai 31 belia menerima manfaat IYF@KBS, iaitu lapan orang pada Jendela Pertama dan 23 orang pada Jendela Kedua. Mereka terpilih menyertai program berprestij antarabangsa termasuk UN High-Level Plenary Meeting, UN Climate Change Conference (COP30), Local Conference of Youth (LCOY) 2025 dan World Summit on Social Development.

Bukan sekadar hadir sebagai peserta, ada antara mereka turut diberi kepercayaan membentangkan kertas kerja, sekali gus membuktikan keupayaan belia Malaysia di mata dunia.

Melihat impak positif program ini, KBS turut membuka Jendela Ketiga mulai 16 Ogos hingga 7 September 2025 bagi memberi peluang lebih luas kepada belia yang menyertai program antarabangsa berlangsung dari 1 Oktober hingga 31 Disember 2025.

“KBS percaya inisiatif ini akan terus menjadi pemangkin kepada usaha pemerkasaan belia Malaysia di peringkat antarabangsa, seiring dengan semangat Malaysia MADANI,” katanya lagi.

KBS turut merakamkan tahniah kepada semua penerima Jendela Kedua dan berharap pencapaian mereka menjadi dorongan kepada lebih ramai belia untuk tampil membawa nama Malaysia di arena antarabangsa.

Untuk maklumat lanjut mengenai permohonan, orang ramai boleh melayari www.kbs.gov.my/iyf atau menghubungi Sekretariat IYF di talian 03-88713356 atau e-mel ke international@kbs.gov.my.

Artikel penuh :

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »