MAJLIS BELIA MALAYSIA

Teks Ucapan YB Menteri Belia dan Sukan Sempena Sambutan Hari Belia Negara 2022

  1. Syukur Alhamdulillah, terlebih dahulu marilah kita merafak setinggitinggi kesyukuran ke hadrat Allah s.w.t kerana dengan izin-Nya dapat kita berkumpul dalam majlis penuh bermakna pada pagi ini.
  2. Terima kasih diucapkan kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kerana sudi melapangkan masa untuk hadir bagi memeriahkan lagi sambutan Hari Belia Negara 2022 yang mana kali ini menyaksikan negeri Sabah sebagai tuan rumah.
  3. Saya mewakili Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengucapkan jutaan terima kasih juga kepada Yang Amat Berhormat Ketua Menteri serta Kerajaan Negeri Sabah kerana sudi menjadi tuan rumah bagi sambutan Hari Belia Negara tahun ini.
  4. Ia membuktikan wujud kerjasama erat dan kesepakatan di antara KBS dan Kerajaan Negeri dalam menjayakan Hari Belia Negara. Saya yakin di masa hadapan, kerjasama seperti ini perlu
    dipertingkatkan demi memastikan rakyat khususnya golongan belia mendapat manfaat berguna.
    Belia Malaysia dikasihi sekalian,
  5. Saya amat gembira menyaksikan kehadiran saudara dan saudari yang memenuhi Padang Pekan Tuaran pada hari ini yang dianggarkan jumlah keseluruhannya mencecah lebih 5,000 orang.
  6. Kehadiran saudara dan saudari membuktikan bahawa wujud komitmen serta kesungguhan tinggi sebagai pewaris masa depan negara. Belia bukan sekadar harapan bangsa, tidak hanya aset atau
    rakan kongsi kepada pembangunan negara tetapi, nilai belia adalah lebih daripada semua itu.
  7. Sesuai dengan tema Hari Belia Negara 2022 iaitu “Ini Masa Kita”, belia tidak boleh lagi mengambil pendekatan “relax” atau “tunggu dan lihat”. Belia hari ini perlu terus bergerak ke hadapan dan berusaha memajukan diri apatah lagi selepas kita berdepan situasi sukar iaitu penularan COVID-19 yang merencatkan pembangunan dan ekonomi negara. Belia Malaysia dikasihi sekalian,
  8. Masa depan belia semakin mencabar akibat COVID-19 yang mana berdepan dengan isu pengangguran, kebolehpasaran dan situasi under – employment. Impaknya dapat digambarkan melalui dapatan Indeks Belia Malaysia 2021 bagi Domain Ekonomi dengan skor
    kebolehpekerjaan adalah 59.07 – satu tahap yang tidak begitu memuaskan.
  9. KBS sedar akan perkara ini dan sentiasa mencari jalan terbaik mengatasi isu melibatkan pembangunan serta latihan kepakaran golongan belia. KBS secara pro-aktif memberi penekanan terhadap inovasi berteraskan Revolusi Industri 4.0. Selain itu, kerjasama strategik turut diperkukuhkan bersama pihak industri dalam memastikan latihan TVET kepada belia memenuhi keperluan pasaran pekerjaan. Justeru, kerajaan telah memperuntukkan lebih RM25.5 juta bagi memperkukuhkan pembangunan Teknologi Maklumat dan Komunikasi atau ICT bagi tempoh 2021 sehingga 2025.
  10. Selain itu, bagi memastikan latihan TVET kepada belia terus diperkasakan, KBS memperkukuhkan kerjasama strategik bersama lebih 200 syarikat dalam dan luar negara. Kerjasama strategik ini
    memberi impak kepada belia antaranya di negeri Sabah melalui pengiktirafan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kinarut oleh Suruhanjaya Tenaga sebagai Pusat Latihan dan Peperiksaan
    Program Penjaga Jentera Elektrik (PJE) BO 11 kilovolt. Pekerja industri mengikuti kursus ini dengan pendapatan hasil daripada sijil diperoleh meningkat kepada RM5,000 sehingga RM8,000 sebulan.
    Belia Malaysia dikasihi sekalian,
  11. KBS komited meningkatkan peluang pekerjaan dan membantu mengurangkan kadar pengangguran golongan belia. Inisiatif terbaharu dilaksanakan KBS adalah menerusi Program Youth Career (YCareer) dan Skill for Youth (S-4-Y) yang merupakan satu platform job matching dan latihan intensif bersama pihak industri dengan jaminan pekerjaan kepada belia.
  12. Sempena Karnival Sambutan Hari Belia di Sabah ini, suka saya maklumkan bahawa terdapat lebih 1,000 peluang pekerjaan ditawarkan menerusi program Y-Career. Menerusi program S4Y pula, terdapat 2,000 peluang latihan dan jaminan pekerjaan melibatkan peruntukan sebanyak RM3 juta. Belia Malaysia dikasihi sekalian,
  13. Selaras dengan Pindaan Undang–undang Perlembagaan Persekutuan melibatkan penurunan had umur pengundi dan had umur kelayakan menjadi calon kepada 18 tahun, serta pendaftaran
    pemilih secara automatik, KBS kini giat meneruskan programprogram bagi meningkatkan kesedaran berkaitan tanggungjawab sebagai pengundi.
  14. Antara inisiatif dijalankan KBS termasuk pelaksanaan program Rukun Negara@Belia (RNB), Jelajah Kafe Undi 18, RNB Kursus Rukun Negara, Undi18 Cafe dan RNB Keluarga Malaysia yang dilaksanakan di seluruh negara. KBS menyasarkan 100,000 orang belia terlibat dalam program-program ini termasuk di Sabah dan Sarawak bagi tahun 2022. Belia Malaysia di kasihi sekalian,
  15. Saya melihat penglibatan belia dalam aktiviti kesukarelawanan amat penting ke arah membentuk sebuah Keluarga Malaysia yang prihatin. Sudah tiba masanya kesukarelawanan dijadikan sebagai agenda tersusun yang dapat membantu pembangunan serta kemakmuran negara.
  16. Sebagai contoh minggu lalu, saya dan pasukan sukarelawan KBS sama-sama turun padang hasil kerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP)
    bagi memantau perkembangan harga subsidi barang dan keperluan di pasaran.
  17. Saya yakin di mana ada ruang dan peluang, belia boleh menjadi ‘mata dan telinga’ pihak berkuasa dalam memantau harga barang agar ia tidak dieksploitasi oleh mana-mana pihak tidak
    bertanggungjawab. Sukarelawan boleh membuat aduan terus kepada pihak berkuasa KPDNHEP agar tindakan pantas dapat diambil sekadar segera.
  18. Selain itu, KBS turut mewujudkan Skuad Sukarelawan Anak Malaysia atau dikenali sebagai SATRIA. Ia merupakan inisiatif KBS untuk melahirkan lebih ramai sukarelawan berketerampilan. Keupayaan Sukarelawan SATRIA diperkukuh menerusi latihan berbentuk upskilling dan reskilling yang bersesuaian.
  19. Sempena Hari Belia Negara 2022, pendaftaran sukarelawan telah dibuka kepada komuniti di negeri Sabah. Di samping itu, pameran serta aktiviti kesukarelawanan turut diadakan di sekitar Tuaran untuk menterjemahkan komitmen KBS dalam membudayakan serta membangunkan inisiatif kesukarelawanan melalui penubuhan SATRIA. Belia Malaysia dikasihi sekalian,
  20. Saya percaya sambutan Hari Belia Negara 2022 yang turut disambut seluruh negara termasuk peringkat negeri dan daerah bermula Mei sehingga September 2022 ini berupaya memperkukuhkan potensi modal insan yang kreatif dan inovatif.
  21. Ayuh belia Malaysia, teruslah bersama-sama KBS mendakap kemas iltizam yang dipertanggungjawabkan dengan penuh amanah, memperhebat strategi dan membina citra baharu dalam melonjakkan momentum kecemerlangan agenda pembangunan belia. Ini masa
    kita!
  22. Sekian, wabillahi taufik walhidayah, wasalamualaikum warahmahtullahi wabarakatuh.
    Selamat Hari Belia Negara!
    Ini Masa Kita!
    Belia Keluarga Malaysia!

YB DATO’ SERI AHMAD FAIZAL BIN DATO’ AZUMU
MENTERI BELIA DAN SUKAN
PUTRAJAYA
13 JULAI 2022

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »