CYBERJAYA – Idea menubuhkan Pusat Belia Wilayah oleh kerajaan sangat signifikan yang boleh memberi keseimbangan dalam sektor ekonomi, sosial serta kesihatan selain pemerkasaan golongan belia.
Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Jufitri Joha berkata, pihaknya menyambut baik pembentangan Perdana Menteri, Datuk Seri
Ismail Sabri Yaakob kerana menyelitkan satu pelan khusus untuk belia di dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang dipanggil Pelan Kebangsaan Pemerkasaan Ekonomi Belia.
“Selain perancangan menaik taraf Akademi Pembangunan Belia Malaysia (APBM) dan Kompleks Belia dan Sukan, Perdana Menteri turut mencetuskan idea untuk mewujudkan Pusat Belia Wilayah.
“MBM menyambut baik usaha ini memandangkan kolektif masalah belia sekarang banyak tertumpu dalam kalangan belia bandar, antaranya miskin bandar, masalah sosial, pengangguran serta pendidikan.
“Malah, tahap kesihatan mental belia bandar juga memerlukan perhatian daripada pihak kerajaan.
“Tidak dinafikan, kehidupan moden dikelilingi bangunan tinggi pencakar langit menjadi kawasan menarik untuk didiami, lebih-lebih lagi dilengkapi kawasan perumahan dan perkhidmatan yang berkualiti.Baca juga: Mahathir memang tak mahu Anwar jadi Perdana Menteri
“Namun, ia tersirat kesan sampingan gaya hidup tidak seimbang dan tekanan yang boleh membawa kesan buruk pada tubuh dan kesihatan dalam jangka panjang.
“Oleh itu, idea untuk menubuhkan Pusat Belia Wilayah ini sangat signifikan.
“Usaha dalam menaik taraf APBM dan Kompleks Belia dan Sukan serta mewujudkan Pusat Belia Wilayah diharap dapat meningkatkan keberkesanan dan peranan institusi tersebut,” katanya menerusi kenyataan media di sini.
Dalam pada itu, katanya, MBM sentiasa membuka tangan untuk menawarkan bantuan dari sudut kepakaran baik dari sudut pengisian kepimpinan, pembangunan kerjaya, kemahiran insaniah dan juga kerja belia profesional.
“MBM juga menawarkan kepakaran Tokoh-tokoh Belia dan Persatuan Belia yang memenangi anugerah setiap tahun bagi membantu akademi ini.
“Selain MBM, turut boleh dilibat urus bersama adalah Pusat Belia Antarabangsa, Majlis Belia Wilayah Persekutuan dan NGO lain,” katanya.
Sementara itu, dalam perkara berkaitan, Jufitri berkata, masyarakat terutama golongan belia harus bersedia dalam mendepani kemajuan
dalam usaha mewujudkan sebuah masyarakat seimbang dari segi pendekatan teknologi dan juga rohani.
“Tiada perkara lain yang MBM harapkan selain pemulihan ekonomi negara bagi memudahkan kita mencorak pelan seterusnya.
“Selain pembangunan infrastruktur, ekonomi,perumahan dan teknologi, pembangunan jiwa, rohani dan jati diri jangan sesekali diabaikan dalam membentuk belia masa hadapan.
“Justeru, perhatian harus terus diberikan kepada golongan belia terutama di dalam Belanjawan 2022 yang dijangka bakal dibentang November 2021 ini,” katanya. – Edisi 9
Artikel penuh :