Majlis Belia Malaysia (MBM) marah dan kecewa dengan tindakan seorang ahli korporat terkemuka yang telah menjatuhkan martabat bendera kebangsaan, Jalur Gemilang sebagai lambang dan maruah negara.
Tindakan menukar warna putih kepada hitam adalah satu tindakan yang boleh di sifatkan kurang ajar, dan tidak patriotik dari seorang yang bergelar Tan Sri, satu anugerah kehormatan dari Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong.
MBM meminta agar pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pejabat Peguam Negara mengambil tindakan tanpa mengira status dan darjat pelaku.
MBM juga meminta agar darjah kebesaran Persekutuan yang telah dikurniakan kepada pelaku dikaji semula kerana jelas pelaku telah melampaui batas.
MBM juga menyeru semua rakyat Malaysia khususnya tokoh-tokoh awam agar berhati hati didalam membuat sesuatu yang melibatkan lambang dan kehormatan negara supaya kejadian sama tidak lagi berulang. Memperolok lambang dan kehormatan negara sebagai tanda protes bukanlah satu cara yang bijak dan terhormat.
MBM juga menyeru kerajaan untuk menambah peruntukkan di dalam Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 bagi menjadikan satu kesalahan jenayah untuk sebarang tindakan yang bersifat menghina dan menjatuhkan martabat bendera kebangsaan mahupun bendera negeri. Ini juga selari dengan Akta Lagu Kebangsaan 1968 yang memperuntukkan kesalahan bagi tindakan menghina Lagu Negaraku.
Pada 2016, beberapa warganegara Australia ditahan kerana menghina bendera kebangsaan kita, maka amat wajar dan tiada alasan untuk kita tidak menghukum seseorang warganegara apatah lagi yang mempunyai kedudukan didalam masyarakat namun masih tidak mampu memahami kepentingan lambang dan maruah negara. Permohonan maaf sahaja tidak cukup untuk memaafkan tindakan menghina Jalur Gemilang yang menjadi lambang kebesaran negara ini.
Lambang dan maruah negara wajib dipertahankan, tiada kompromi!
MOHD IZZAT AFIFI ABDUL HAMID
Naib Presiden
Majlis Belia Malaysia
merangkap;
Pengerusi Biro Pendidikan MBM
Bertarikh : 8 Ogos 2019