Teks Ucaptama
YB Datuk Haji Ahmad Marzuk Shaary
Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)
Alhamdulillah, pujian yang tiada terputus, sentiasa dipanjatkan kepada Tuhan sekalian alam serta selawat dan salam kepada kekasihnya Nabi Muhammad SAW, penyebar risalah kesejahteraan untuk ummat akhir zaman.
Kita berada di persimpangan sejarah besar yang menuntut kesediaan diri untuk menghadapi segala kemungkinan besar yang berlegar di sekitar. Dalam tempoh 100 tahun selepas pandemik Spanish Flu menyerang dunia pada tahun 1918 warga dunia sekali lagi dikejutkan oleh pandemik covid-19 ini.
Seluruh dunia menghadapi ujian yang tidak disangka-sangka oleh pandemik covid-19 ini. Banyak yang telah diberitakan kesan emosi dan fizikal terhadap negara dan masyarakat yang terkena tempiasnya. Syarikat raksasa gulung tikar, konglomerat gergasi rebah, jutaan manusia seluruh dunia hilang mata pencarian dan berbagai lagi. Justeru itu, bagi menghadapi gelora ketidaktentuan masa depan global ini, haruslah kita menyemak kembali panduan malarsegar yang telah dikirimkan kepada manusia untuk dijadikan pedoman sepanjang hayat zaman iaitulah kalamullah, al-Quran al-Karim untuk ditanamkan dalam hati para pemuda. Kerana pada diri merekalah terhimpun segala kekutan yang tidak terdapat pada diri kumpulan sebelum dan selepas mereka.
“Allah yang menciptakan kamu bermula dengan keadaan lemah, selepas berkeadaan lemah itu Ia menjadikan kamu kuat. Setelah itu Ia menjadikan kamu lemah pula serta tua beruban. Ia menciptakan apa yang dikehendakiNya, dan Dia lah jua yang Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa”
Surah al-Rum, Ayat 54
Kekuatan itulah milik pemuda. Kekayaan yang mengatasi segala macam kekayaan materi lain yang terhimpun di atas dunia. Namun, ada dikalangan mereka yang mungkin lama hidup dalam keselesaan tidak melazimi berpayah-payah untuk berjuang dalam pelbagai lapangan pekerjaan. Dalam situasi gelombang pandemik yang menyebabkan banyak sektor ekonomi lumpuh, kehilangan pekerjaan, pengangguran dan sebagainya sewajarnya kita merenung dalam-dalam kalamullah yang memberikan isyarat bahawa kekuatan yang jugalah yang menjadi kriteria utama dalam memilih peribadi belia yang ideal untuk dipilih bekerja. Perhatikan Firman Allah dalam surah al-Qasas ayat 26 :
“Sesungguhnya orang yang paling baik untuk engkau berikan kerja ialah orang yang kuat (Al-Qawiyy) lagi amanah (Al-Amin)”
Ayat ini telah memberikan panduan umum kepada manusia mengenai ciri-ciri seorang yang layak dijadikan pemimpin. Jika tidak ke atas orang lain, kepada diri sendiri dimulai. Al-Qawiyy Al-Amin wajib dijadikan sebagai Nilai Teras pembangunan kepemudaan yang harus segera di tanamkan kepada golongan belia Islam agar mereka dapat sentiasa bersedia, memiliki daya tahan dilambung gelora hidup.
Peribadi pemuda Islam haruslah diterasi prinsip Ubudiyyah (keimanan dan ketakwaan kepada Allah), Mas’uliyyah (integriti) dan Itqan (kompetensi). Keimanan bahawa setiap sesuatu yang Allah turunkan sebagai ujian kepada manusia tidaklah lain selain daripada untuk mempertingkatkan darjat diri manusia ke suatu tempat yang lebih tinggi. Manakala, sifat integriti akan menjadikan kepercayaan dan kewibawaan manusia akan terbina, menjadi dahan yang menaungi. Manakala itqan memastikan profesionalisme diri kita teruji, cekap mengurus, membuat keputusan, merangka, mencongak dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.
Pemuda dan Kepemudaan
Pemuda adalah tonggak kepada masa depan ummat untuk menjadi khayra ummah. Prof. Dr.Yusuf al-Qardhawi menegaskan: “Apabila kita hendak melihat wajah negara pada masa hadapan, lihatlah generasi muda pada hari ini.” Kita perlu mempersiapkan pemuda untuk menguruskan gelombang pancaroba hari ini dan masa depan. Keimanan dan petunjuk Allah sebagai syaratnya.
“Sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk.”
Surah al-Kahfi (13)
Jika dirujuk dalam leksikon Arab (Arabic lexicon) seperti Mukhtar al-Sihhah, kalimah fityat adalah daripada kata dasar kalimah fa ta ya ataupun jamaknya adalah fityan. Al-fata itu sinonimnya al-shabb atau anak muda (youth/adolescent).
Imam Al-Qurtubi, seorang tokoh mufassir yang terkenal ketika mengulas istilah kepemudaan menukilkan definisi oleh al-Junayd dengan memaknakan ia sebagai sikap melakukan kebaikan kepada orang lain (badhl al-nada), tidak menyusahkan orang lain (kaff al-adha) dan meninggalkan rungutan terhadap orang lain (tark al-shakwa). Dikatakan juga makna al-futuwwah (noble manliness) adalah menghindari perkara yang haram dan bersegera dalam hal kebaikan. (Lihat al-Jamiʿ li Ahkam al-Qur’an, 10/364)
Abu al-Hasan Al-Nadwi menyebut, frasa itu sendiri mengandungi makna yang mendalam untuk dihadam. Hakikatnya, Allah SWT hendak menzahirkan bahawa kelompok anak muda yang meninggalkan aspek materialistik, kelapangan dan kesenangan hidup serta kerehatan, adalah amat sedikit jumlahnya bagi setiap zaman. (Lihat Rahlat al-ʿAllamah Abi al-Hasan ʿAli al-Hasani al-Nadwi, hlm. 574) Sebahagian besarnya gemar bersenang-lenang dengan nikmat dunia dan lalai dalam pengaruh materialisme.
Maka, dapat disimpulkan bahawa, anak muda dan kepemudaan itu, lebih dilihat dari sudut sikapnya, perilakunya dan ketrampilannya selain usianya. Itulah kebiasaanya sifat bagi anak muda; idealistik, bersemangat tinggi, jiwanya berkobar-kobar dan sentiasa bertenaga.
Tugas dan Karakter Utama Anak Muda
Dr. Abdullah Nasih ʿUlwan menyenaraikan 3 tugasan utama bagi para anak muda untuk dilakukan dalam kehidupan mereka ;
- Melaksanakan tujuan peribadatan kepada Allah, tunduk patuh kepada-Nya, serta berserah diri kehadrat-Nya dalam setiap musibah yang menimpa.
- Mengikut manhaj rabbani yang tidak akan ditembusi oleh kebatilan.
- Memberi kesetiaan (wala’) hanya kepada Allah, Rasul-Nya dan orang-orang Mukmin. (Lihat Hatta Ya’lam al-Syabab, 4)
Adapun, tugas terbesar sebagai seorang anak muda adalah sebagaimana yang ditegaskan oleh Rib’i ibn ʿAmir iaitu menegakkan hukum Allah di muka bumi, mengeluarkan hamba-hamba-Nya daripada penyembahan sesama makhluk kepada penyembahan hanya kepada-Nya, mengeluarkan mereka daripada kesempitan hidup kepada keluasannya dan daripada kezaliman kekafiran kepada keadilan Islam.
Anak muda secara umumnya mempunyai himmah yang tinggi. Firman Allah SWT:
Maksudnya: Sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk.
Surah al-Kahf (13)
Maulana Abu al-Hasan Al-Nadwi menyebut: Ayat yang telah dinyatakan ini adalah satu pelajaran buat para anak muda Islam yang berintelektual, memiliki himmah yang tinggi dan kecerdikan yang tajam, digolongkan mereka dalam (golongan yang punya) kekuatan yang mulia dan kebijaksanaan yang melimpah ruah, membara kecaknaan mereka, tanpa ada pada mereka kesombongan dan takabbur… (Lihat Rahlat al-ʿAllamah Abi al-Hasan ʿAli al-Hasani al-Nadwi oleh Sayyid Abd al-Majid Al-Ghuri, hlm. 618)
Para anak muda Islam amat ditekankan supaya mencontohi kehidupan anak muda Kahfi (ashab al-kahfi) yang menjadi model terbaik dalam pembentukan fikrah keanak mudaan yang hakiki. Mereka sempurna daripada aspek akidah (fityat amanu birabbihim), ditambahi pula jiwa mereka dengan hidayah (wazidnahum huda). Di tengah kebobrokan kemewahan yang menindas yang dikuasai oleh kerajaan yang berkuasa, dicemari dengan idolisasi kebendaan, telah muncul segolongan anak muda yang berpegang dengan ajaran luhur Nabi Isa ʿalayh al-salam. (Lihat Faith Versus Materialism: The Message of Surah al-Kahf oleh al-Nadwi, hlm. 46) Ini menandakan cahaya kebenaran itu sama sekali tidak akan terluput walapun dalam gelap kezaliman.
Ciri-ciri anak muda Kahfi seperti yang dihuraikan di atas jelas menggambarkan apa yang tersirat di sebalik ayat berkenaan. Keperluan bagi mengkaderkan generasi anak muda yang berintelektual, punya himmah yang tinggi dan kebijaksanaan adalah satu kewajiban sepanjang zaman. Tidak ada satu perkara yang lebih indah daripada mempunyai kualiti barisan anak muda yang teguh berdiri mempertahankan akidahnya.
Kuantiti mereka semestinya amat kecil tetapi impak yang mereka hasilkan berjaya merubah paradigma masyarakat kepada satu bentuk perubahan yang membawa kebaikan. Bilangan yang ramai tidak semestinya jaminan kejayaan. Bilangan yang minima, belum tentu punca bagi kegagalan.
Kita juga harus meluaskan cakerawala perhatian untuk mengambil hikmah daripada pembangunan ketahanan (resilience) diri belia daripada masyarakat yang berbeza nilai dan sistem kepercayaan dengan kita. Hikmah itu adalah milik kaum mukmin, mereka lebih berhak untuk mengutip dan memakainya.
Pembinaan watak berasaskan pendidikan nilai sejagat – good governance, cekap, kebersihan, ketepatan masa, kompeten, wibawa, inovatif dan sebagainya lagi akan membuka mata kawan dan lawan untuk lunak dengan pembawaan diri belia Islam. Mereka juga adalah duta kecil Islam untuk menyampaikan mesej dakwah bil-hal.
J.B Colbert berkata: “Kebesaran sesuatu negara tidak diukur dengan luas daerahnya tetapi diukur daripada watak masyarakatnya.”
Gelora Pasca Covid – 19
Dapatan kajian daripada Khazanah Research Institute (13 April 2020) yang dibentangkan dalam kertas bertajuk Cabaran dan Strategi Pasca-Pandemik Untuk Belia menunjukkan trend yang mencemaskan. Kebanyakan ahli ekonomi meramalkan kesan Covid-19 adalah lebih buruk berbanding Krisis Kewangan Global (Global Financial Crisis – GFC) pada tahun 2009 dan Krisis Kewangan Asia (Asian Financial Crisis – AFC) pada tahun 1998. Sebagai perbandingan, kadar pengangguran keseluruhan di Malaysia ketika kedua-dua krisis tersebut ialah sebanyak 3.7% (2008 = 3.3%) dan 3.2 % (1997 = 2.4%). Kadar pengangguran belia berumur 15-24 tahun juga meningkat pada kedua-dua krisis tersebut iaitu sebanyak 11.9 % pada tahun 2009 (2008 = 10.9%) dan 8.7% pada tahun 1998 (1997 = 7.0%).. Kadar pengangguran belia akan turut menunjukkan trend yang meningkat berbanding tahun 2019.
Organisasi Buruh Antarabangsa (International Labour Organization – ILO) juga telah mengunjurkan pengangguran global pada tahun 2020 dijangka meningkat antara 193.3 juta sehingga 212.7 juta berbanding jumlah penganggur dicatatkan pada tahun 2019 iaitu sebanyak 188 juta (kadar pengangguran global 2019 = 6.97%) – peningkatan antara 2.8% hingga 13.1 %. Statistik oleh Biro Statistik Buruh Amerika Syarikat (AS) juga menyaksikan kehilangan pekerjaan sebanyak 701,000 pada Mac 2020 – merupakan statistik terburuk AS dalam kehilangan pekerjaan rakyatnya sejak GFC 2009 yang lalu.
Dampak covid-19 ini mengenakan tempiasnya di seluruh dunia. Kita diberitakan perihal keadaan pengangguran yang tinggi dikalangan belia, mismatching dalam sektor pekerjaan oleh graduan yang baru menamatkan pengajian serta berbagai lagi yang nyata meresahkan. Justeru, belia Islam harus melatih diri sentiasa dengan sikap kesegeraan (urgency) untuk beradaptasi dengan persekitaran yang cepat berubah dan kompetitif. Sentiasa meningkatkan kemahiran (upskiling), mengulang kemahiran baru (reskilling) agar relevan dengan tuntutan semasa.
Kerajaan telah mengorak langkah menyediakan pelbagai platform rasmi bagi menambah latihan kemahiran, dan memperbaiki padanan pekerja dengan pekerjaan. Langkah-langkah intervensi seperti mengenal pasti kemahiran yang diperlukan industri, serta mengarusperdana pendidikan serta Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) melalui pembangunan National Occupational Skills Standard (NOSS) selaras industri 4.0 agar kadar penyertaan graduan dan belia ke dalam pasaran perburuhan.
Pada masa ini, negara kita sedang berada pada tahap kelima Strategi 6R Pelan Komprehensif Pemulihan Ekonomi, iaitu ‘Revitalize’ atau Memperkasa ekonomi. Pada tahap ini, strategi pemulihan ekonomi ditumpukan kepada usaha untuk merancak dan melonjakkan semula aktiviti ekonomi, atau jump-start the economy. Pembentangan Pelan PEMERKASA oleh YAB Tan Sri Muhyiddin Yaasin, Perdana Menteri Malaysia pada 18 Mac 2021 lepas memberikan isyarat kerajaan berada pada landasan tepat untuk keluar daripada dampak pandemik ini.
Golongan belia yang memiliki kepekaan intelektual, idea, inovasi akan sentiasa dapat menyambar ruang dan peluang yang diberikan ini untuk menerobos ruang ekonomi baru yang bergerak laju.
Ekonomi dagang contohnya akan mengambil tempat yang begitu dominan dalam era masa kini. Perkembangan teknologi digital mensyaratkan belia perlu menambah satu lagi keperluan asas seperti dalam teori maslow iaitu literasi digital. Kecelikan dan justeru kefasihan dalam penggunaan perkakas digital menjadi sangat mandatori kini. Siapa sangka keperluan harian seperti jual beli, pembelajaran kelas, mesyuarat, konvensyen, seminar telah diadaptasi secara maya serta merta, dipaksa atau terpaksa seluruh kita melaziminya sebagai norma baru, norma biasa dan akan terus dibiasa. Maka, generasi belia Islam perlu meningkatkan daya celik terhadap kemaraan suasana baru ini.
Untuk kita menjadi pemimpin hebat pada masa hadapan, kekuatan spiritual, fizikal, emosi, hati harus sama digembleng untuk dapat bersaing menguruskan cabaran. Menghadapi situasi semasa dunia global yang berada pada fasa pemulihan akibat dampak pandemik covid-19 ini menuntut kita memperkasakan rakyat dengan nilai yang kita yakini sendiri. Saya percaya juga bahawasanya anak muda yang memiliki kekuatan dan ketahanan akan sentiasa menjadi sandaran untuk memastikan ke’izzahan agama dan moral masyarakat akan terus dipertahankan.
Bagi memastikan belia mendapat pendedahan yang cukup terhadap persekitaran kerjaya dan masa depan mencabar ini, mereka digalakkan juga terlibat dalam pelbagai kegiatan ‘amal jamaie samada dalam NGO atau perkumpulan masyarakat di surau, kejiranan, tempat kerja dan sebagainya. Dengan melatih diri dalam kegiatan kerja-kerja sukarela disamping mempunyai kerjaya, golongan belia akan dapat melatih diri mereka memiliki daya tahan membahagikan komitmen kerja dan komitmen jemaah tidak pernah berpenghujung. Menyertai jemaah memberi beberapa faedah seperti meluaskan jaringan, menambah banyak pengalaman baru, bertukar-tukar pandangan untuk mendapatkan keputusan yang tepat. Baginda Nabi Muhammad SAW juga turut memberikan penekanan terhadap kepentingan menyertai jemaah dengan hadithnya “
Dan berjemaah ( kesatuan umat Islam ) itu adalah satu rahmat, dan perpecahan ( umat Islam ) itu adalah satu azab.”
HR. Imam Ahmad (18449) dalam musnadnya [Lafaz hadis di atas, sanadnya baik], al-Bazzar (3282) dalam musnadnya, al-Baihaqi (4105) dalam Syu’ab al-Iman dan lain-lain.
Dan Kami jadikan dari kalangan mereka beberapa pemimpin, yang membimbing kaum masing-masing kepada hukum agama Kami, selama mereka bersikap sabar (dalam menjalankan tugas itu) serta mereka tetap yakin akan ayat-ayat keterangan Kami.
(Al-Sajadah, ayat 24)
Mereka itulah orang-orang yang beriman dengan hidayah Allah dan berakhlak perjuangan menyuruh kepada yang baik dan mencegah kemungkaran. Maka kekuatan kepimpinan dalam Islam adalah syakhsiah yang merangkumi aspek fitrah manusia iaitu jasad, ruh, akal, keluarga dan masyarakat. Syarat-syarat kepimpinan yang dihuraikan secara terperinci oleh para ulama merangkumi siasah syariyyah atau ahkam sultaniah bagi mencapai tujuan syariat iaitu maqasid syariah yang membawa kejayaan dunia dan akhirat.
Para ulama menyebut syarat-syarat kelayakan dengan beberapa prinsip dan konsep berikut :
1. Islam Takrif kelayakan kepimpinan bukan sekadar perkataan atau ungkapan baka dan keturunan atau pengenalan diri secara zahir tetapi dengan pengertian akidah, syariah dan akhlak dari kefahaman, amalan dan perjuangan. Dalam hal ini, mana-mana kumpulan akan meletakkan kepimpinan dibawah orang yang menganut ideologi dan perjuangannya dengan penuh kefahaman dan kesetiaan.
2. Berakhlak Seseorang yang berakhlak dengan takrif tidak melakukan dosa besar dan tidak berterusan melakukan dosa kecil serta tidak melakukan perkara yang tidak bermaruah walaupun tidak diharamkan.
3. Berilmu Kepimpinan ulama dalam ilmu Islam dan urusan duniawi kerana pemimpin berperanan sebagai khalifah yang menegakkan Islam dan menguruskan Islam dengan ilmu tersebut.
Walaupun memilik semua syarat-syarat ini ianya tidak akan memberikan kesan kepada belia di luar selagi mana mereka tidak mengujinya di lapangan masyarakat melalui kegiatan amal jamaie. Justeru, berpersatuan itulah amat digalakkan untuk kita membina keutuhan diri secara bersama, saling berkongsi dan berbahagi.
Dengan komposisi seramai 14.7 juta belia dalam kategori umur 15 – 40 tahun di negara ini, manakala seramai 2.3 juta belia terlibat dengan kegiatan persatuan hendaklah kita menjadi kumpulan terkehadapan membimbing, memandu belia massa di luar untuk menuju suatu matlamat yang diredhai Allah. Mendapat kecemerlangan di dunia melalui kekuatan dan mendapat penghormatan selayaknya di akhir oleh tanggungjawab dan amanah yang dilunaskan dengan penuh keinsafan.
Semoga para pemuda kita dapat sentiasa menjadi barisan depan (frontliners) yang memimpin masa depan dengan cemerlang dan sejahtera dengan sikap-sikap terpuji diterasi oleh sifat al-Qawiyy al-Amin.
Saya sudahi dengan pesan seorang ‘Ulama Nusantara yang memiliki daya tahan menghadapi segala ujian “Anak lelaki tak boleh dihiraukan panjang, hidupnya ialah buat berjuang, kalau perahunya telah dikayuhnya ke tengah, dia tak boleh surut palang, meskipun bagaimana besar gelombang. Biarkan kemudi patah, biarkan layar robek, itu lebih mulia daripada membalik haluan pulang.”
Bertarikh : 25 Mac 2021