MAJLIS BELIA MALAYSIA

Wasatiyyah dalam kehidupan, mesej jelas cara belia sambut lebaran Aidilfitri

Oleh :

Ts Dr. Hadafi Fitri Mohd Latip

Pensyarah Kanan

Sekolah Pendidikan

Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan

Universiti Teknologi Malaysia

TAHUN 2024 adalah merupakan pertembungan generasi X, Y dan Z bersama generasi Alpha (2011-2025). Ia pasti satu pertembungan cara dan kaedah yang berbeza mengikut peredaran zaman bagaimana sambutan raya dijalankan. Keadaan ekonomi semasa juga sedikit sebanyak mempengaruhi cara kehidupan pada masa kini. Pelbagai inisiatif dijalankan oleh kerajaan dalam membantu rakyat Malaysia seperti bonus raya, tol percuma, kawalan harga minyak dan lain-lain disebabkan keadaan ekonomi semasa yang tidak memberangsangkan akibat pandemik Covid-19 melanda dunia selama dua tahun.

Pada zaman era digital 2024 ini, kita dapat lihat kad raya manual yang menjadi keutamaan orang lama, tidak lagi popular. Tiada lagi ucapan kad raya untuk dipos kepada saudara mara dan rakan taulan. Kad ucapan raya yang diterima, tidak berhenti di situ sahaja malahan ia digantung oleh tuan rumah di dinding rumah atau pasu bunga bagi menghargai ucapan kad raya yang diterima. Sedikit demi sedikit ia pupus ditelan zaman apabila kad e-digital muncul dan lebih menjimatkan kos serta dapat dihantar secara meluas melalui internet. Kad e-digital tidak memerlukan seseorang individu untuk berusaha ke shopping mall atau kedai untuk membeli kad yang terbaik untuk dihantar dan dikongsi bersama insan tersayang.

Siapa sangka pada masa kini, seseorang itu boleh menjadi jutawan dengan hanya melalui jualan baju raya Melayu seperti jenama-jenama popular yang sedia ada di pasaran. Sekaligus harga baju raya kian menjadi harga yang premium dan kompetitif. Dulu tidak sukar dan susah untuk mencari harga baju melayu yang kurang dari harga RM100 sahaja, akan tetapi pada masa kini harga baju melayu mencecah RM100 hingga RM200, dan kian menjadi rebutan ramai sepanjang masa. Di kala zaman ekonomi yang tidak memberangsangkan, tapi masih ramai lagi antara kita yang berkemampuan untuk membeli baju Melayu dengan harga premium. Pasti ada pro dan kontra terhadap apa yang berlaku, sekurang-kurangnya masih ramai lagi rakyat Malaysia berkemampuan dan mempunyai jati diri yang tinggi untuk menghargai baju Melayu. Kita tidak mahu satu hari nanti ia pupus ditelan zaman seperti kad raya.

Hari Raya Aidilfitri menjadi medan utama buat belia kita untuk merapatkan silaturrahim antara keluarga, sanak saudara dan rakan taulan. Kebiasaanya cuti dua hari tersebut dimanfaatkan selama seminggu untuk berjumpa keluarga terdekat dan sahabat taulan, setelah sibuk belajar dan bekerja selama setahun. Peluang sambutan hari raya juga digunakan untuk menziarahi kubur ahli keluarga terdekat. Ia adalah masa yang amat berharga bagi golongan perantauan yang bekerja jauh dari kampung. Selain meraikan kemenangan dan kejayaan berpuasa selama sebulan, sambutan Hari Raya Aidilfitri juga dapat memberi masa, ruang dan peluang kita bersama keluarga tersayang. Seperti bak kata pepatah, di akhirnya yang akan bersama kita susah dan senang adalah keluarga kita.

Di zaman transformasi digital ini, kita dapat lihat ramai anak muda yang kini melepak di kedai mamak sambil berlawan dan bermain e-games. Tidak seperti zaman generasi X dan Y, kedai mamak hanya tempat berbual dan berkongsi cerita di kalangan golongan belia. E-games pada satu ketika dulu hanya dimainkan di kedai siber kafe sahaja. Malahan melalui statistik warden asrama yang melakukan lawatan bilik ke bilik pelajar, di Kolej penginapan universiti menunjukan generasi baru, iaitu Z dan Alpha gemar melepak bersama rakan di bilik sambil bermain e-games, zaman sekarang sudah berubah mengikut peredaran masa. Generasi dahulu lebih gemar melepak berbual, bermain gitar, memancing dan lain lain. Maka tidak hairan generasi baru ini akan bermain e-games di kala waktu hari raya. Oleh itu, peranan ibubapa sangat penting dalam membentuk dan melahirkan generasi yang seimbang dunia dan akhirat. Cikgu sekolah pada zaman ini tidak lagi dibenarkan untuk menyentuh atau merotan pelajar, maka didikan dan harapan utama kini adalah daripada keluarga.

Kesederhanaan dalam kehidupan itu sangat penting untuk diterapkan merentas semua generasi. Ia seperti apa yang telah dianjurkan oleh agama Islam. Kesederhanaan dalam kehidupan menjelang hari raya adalah penting dalam mengimbangi antara kegembiraan perayaan dengan nilai-nilai keagamaan dan kemanusiaan. Dengan mengutamakan kesederhanaan, kita dapat menekankan rasa syukur, kemanusiaan dan kebersamaan tanpa terperangkap dalam kitaran konsumerisme yang berlebihan. Pengertian konsumerisme adalah budaya yang mengutamakan dengan gaya hidup boros, hedonisme dan glamor di mana kebahagiaan diukur dari kepemilikan barang.

Hari Raya Aidifitri tahun ini lebih bermakna jika kita memberi perhatian kepada orang yang memerlukan bantuan, merayakan dengan penuh kebersamaan bersama keluarga dan teman, serta menghargai kebahagiaan dalam momen-momen sederhana. Kesederhanaan juga memungkinkan kita untuk mempertahankan keaslian tradisi-tradisi perayaan tanpa dijejali dengan kemewahan yang seringkali mengaburkan makna sebenar perayaan tersebut. Dengan demikian, kesederhanaan bukanlah bersifat mengecilkan pentingnya sambutan perayaan, tetapi ia menghadirkan makna yang lebih mendalam dan berkesan bagi semua orang yang merayakannya.

Golongan belia juga perlu menjalin hubungan sosial dengan pendekatan yang sederhana dan berhemah. Mereka harus menghormati pendapat orang lain, mendengar dengan teliti dan menjauhi sikap ekstrim melampau yang boleh memecah belahkan masyarakat Malaysia. Dalam hal ekonomi, prinsip wasatiah mendorong pengurusan kewangan yang bijaksana. Golongan belia harus mengelakkan perilaku boros dan konsumerisme berlebihan serta mengamalkan keadilan dalam urusan ekonomi seperti membayar zakat dan bersedekah. Jika kita mampu maka kita belanja secara bersederhana, jika kita tidak mampu maka kita diam sahaja tanpa perlu menghina kepada golongan yang mampu membeli. Hidup bukan satu perlumbaan dan setiap orang berada di garis yang berbeza.

Generasi Z dan Alpha juga perlu memahami dan mengamalkan prinsip wasatiyyah dalam kehidupan seharian. Prinsip wasatiyyah mengajar untuk menjaga keseimbangan dalam setiap aspek kehidupan, wasatiah bermaksud sikap moderat atau seimbang. Prinsip ini menekankan pentingnya menjaga keseimbangan dalam setiap aspek kehidupan, termasuk dalam hubungan sosial, ekonomi, dan spiritual. Dengan menghayati nilai-nilai toleransi, keadilan, dan keseimbangan, mereka dapat menjadi agen perubahan yang membawa dampak positif kepada masyarakat dan lingkungan sekitar, selari dengan ajaran agama Islam yang menekankan kedamaian dan keadilan. Agenda negara harus memberi tumpuan kepada pendidikan holistik yang melangkaui aspek pembangunan akademik, sosial, dan nilai moral. Secara tuntasnya, sambutan Hari Raya Aidilfitri pasti memberi erti dan makna yang besar kepada kita semua pada tahun ini. Semoga ia menjadi titik tolak perubahan ke arah menuju kebenaran dan kejayaan bersama. Dengan hikmah, kita teroka.

KERANA TUHAN UNTUK MANUSIA.

Bertarikh : 5 April 2024

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »