26 Januari 2023
Pusat Belia Antarabangsa, Kuala Lumpur
YB Menteri Belia & Sukan selaku Pengerusi Majlis;
YB Timbalan Menteri Belia & Sukan;
Ahli Majlis Perundingan Belia Negara yang dihormati sekelian,
Pertama dan utamanya, izinkan saya mengucapkan selamat kembali dan selamat
bersidang kepada semua ahli Majlis Perundingan Belia Negara bagi Sidang II, Penggal
ke-33 yang telah tertangguh sejak sekian lama. Ini juga adalah MPBN yang pertama
untuk YB Pengerusi, malah MPBN pertama juga untuk saya selaku Presiden MBM. Oleh
itu, mewakili MBM, saya ingin mengalu-alukan kehadiran YB Pengerusi dan YB Timbalan
Menteri Belia & Sukan ke MPBN, badan perundingan belia tertinggi dalam negara ini
Sidang II Penggal ke-33 sepatutnya diadakan pada akhir tahun lepas. Walaupun sedikit
terlewat, namun tanggungjawab untuk menjalankan MPBN ini harus dilaksanakan sesuai
dengan Seksyen 36 Akta Pertubuhan Belia & Pembangunan Belia yang mana telah
memperuntukkan Fungsi MPBN sebagai badan perunding dalam hal yang berhubungan
dengan pembangunan belia dan Seksyen 46 (1) pula menyatakan MPBN hendaklah
diadakan tidak kurang daripada dua kali dalam setahun. Justeru itu, saya amat berharap
agar YB Pengerusi untuk memberikan perhatian sepenuhnya kepada kehendak Akta 668
ini sekaligus mengangkat MPBN sesuai dengan kedudukannya sebagai satu institusi
yang diiktiraf di dalam Akta. Sejak penubuhannya pada 15 Mei 1971 oleh Almarhum Tun
Abdul Razak, MPBN telah berperanan sebagai Parlimen bagi belia, menyampaikan
keluhan dan pandangan belia dari bawah kepada kerajaan, dan memastikan kerajaan
mendapat maklumat dan kehendak dari belia di akar umbi supaya segala perancangan
dan program yang hendak dilaksanakan oleh kerajaan benar-benar menepati kehendak
belia dan masyarakat. Atas sebab inilah, dan inisiatif yang telah diwujudkan sejak tahun
1970-an inilah, Malaysia diiktiraf dunia sebagai antara salah satu negara terbaik didalam
dunia yang mengangkat suara belia dan anak muda di peringkat pembuatan dasar dan
kita mengharapkan agar peranan MPBN terus diperkasakan dan ditambah baik dari
tahun ke tahun.
YB Pengerusi,
Ahli Majlis yang dihormati sekelian,
Majlis Belia Malaysia juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat
dan tahniah kepada YAB Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato Seri Anwar bin Ibrahim
yang telah diangkat menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-10 serta seluruh Jemaah
Menteri yang telah dipilih menjadi sebahagian daripada Kabinet pada kali ini. Pilihanraya
Umum ke-15 telah dilaksanakan dengan aman, demokrasi berjalan dengan lancar dan
rakyat telah bersuara, maka wajiblah seluruh dari kita untuk menghormati suara dan
kehendak rakyat.
Majlis Belia Malaysia juga turut berbangga apabila Presiden ke-6 Majlis Belia Malaysia,
YAB Dato Seri Anwar bin Ibrahim telah dipilih dan dilantik sebagai Perdana Menteri
Malaysia ke-10. Ini sekaligus menjadi bukti yang jelas dan nyata peranan MBM sejak
penubuhannya pada 1948, sebagai rahim didalam melahirkan ribuan pemimpin negara
serta MBM akan terus kekal menjadi kilang di dalam melahirkan pemimpin pada masa
kini dan masa hadapan buat negara tanpa mengira latar belakang dan parti politik.
Ahli Majlis yang dihormati sekelian,
Pilihanraya kali ini juga membuka lembaran sejarah yang baru apabila buat kali
pertamanya juga, warganegara yang berumur 18 tahun keatas telah diberikan hak untuk
menentukan untung nasib negara. MBM mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan
tahniah kepada semua belia yang telah keluar beramai-ramai untuk mengundi dan telah
membuktikan tanggapan negatif kepada anak muda nyata meleset. Pun begitu, usaha
harus di pergiatkan bagi memastikan kefahaman dan literasi politik serta demokrasi
dikalangan belia terus meningkat. Kementerian Belia dan Sukan selaku Kementerian
yang bertanggungjawab didalam membawa pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi
merealisasikan Undi 18 menjadi kenyataan harus memastikan usaha berterusan
dijalankan agar kefahaman berkenaan demokrasi dan politik dapat dilaksanakan seawal
mungkin. Pendidikan demokrasi harus diajar seawal mungkin di sekolah, dan ini
termasuklah memberikan peluang untuk pelajar merasai demokrasi secara praktikal,
seperti pemilihan ketua pelajar di sekolah harus diadakan secara demokrasi oleh pelajar
sendiri. Usaha bersama antara Kementerian yang berkepentingan khususnya
Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi harus dituntaskan supaya
literasi politik dan demokrasi dapat dijalankan dengan seberapa segera. Demokrasi dapat
berjalan dan berfungsi dengan baik hanya apabila setiap dikalangan warganegara yang
layak memilih benar-benar faham akan peranan mereka dengan baik. Kofi Annan,
mantan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ketika
menyampaikan ucapan di dalam Persidangan Menteri-Menteri Belia Sedunia pada Ogos
1998 di Lisbon menyatakan;
“No one is born a good citizen, no nation is born a democracy. Rather, both are processes
that continue to evolve over a lifetime. Young people must be included from birth. A
society that cuts off from its youth severs its lifeline.”
MBM sedia menjadi rakan strategik KBS didalam memastikan literasi politik dan
demokrasi ini dapat dilaksanakan dengan lebih menyeluruh, malah MBM telah dari awal
lagi mula menjalankan proses literasi politik ini dengan mewujudkan Sekolah Politik, yang
mana telah berjalan sejak tahun 2018 lagi dan berjalan hingga kini. MBM juga telah giat
mempromosikan Kempen #NotTooYoungToRun, iaitu satu kempen global dijalankan
oleh PBB untuk melobi parti-parti politik supaya meletakkan calon muda didalam
pilihanraya, dengan harapan agar lebih ramai lagi ahli parlimen muda dapat dipilih dan
dapat mewakili suara belia didalam badan legislatif negara. Untuk itu, MBM dan seluruh
badan gabungannya membuka seluas-luasnya pintu kerjasama dengan KBS dan
Kementerian Pendidikan agar kefahaman politik dan demokrasi ini benar benar
mengakar dan subur dikalangan belia kita.
Sidang Majlis yang dihormati sekelian,
MBM juga mengambil kesempatan ini untuk menyatakan sokongan kepada gagasan
Malaysia Madani yang telah diluncurkan oleh YAB Perdana Menteri pada minggu lepas.
Gagasan Madani bukanlah satu gagasan yang baharu, malah telah diperkenalkan oleh
YAB Perdana Menteri sejak 1990-an lagi melalui gagasan Masyarakat Madani yang
berpandukan kepada kefahaman dibawa oleh YM Prof Syed Muhammad Naquib al-Attas,
ilmuwan ulung negara. Ketikamana maksud Madani yang dibawa oleh Prof Syed Naquib
sarat dengan falsafah islami yang merujuk satu masyarakat bertamadun yang
menjadikan Madinah sebagai model, dengan penekanan bahawa maksud tamadun Islam
berbeza dengan tamadun barat yang sekular, Gagasan Malaysia Madani yang
diketengahkan oleh YAB Perdana Menteri lebih komprehensif dan menjawab kepada
beberapa soalan yang menjerut masyarakat Malaysia masa kini, serta lebih terarah
kepada sebagai satu dasar kerajaan, dan bukan hanya pergelutan fahaman falsafah
semata-mata. Konsep Madani dirangka sebagai ikhtiar untuk memetakan strategi bagi
mentadbir negara dengan berkesan, dirangkul peradaban yang dicitakan dengan
ditakrifkan dengan sebuah konsep mampan, sejahtera, berdaya cipta, saling
menghormati, punyai keyakinan dan bersifat ihsan.
Malaysia Madani yang dibawa ini akan menekankan penstrukturan semula ekonomi
negara, membasmi kemiskinan, dan menjana ekonomi negara dengan menekankan
konsep martabat manusia, serta kemampanan bukan sahaja dari segi pembangunan
fizikal, bahkan pembangunan dari sudut akhlak serta alam sekitar. Pembangunan negara
yang diharapkan bukan sahaja dengan bangunannya gedung-gedung besar dan
bangunan pencakar langit, tapi pembangunan juga harus disertakan dengan
pembangunan manusia yang mengisi negara berkenaan. Apa guna Malaysia mempunyai
menara kedua tertinggi di dunia, sedangkan masih ramai rakyat yang masih miskin dan
papa. Masih ramai anak kecil di pedalaman yang masih mengalami malnutrisi, sebagai
contoh seperti mana yang dilaporkan oleh Yayasan Arba dengan 1 dari 5 kanak-kanak di
Malaysia mengalami kebantutan, malah masalah kebantutan kanak-kanak di Malaysia
pada 2019 melalui kajian yang telah dilakukan oleh Darek Kok dari Jeffrey Cheah Institute
on South East Asia dilaporkan lebih tinggi daripada Tebing Tinggi dan Gaza di Palestin
yang menghadapi konflik perang, dan hampir menyamai peratus kebantutan di Iraq
dengan negara ini mencatatkan kanak-kanak terbantut pada 20.7% manakala Iraq pada
22.6%. Itu hanya sekadar contoh akan pembangunan yang tidak seimbang antara
mengejar pembangunan materi, sedangkan masih ramai dikalangan rakyat kita yang
masih menderita sepertimana yang telah dipesankan oleh WS Rendra didalam sajaknya
bertajuk Orang-Orang Miskin;
Jangan kamu bilang negara ini kaya,
Kerana orang-orang berkembang di kota dan desa,
Jangan kamu bilang kamu kaya,
Bila tetanggamu memakan bangkai kucing…
Hanya kini, apa yang diharapkan ialah segala rukun MADANI yang telah dibentangkan
akan dapat diterjemahkan dalam bentuk pelaksanaan didalam semua polisi dan dasar
negara. Sebuah gagasan atau polisi yang ditulis dan dirangka dengan maha hebat
sekalipun, namun hanya kekal sebagai satu penulisan dan polemik politik semata-mata
sekiranya rakyat masih tidak dapat merasai pelaksanaan dan keberadaanya. Sekali lagi,
MBM selaku badan induk pertubuhan belia di Malaysia sedia menyahut seruan untuk
menggerakkan 6 Rukun Madani yang dibawa oleh YAB Perdana Menteri ini khususnya
didalam pembentukan karakter dan pembangunan belia Malaysia.
Ahli Majlis yang saya hormati sekelian,
MBM juga gembira melihat fokus kerajaan didalam MADANI kali ini juga tertumpu kepada
kemampanan alam sekitar. Pembangunan mampan harus menjadi antara keutamaan
negara buat masa kini, bagi memastikan pembangunan pada masa hadapan tidak
diganggu gugat dengan krisis iklim. Forum Ekonomi Dunia, WEF didalam laporan
terbarunya yang dikeluarkan pada 11 Januari 2023, iaitu Global Risks Report 2023 telah
menyatakan 10 risiko utama (Top 10 Risks) yang akan dihadapi oleh dunia pada 2 tahun
akan datang, (yang mana saya sebutkan 3 risiko utama) iaitu:
- Krisis kos sara hidup;
- Perubahan cuaca ekstrem dan bencana alam;
- Konfrontasi Geo-ekonomi
Manakala 3 risiko utama yang akan dihadapi oleh dunia pada 10 tahun akan datang pula
ialah:
- Kegagalan mitigasi perubahan iklim;
- Kegagalan beradaptasi kepada perubahan iklim;
- Cuaca ekstrem dan bencana alam
Laporan ini jelas menunjukkan bahawa krisis iklim bukanlah satu isu yang boleh
dipandang enteng. Belia dan anak mudanya pastinya golongan yang paling terkesan
dengan krisis iklim kerana merekalah yang akan terpaksa menanggung akibat hasil
kecuaian dan kelalaian generasi pada hari ini.
Kerajaan harus segera melihat krisis iklim ini sebagai satu perkara serius dan segera
membentangkan strategi kerajaan didalam menangani krisis iklim ini, dan ini termasuklah
memastikan segala pembangunan selepas ini hendaklah berteraskan ESG
(Environmental, Social and Governance) yang boleh dianggap sebagai satu piawaian
antarabangsa buat masakini.
Ahli Majlis yang dihormati sekelian,
MBM akan terus memposisikan diri sebagai kuasa ketiga didalam negara ini dengan
berpaksikan kepada slogan MBM itu sendiri, iaitu Belia Bertindak untuk Kebenaran dan
Keadilan. Untuk itu, MBM dan seluruh badan gabungannya menyelar dan mengecam
dengan sekeras-kerasnya tindakan seorang ekstremis asal Sweden, Rasmus Paludan
yang telah bertindak membakar kitab Al-Quran di luar Kedutaan Turki di Stockholm, sabtu
lalu. Belia Malaysia yang mewakili pelbagai agama dan kaum yang hidup aman di
Malaysia serta cintakan kedamaian menolak sebarang tindakan yang menghina agama
lain dan mendesak agar Kerajaan Sweden segera mengambil tindakan terhadap pelaku
berkenaan.
Menjelang Sambutan Jubli Intan 75 tahun penubuhannya, MBM akan terus menjadi suara
rakyat terbawah dan belia Malaysia seluruhnya. MBM akan terus menjadi suara yang
akan paling terhadapan didalam membawa isu rakyat dan belia, sedia menyokong,
menjadi mata dan selinga untuk usaha kerajaan asalkan membawa kebaikan kepada
rakyat, dan sedia menjadi pengkritik yang paling lantang sekiranya rakyat dan belia
diabaikan.
Saya yakin MBM akan terus kekal dan dipimpin oleh anak muda yang cekal berpegang
teguh kepada idealisme perjuangan.
Menggerak Belia!
Sekian.