Sempena Persidangan Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) Sidang II Penggal Ke-34 Sesi 2023-2024
12 September 2024, Pusat Belia Antarabangsa, Kuala Lumpur
Ucapan terima kasih kepada semua Ahli Majlis yang hadir pada hari ini bagi menunaikan tanggungjawab kita kepada pembangunan belia dan negara, iaitu Sidang ke-2, Penggal ke-34 Majlis Perundingan Belia Negara atau MPBN ini. Tahniah dan terima kasih juga saya rakamkan kepada Jawatankuasa Bersama MPBN, Kementerian Belia dan Sukan serta MBM yang telah bertungkus lumus bagi memastikan MPBN dapat dilaksanakan sepertimana yang dikehendaki di dalam Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia, yang mana memperuntukkan Majlis ini hendaklah dilaksanakan dua kali setahun. Juga beberapa penambahbaikan yang telah dibuat pada penggal kali ini, termasuklah mewujudkan ‘Jawatankuasa Bertindak’ bagi setiap usul yang telah diluluskan oleh Majlis ini supaya setiap usul tidak hanya terhenti sebaik sahaja Majlis ini habis bersidang.
Penambahbaikan lain juga termasuklah mewujudkan kembali MPBN di Peringkat Daerah sepertimana yang telah ditetapkan dan dipersetujui oleh YB Menteri semasa ucapan penggulungan pada sesi lepas. Ini penting agar segala isu dan masalah dari akar umbi dapat didengari oleh agensi yang terlibat.
Penghargaan juga saya rakamkan kepada YB Pengerusi dan YB Timbalan Menteri kerana telah menyokong kepada pelaksanaan MPBN sepertimana termaktub dalam Akta 668. Terima kasih YB Pengerusi kerana telah bersedia mempengerusikan MPBN di sebalik jadual sibuk antara mengurus dan memastikan Malaysia membawa emas di Olimpik Paris, Sukan Malaysia dan Paralimpik Paris. Permintaan MBM hanya sederhana, iaitu kehadiran YB Menteri untuk Hari Belia Negara dan 2 kali sidang MPBN ini. Dan terima kasih YB Pengerusi kerana telah memahami dan mendengar hasrat kami semua.
Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mewakili sekelian belia Malaysia untuk mengucapkan tahniah kepada atlet Malaysia samada yang beraksi di Olimpik mahupun Paralimpik yang telah berusaha sepenuh daya dan tenaga bagi memastikan lagu Negaraku berkumandang di Paris.
Ucapan tahniah khas dari MBM juga kami sembahkan kepada dua atlet negara, iaitu Sdr. Cheah Like Hou dan Bonnie Bunyau yang telah menyumbang dua butir emas dalam acara badminton dan angkat berat. Lebih membanggakan, Sdr. Bonnie telah memecahkan rekod dunia yang diciptanya sendiri. Satu rekod dunia, dua rekod Asia dan enam rekod peribadi telah dipecahkan oleh atlet paralimpik negara kita pada Paralimpik kali ini.
Melihat kepada keupayaan atlet paralimpik kita yang tak pernah gagal menyumbangkan kilauan emas kepada negara, maka tidak salah untuk Kerajaan terus memberikan kepercayaan dan penghormatan kepada mereka dengan memberikan dana yang sama banyaknya untuk pembangunan atlet paralimpik kita. Sekiranya di peringkat Olimpik wujudnya Road to Goal dengan dana RM20 juta, maka wajarlah untuk sukan paralimpik juga diberikan dana yang sama agar atlet paralimpik kita terus menyumbang dan mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa. Sekali lagi tahniah kepada semua dan ini termasuklah Kementerian Belia dan Sukan.
TRANSISI HAD UMUR
Kalau kita hitung dan kira, kurang lebih 476 hari lagi sebelum bermulanya pelaksanaan dan penguatkuasaan Akta 668. 476 hari nanti, sekali lagi landskap pembangunan belia dan persatuan belia akan berubah yang mana had umur bawah 30 tahun akan dikuatkuasakan.
476 hari ini adalah hari genting dan penting bukan sahaja kepada MBM dan lebih 12 ribu persatuan belia yang berdaftar di bawah Akta 668 dan Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia, bahkan saya berani katakan bahawa perubahan ini juga pastinya memberi kesan kepada negara secara keseluruhannya sama ada secara langsung mahupun tidak langsung.
Gagal di dalam memastikan transisi berlaku dengan baik, ia bukan sahaja mengganggu ekosistem pembangunan belia dalam negara yang diiktiraf luar negara sebagai antara negara yang mempunyai ekosistem pembangunan belia terbaik dunia, malah yang saya risaukan ia juga menyebabkan terganggunya proses melatih kepimpinan negara yang akan datang. Atas sebab itu, menjadi tanggungjawab penuh kita, sama ada di pihak MBM mahupun KBS untuk memastikan transisi ini dapat berjalan dengan baik dan lancar.
Kita harus belajar dari kegelojohan dalam pelaksanaan Undi 18, yang kecelaruannya masih dirasai hingga pada hari ini. Saya tegaskan bahawa bukan kerana Undi 18 itu tidak baik, malah untuk makluman, MBM telahpun memperjuangkan untuk had umur pengundi diturunkan dari 21 tahun ke 18 tahun sejak sekian lama, bahkan untuk makluman saya secara peribadi telah terlibat di dalam membawa isu had umur mengundi ini di Semakan Berkala Sejagat (Universal Periodical Review) Malaysia pada tahun 2018 melalui Malaysian Alliance of Civil Societies Organisations (MACSA), tapi kerana kegopohan dan kerana kita gagal dalam menyediakan ekosistem yang menyeluruh ke arah menyokong Undi 18, maka kita masih lagi terkial-kial dalam memahami anak muda dan belia kita berkaitan politik dan demokrasi. Moga dijauhkan perkara yang sama turut berlaku kepada pertubuhan belia kelak apabila Akta 668 ini akan dilaksanakan.
Atas sebab itu, harapan MBM ialah sokongan penuh tidak berbelah bahagi daripada KBS untuk transisi ini berjalan dengan lancar, dan ini termasuklah bantuan kewangan bagi semua badan gabungan MBM melaksanakan program-program pengkaderan dan kepimpinan. Sekiranya di bidang sukan, pihak Kerajaan mampu menyediakan RM20 juta untuk memastikan kilauan emas pertama negara melalui program Road to Gold, alangkah baiknya peruntukan dan perhatian yang sama turut diberikan kepada pembangunan belia, khususnya transisi yang bakal menjelang tiba ini.
Kami mungkin tak mampu memberikan ‘glamour’ kepada KBS dengan kilauan emas atau mana-mana piala, tapi harus saya peringatkan untuk muhasabah kita semua, gagal kita dalam mendidik dan membentuk generasi hari ini, kesannya pada negara pasti terasa seawal lima hingga sepuluh tahun yang mendatang.
Pun begitu, saya mewakili MBM mengucapkan terima kasih kepada YB Pengerusi yang mana telah memperuntukkan RM2 juta kepada MBM dan badan gabungannya melalui inisiaitif Rakan Muda. Saya juga ingin mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada Kementerian kerana sepertimana yang diumumkan oleh YB Timbalan Menteri semasa Townhall Belanjawan 2025, iaitu antara Sasaran KBS bagi 2025 ialah Sasaran Empat iaitu Pembangunan Pertubuhan, Penglibatan dan Suara Belia yang mana secara spesifik menyatakan Pelan Transisi Pertubuhan Belia, dan saya harapkan ia bukan hanya satu tekad semata-mata sebaliknya diterjemahkan dengan dana khas bagi pelaksanaan Pelan Transisi Pertubuhan Belia ini.
Di pihak MBM, fokus bagi 2025 hanya satu, iaitu memastikan transisi berlangsung dengan lancar dan tersusun. Fokus utama MBM ialah memastikan semua badan gabungannya dapat menyediakan pelapis pimpinan yang akan meneruskan pergerakan belia dalam negara ini. Walaupun sukar dan mencabar, saya menaruh sepenuh kepercayaan kepada kepimpinan di semua badan gabungan MBM untuk mengusahakan sesuatu agar transisi ini dapat berjalan dan berjaya seperti dihasratkan. Namun begitu, sokongan dan dokongan penuh, bukan sahaja di peringkat tertinggi KBS, bahkan di peringkat Jabatan Belia dan Sukan Negeri dan Pejabat Belia dan Sukan Daerah amat ditagihkan. Berikan kepercayaan penuh kepada belia kita untuk belajar mengurus dan menjalankan program dan acara mereka sendiri. Ini termasuklah memberikan ruang berkarya kepada belia kita di dalam program profil bersama KBS dan MBM seperti Hari Belia Negara.
Saya amat berharap agar amalan baik sepertimana yang diamalkan di peringkat kebangsaan, iaitu kerjasama erat antara KBS dan MBM juga diamalkan di peringkat negeri mahupun daerah. Jabatan Belia dan Sukan Negeri wajib melibatkan Majlis Belia Negeri dan Badan Gabungan Majlis Belia Negeri dan tidak hanya syok sendiri. Harap kita sama-sama perbaikinya agar program yang dirancang benar-benar sampai akar umbi.
CABARAN MENGHADAPI ISU SOSIAL BELIA
Cabaran yang dihadapi anak muda dan belia Malaysia begitu mencengkam mereka dan memerlukan intervensi segera daripada Kerajaan.
Laporan demi laporan yang dikeluarkan sama ada dari agensi Kerajaan mahupun badan bebas menunjukkan statistik yang merisaukan dari hari ke hari. Terbaharu, isu vape yang menggunakan bahan terlarang iaitu vape mushroom menjadi satu masalah besar yang semakin menjadi jadi khususnya dikalangan belia, dan ini termasuklah pelajar sekolah menengah malah pelajar sekolah rendah.
Dan tanpa perlu kita pergi jauh, kalau kita bandingkan dengan negara-negara di peringkat ASEAN sebagai contoh, Singapura dan Thailand telahpun mengharamkan vape manakala Filipina pula sudahpun mempunyai satu undang-undang terkait vape dan produk nikotin, iaitu The Vaporised Nicotine and Non-Nicotine Products Regulation Act, kita masih lagi jauh di belakang berbanding negara jiran ini, dan ini satu perkara yang perlu kita risau dan perhatikan.
Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 masih belum dapat dikuatkuasakan dan masih tiada lagi tarikh tetap akhir dari Kementerian Kesihatan bilakah Akta Kawalan ini dapat dikuatkasakan. MBM mendesak agar Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 segera diberikan tarikh kuatkuasa dan segera dilaksanakan. Masalah vape flavour mushroom hanya akan dapat dikawal dengan wujudnya dan pengkuatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023.
Dan seperti saya katakan tadi, antara masalah akibat dari penggunaan tanpa kawalan daripada vape ini ialah vape dengan flavour mushroom yang telah menembusi dan popular hingga ke pelajar sekolah. Ini semua terjadi akibat kawalan yang masih belum dilaksanakan khususnya dalam menangani isu kawalan rokok dan pengganti rokok.
MBM juga percaya intervensi yang tersusun juga dapat dilaksanakan dengan wujudnya dengan seberapa segera Akta Pekerja Sosial yang telah tertangguh sejak sekian lama serta pemantapan Pekerja Belia. Saya yakin Akta Pekerja Sosial ini juga turut dekat di hati YB Pengerusi memandangkan usaha memperkenalkan Akta Pekerja Sosial ini juga telah bawa semasa YB Pengerusi menjadi Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Malangnya sehingga kini, Akta Pekerja Sosial masih belum terlaksana dan belum dibawa ke Parlimen untuk dibentangkan.
Akta Pekerja Sosial ini penting bagi memastikan wujudnya pekerja sosial yang profesional dan lebih bersistematik. Saya percaya dengan wujudnya satu Akta khusus menyelenggara pekerja sosial secara tersusun, khidmat sosial dan ini termasuklah usaha menangani gejala dan masalah sosial di kalangan belia kita dapat dibendung dan dikawal.
Pekerja Sosial di sekolah juga harus diperkenalkan sepertimana di Amerika Syarikat. Di Amerika Syarikat, wujud penjawatan pekerja sosial di sekolah yang mana memfokuskan bantuan kepada pelajar dari sudut sosio-emosi yang lebih luas dan tidak hanya tertakluk di kawasan sekolah semata-mata. Manakala kaunselor pula lebih memfokuskan kepada bimbingan dari sudut akademik, kerjaya dan pembangunan sahsiah diri.
Saya amat berharap agar Pekerja Sosial dan Pekerja Belia ini dapat diperkasakan dan diwujudkan dengan seberapa segera.
SEMANGAT ALTRUISME DI KALANGAN BELIA
MBM ingin mengucapkan tahniah kepada sikap konsistensi Kerajaan di dalam isu kemanusiaan khususnya di Palestin. Kita sebagai rakyat Malaysia boleh berbangga dengan sikap tegas yang ditunjukan Malaysia yang kini menjadi sebutan di kalangan masyarakat antarabangsa.
MBM juga ingin menyatakan sokongan penuh terhadap usaha Kerajaan membawa pulang 41 warganegara Palestin yang tercedera serta diiringi 86 waris mereka untuk mendapatkan rawatan di Malaysia. Tindakan ini pastinya membuktikan bahawa Malaysia ‘walk the talk’ dan membuktikan sifat ihsan dan perimanusiaan yang tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia.
Sifat ihsan Bangsa Malaysia ini bukanlah satu perkara yang baru. Malah sejarah membuktikan bahawa sejak awal kemerdekaan negara ini lagi, selang beberapa tahun selepas Merdeka pada 1957, ketika mana kita masih lagi sebuah negara secara relatifnya miskin, bertatih malah masih lagi berhadapan dengan masalah komunis, Persekutuan Tanah Melayu telah menghantar anggota tentera kita dalam misi pengaman di Congo, yang mana menjadi mukadimah kepada misi-misi pengaman yang lain sehingga kini.
Namun sifat ini sedikit tercalar dengan beberapa pertikaian di kalangan masyarakat kita yang mempersoalkan kewajaran usaha Kerajaan membawa pulang warganegara Palestin ini.
Saya melihat ini sebagai satu perkara yang menggusarkan, dan bukti semangat ihsan, kemanusiaan dan kesukarelaan dikalangan rakyat kita semakin menipis. Semangat altruisme di kalangan rakyat khususnya di kalangan belia semakin menipis, dan diganti dengan semangat penting diri dan individualistik.
Kerajaan perlu melakukan sesuatu bagi memastikan jiwa kesukarelaan dan semangat ketimuran ini terus membara dalam warga kita.
Saya mohon mencadangkan untuk diwujudkan Hari Sukarelawan Kebangsaan bagi menyemarakkan lagi semangat kesukarelaan di kalangan warganegara kita, selain terus menyambut Hari Sukarelawan Antarabangsa yang kita sambut setiap 5 Disember setiap tahun.
MBM juga memohon pertimbangan KBS untuk mengembalikan semula program MYCorps, iaitu program kesukarelaan dalam dan luar negara untuk belia kita. Belia kita harus diberikan peluang untuk melihat betapa bersyukur dan bertuahnya mereka hidup di negara seperti Malaysia yang penuh dengan kemewahan. Hantar mereka ke negara-negara yang kurang berkemampuan dan tunjukkan bahawa Malaysia mampu untuk dijadikan contoh kepada negara-negara lain.
MYCorps juga satu instrumen penting untuk kita menjadi salah satu soft diplomacy atau diplomasi lembut Malaysia di peringkat antarabangsa.
Pada 16 dan 17 September ini negara akan menyambut beberapa hari besar seperti Hari Malaysia, Maulidul Rasul dan Perayaan Kuih Bulan. Mewakili MBM saya mengucapkan Selamat Hari Malaysia. Mari kita bersatu padu dan bersekutu bertambah mutu. Selamat menyambut Maulidul Rasul dan Selamat Menyambut Pesta Kuih Bulan di kalangan kaum Tiong Hua.
Terima Kasih dan Selamat Bersidang!