MAJLIS BELIA MALAYSIA

Teks Ucapan Presiden Majlis Belia Malaysia

JUFITRI BIN JOHA

Sempena

Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) Sidang 1 Penggal ke-33 Sesi 2021/2022

25 Januari 2022 / 22 Jamadilakhir 1433 H

Hotel Tenera Bangi, Selangor

(Surah al-Jinn Ayat 16)

The only reason to give a speech is to change the world – John F. Kennedy

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Salam Sejahtera,

Saudara saudari sekalian,

Saya ingin merakamkan permohonan maaf kerana masih di podium ini yang sepatutnya sudah bersara daripada dunia pergerakan belia. Setelah dua tahun tidak bersemuka angkara Covid-19, sudah tentu banyak yang ingin dibicarakan namun saya menganggap ini merupakan ucapan perpisahan saya dan teman-teman sesi 2018-2022 sebelum pemilihan MBM diadakan segera, justeru anggaplah ucapan ini laksana kumbang menyeri bunga; kumbang pun terbang, bunga pun layu.

Saya bukanlah pandai bermain kata namun ucapan ini bagi membuka mata dan minda bagi melakukan perubahan nyata. Jikalau dibunuh hamba mati, Kalau dibakar hamba hangus, Jikalau dijual hamba jauh, Jikalau direndam hamba basah.

Saya mengucapkan syabas kerana Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) terus mengekalkan keazaman penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa perundingan tinggi dan perbincangan intelektual tatkala terhakisnya keyakinan kepada bahasa Melayu hatta dalam kalangan penjawat awam dan jabatan kerajaan walaupun telah diberikan teguran oleh YAB Perdana Menteri baru-baru ini dalam Perasmian Malam Kemuncak Pertandingan Akhir Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri 2021.

Bagi pihak MBM saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada mantan Menteri, mantan Timbalan Menteri, mantan KSU dan mantan KP serta mengalu-alukan kehadiran Menteri baharu, Timbalan Menteri baharu, KSU baharu dan KP baharu.

Saudara saudari sekalian,

Sukacita saya memperingatkan MPBN merupakan Parlimen Belia tertinggi semenjak diasaskan zaman Tun Abdul Razak dan ini merupakan peluang untuk para pemimpin belia dan Ahli Lantikan Belia (ALP) mengutara dan berbahas tentang pelbagai idea bernas untuk kebaikan belia, negara bahkan dunia. Justeru MBM mengharapkan Kerajaan khususnya KBS menjadi pendengar yang baik kerana MPBN mengikut Francesc Miralles and Hector Garcia penulis buku The Book Ichigo Ichie The Art of Making the Most Every Moment, the Japanese Way adalah tempat yang boleh disesuaikan dan  dikategorikan sebagai right place for important conversations. Tempat yang baik dan tepat seperti MPBN mampu menjadikan Kerajaan dan KBS menjadi pendengar yang baik.

Dengan idea-idea bertenaga dan berkuasa tinggi yang bakal dipersembahkan oleh ahli MPBN mampu membawa Malaysia untuk terus survive di masa hadapan sebagaimana disebutkan oleh Kishore Mahbubani dalam bukunya Can Singapore Survive? bahawa Singapura boleh survive dengan hanya idea-idea hebat.

Saudara saudari sekalian,

Dunia tidak terkecuali Malaysia dilanda dengan ujian berat Covid-19 melebihi dua tahun menyebabkan Malaysia dan seluruh dunia terpaksa berkurung. Pelbagai kesan menimpa kita apatah lagi Malaysia ditimpa penyakit tiga serangkai Covid-19, ketidakstabilan politik dan kemelesetan ekonomi. Kedukaan kita bertimpa-timpa apabila kita juga turut dilanda dengan banjir yang tidak terduga dan sekarang cuaca yang sangat memeritkan.

Surah al-Baqarah Ayat 155

155 :“Dan Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa, dan buah-buahan. Dan sampaikanlah kabar gembira kepada orang-orang yang sabar”.

Bencana alam dan wabak halimunan ini merupakan bahasa Tuhan bagi memberikan kesedaran kepada manusia agar kembali kepada nilai integriti, kehambaan dan kemanusiaan. Jangan rakus dengan pembalakan yang hanya menguntungkan kantung pembalak semata-mata tanpa memikirkan kelestarian alam, jangan bercakaran kerana kuasa dan jangan rasuah dan salah guna kuasa. Kerana kerakusan dan kedurjanaan ini kita juga akan kehilangan Harimau Malaya dalam tempoh 5 ke 10 tahun, ini bermakna kita akan kehilangan ruh Malaysia yang menjadi simbol di Jata Negara. Kita harus kembali kepada ekonomi manusiawi, matlamat pembangunan mampan (SDG) dan Tatakelola Alam Sekitar Sosial dan Korporat atau Environmental, Social, and (Corporate) Governance (ESG).

Belia merupakan sebahagian besar kelompok rakyat yang terkesan teruk dengan pandemic menyebabkan mereka berasakan sangat cemas akan masa depan apabila mereka menjadi generasi hilang atau lost generation yang kedua semenjak perang dunia pertama. Satu kajian global di 10 buah negara seperti yang dipaparkan oleh portal thevibes.com mendapati 45 % anak muda menderita cemas alam sekitar atau eco-anxiety manakala 75% anak muda mendapati masa depan begitu menakutkan. 65% of those surveyed believe governments are ‘failing young people,’ with 58% going so far as to call this inaction a ‘betrayal’ for future generations.

MBM telah pun mencadangkan Akta Generasi Masa Depan bagi memelihara hak generasi muda dan generasi masa hadapan dalam pelbagai sudut kehidupan khususnya sumber alam dan alam sekitar dan melindungi mereka daripada si rakus dan si tamak haloba.

Tambah mencemaskan apabila landskap demokrasi negara yang diharapkan menyelesaikan masalah mereka tidak berfungsi sepatutnya menyebabkan mereka hilang kepercayaan kepada demokrasi. Defisit kepercayaan berlaku di seluruh dunia sebagaimana yang dilaporkan oleh the Centre for the Future of Democracy at Cambridge University. Nazir Razak dalam bukunya What’s In A Name ketika mengulas perkara ini menyebut, “Democracy flourished after the fall of the Berlin Wall but quite soon went into long-term decline as people became increasingly frustrated with growing inequality and detached elites who did too little for the average voter”.

Usaha mengembalikan keyakinan dan kepercayaan ini bukanlah tugasan mudah namun agenda Undi 18 dan usaha yang dilakukan oleh MBM dan I-Lead melalui Sekolah Politik, Sekolah Rukun Negara, Kempen #NotTooYoungToRun, Kempen #GerakanUndi65 (#GUN65) yang dibawa oleh badan gabungan MBM dan Modul Undi 18 MBM diharap mampu menjadi penawar dan menarik semula minat anak muda membugar penyuburan demokrasi negara. Portal Utusan baru-baru ini melaporkan bahawa minat generasi muda untuk berpartisipasi dalam demokrasi masih lagi rendah.

“Kurang 300,000 daripada 5.7 juta pengundi baharu yang bakal terlibat dalam pendaftaran automatik tampil untuk membuat semakan maklumat masing-masing.

Perkara itu dikenal pasti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semasa pihaknya melaksanakan Semakan Pra Pendaftaran Automatik (SPPA) bagi tujuan semakan maklumat dan alamat, yang berlangsung dalam tempoh sebulan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, situasi itu sekali gus menunjukkan ramai yang tidak berminat atau mengambil mudah perkara ini” (Utusan 17 Januari 2022).

Pilihanraya Negeri (PRN) Johor menyaksikan hampir 6% atau 150 000 pengundi kelompor umur 18-20 tahun daripada 2.5 juta pengundi Johor akan mula menjadi game changer kepada landskap politik Johor kehadapan.

Saudara saudari sekalian,

Bagi menangani cabaran besar ini, memerlukan koloborasi berterusan antara MBM dengan KBS dan bukannya konfrontasi. Hubungan kita adalah simbiosis dan bukan parasit seperti Benalu, Padma raksasa mahupun Gulma rumput setan. Kita harus terus bekerjasama rapat bagi membangunkan semula manusia dan kemanusiaan seperti kata-kata pujangga sohor Pakistan Sir Muhammad Iqbal, “kita harus bangunkan manusia dan kemanusiaan”.

Kita acapkali memberikan fokus membangun manusia dengan memenuhi keperluan fizikal dan potensi mereka seperti pekerjaan, ekonomi, latihan dan keusahawanan namun kita lupa membangunkan keperluan kemanusiaan dan jati diri seperti pembangunan ilmu, idealisme, akhlak dan kerohanian. Akhirnya lahirlah insan yang tidak seimbang sedangkan tujuan pendidikan menurut Profesor Dzulkifli Razak Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) adalah untuk melahirkan insan seimbang. Kata beliau dalam bukunya Memupuk Insan Seimbang, “roh pendidikan ialah pendidikan roh”. Jika kita gagal maka kita akan melahirkan belia dan pelajar yang berijazah tanpa ilmu, berbudaya namun tidak beradab dan berpelajaran namun tidak berpendidikan.

Justeru status di dinding biru Facebook YB Dato’ Seri Faizal Azumu bertarikh 4 Januari 2022 sangat mengesankan apabila berpesan pada anakandanya, Happy Birthday Emery!! Forgive me for not being there to celebrate with u!! Jangan lupa solat & stay safe!! Love u, Bapak.”

Pada frasa “Jangan lupa solat & stay safe!! Love u, Bapak.” Itulah terungkapnya menifestasi kehambaan dan kemanusiaan yang perlu kita kembalikan. Saya seru pada YB Menteri agar konsep kehambaan dan kemanusiaan ini wajar mendasari visi, misi, corak dan gaya tata kelola pentadbiran di KBS tidak terkecuali MBM. Dasar mestilah jelas dan serius namun pendekatan dengan belia mestilah santai, bersahaja, fun, cool dan funky. Bersesuaian dengan pendekatan YB yang sempoi dan bersahaja, KBS dan MBM boleh menggunakan pendekatan yang menarik yang masih belum betul betul diterokai seperti sukan dan kebudayaan.

Namun begitu saya bersimpati pada YB menjadi YB pada zaman edan ini memang susah, nak melawat anak dan meluangkan masa bersama keluarga juga terbatas. Namun YB beruntung menjadi orang besar didengar suaranya berbanding kami orang kecil yang tidak berapa didengar suaranya. Ini mengingatkan saya kepada puisi Gusmus “Orang Kecil Orang Besar”,

Suatu hari yang cerah

Di dalam rumah yang gerah

Seorang anak yang lugu

Sedang diwejang ayah-ibunya yang lugu

Ayahnya berkata:

“Anakku,

Kau sudah pernah menjadi anak kecil

Janganlah kau nanti menjadi orang kecil!”

“Orang kecil kecil peranannya

Kecil perolehannya,” tambah si ibu

“Ya,” lanjut ayahnya

“Orang kecil sangat kecil bagiannya

Anak kecil masih mendingan

Rengeknya didengarkan

Suaranya diperhitungkan

Orang kecil tak boleh memperdengarkan rengekan

Suaranya tak suara.”

Sang ibu ikut wanti-wanti:

“Betul, jangan sekali-kali jadi orang kecil

Orang kecil jika jujur ditipu

Jika menipu dijur

Jika bekerja digangguin

Jika mengganggu dikerjain.”

Ayah dan ibu berganti-ganti menasehati:

“Ingat, jangan sampai jadi orang kecil

Orang kecil jika ikhlas diperas

Jika diam ditikam

Jika protes dikentes

Jika usil dibedil.” 

“Orang kecil jika hidup dipersoalkan

Jika mati tak dipersoalkan.”

“Lebih baik jadilah orang besar

Bagiannya selalu besar.”

“Orang besar jujur-tak jujur makmur

Benar-tak benar dibenarkan

Lalim-tak lalim dibiarkan.”

“Orang besar boleh bicara semaunya

Orang kecil paling jauh dibicarakan saja.”

“Orang kecil jujur dibilang tolol

Orang besar tolol dibilang jujur

Orang kecil berani dikata kurangajar

Orang besar kurangajar dikata berani.”

“Orang kecil mempertahankan hak

disebut pembikin onar

Orang besar merampas hak

disebut pendekar.”

Si anak terus diam tak berkata-kata

Namun dalam dirinya bertanya-tanya:

“Anak kecil bisa menjadi besar

Tapi mungkinkah orang kecil

Menjadi orang besar?”

Besoknya entah sampai kapan

si anak terus mencoret-coret

dinding kalbunya sendiri:

“O r a n g k e c i l ? ? ?

O r a n g b e s a r ! ! !”

Jawapan saya mudah, jadilah orang besar yang berakhlak dan berjiwa besar. Tugasan untuk melahirkan orang besar yang berakhlak dan berjiwa besar harus diteruskan dengan memastikan lebih ramai pimpinan belia yang terbukti akhlak dan profesionalisme mereka berada di dalam dewan legislatif negara mahupun negeri mahupun di kerajaan tempatan.

Sebagai pembina manusia dan pendidik kemanusiaan, MBM dan KBS mesti terlebih dahulu mempunyai akhlak keinsanan. Buangkan akhlak-akhlak mazmumah seperti hasad dengki, sombong, kebencian, persengketaan, menuding menyalah, curiga-mencurigai, dendam, tidak ikhlas, tidak jujur, silang menyailang dan sindir menyindir sebagaimana yang terkandung dalam lirik dendangan lagu #KeluargaMalaysia! Saya menganggap KBS dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kementerian yang sama penting kerana kedua-duanya adalah membina kemanusiaan, kepimpinan dan kemenjadian generasi muda. KPM di sektor pendidikan formal manakala KBS dan MBM di sektor pendidikan informal. Memetik maksud atau mafhum kata-kata mantan Ketua Setiausaha KBS, Dato’ Azman Taib bahawa pegawai-pegawai yang bertugas di kementerian berasaskan kemanusiaan mesti ada sikap mesra kemanusiaan dan bersabar atas karenah-karenah manusia”.

Dengan semangat dan akhlak baru ini mari kita bangkit semula membina peradaban bangsa yang runtuh dan kemajuan negara yang mundur. Kita tidak mahu ketinggalan pembangunan fizikal mahupun pembangunan akhlak. Ia harus selari. Kita harus membina semula lost pandemial generation menjadi learning generation yang berakhlak mulia.

Sesungguhnya bangsa-bangsa akan terus wujud selama mana akhlak luhur ditegakkan di dalamnya, jika ia hilang maka hilanglah bangsa itu.

– Raja Syair Ahmad Syauqi –

Saya amat yakin jika hubungan harmoni berterusan KBS dan MBM banyak perkara besar yang boleh digandingkan bersama termasuk agenda kesukarelawan pasca banjir, namun sayangnya kita tidak bersama baru-baru ini sebagaimana tradisi amalan sebelum ini. Agenda kesukarelawanan yang menjadi fenomena pasca banjir baru-baru ini boleh digembelingkan bersama secara besar-besaran bahkan MBM mempunyai cita sempurna menggagaskan penubuhan Majlis Sukarelawan Malaysia (MSM) persis idea dan konsep MBM selain sebagai suatu solusi wadah pasca 30 tahun bersama-sama dengan agenda kerja belia profesional.

Pelbagai isu, agenda dan permasalahan belia dan negara seperti kemiskinan haid, pengangguran, kesihatan mental, rasuah, kemiskinan situasi, sekuriti sosial & KWSP, belia berisiko, gejala sosial dan jenayah dapat ditangani sebaiknya jika muafakat nasional kita kemas.

Saudara saudari sekalian,

MBM dan Secara peribadi saya sangat risau dengan masa depan generasi muda. Pelbagai cabaran dan rintangan terpaksa mereka hadapi dalam dunia yang digelar sebagai VUCA – volatility, uncertainty, complexity & ambiguity. Selain Covid-19, alam sekitar, sakit mental dan lost generation, maka satu lagi cabaran yang kita bakal hadapi menurut Parag Khanna dalam buku terbarunya Move adalah global population collapse. Dalam erti kata lain kita akan berhadapan dengan defesit demografi, negara menua dan berlakunya penguncupan ekonomi. Ini harus ditangani dalam Model Baharu Pembangunan Belia (MBPB) yang kita juarai bersama. Solusi masa depan Parag Khanna untuk permasalahan harus dibincangkan dalam wacana MBPB.  Kita mesti mempersiapkan belia menjadi future smart youth dan bukannya future frustrated youth kerana cabaran mereka amat amat getir.

Di sebalik cabaran pesimistik ini, kajian firma penyelidikan pasaran iaitu IPSOS Sdn Bhd mendapati rakyat Malaysia lebih optimis pada tahun 2022 bahkan Malaysia berada di tangga ketiga berkongsi bersama Austarlia. Namun begitu kita mengharapkan untuk mendapat Kerajaan yang stabil segera.

Semoga kita dikurniakan kebaikan dan keselamatan serta berjaya memacu semula masa depan negara yang dilihat ketinggalan jauh. Masa depan negara terletak di tangan generasi muda, Inna fi yad al-syubban amra al-ummah wa fi aqdamihi hayatuha, iaitu Sesungguhnya di tangan pemuda pemudi terdapat urusan bangsa dan di setiap langkah kaki mereka terdapat kehidupannya”!

Saudara saudari sekalian,

Sebelum saya mengundurkan diri izinkan saya berkongsi pelbagai usaha yang dilakukan MBM dan permintaan bagi membangunkan belia dan negara :

a.) Isu pewartaan had umur belia diputuskan segera secara bersama;

b.) Memikirkan dan menyelaraskan polisi dan wadah pasca 30 tahun agar tidak berlaku kelompongan besar seperti

c.) Peremajaan gerakan belia harus dilakukan secara bersama dan secara besar-besaran seperti melancarkan kempen Jom Masuk Belia dan Rakan Muda, penganjuran siri-siri latihan kemahiran insaniah, pengurusan organisasi, kepengikutan dan kepimpinan;

d.) Penganjuran pelbagai program pembangunan belia yang seimbang dari segi aspek manusia dan kemanusiaan;

e.) Menginstitusikan Tokoh Belia agar mereka terus berperanan lebih signifikan dalam masyarakat dan mungkin boleh disesuaikan peranan dalam Akademi Kepimpinan Belia untuk melahirkan lebih ramai kepimpinan muda bertaraf dunia;

f.) MBM mencadangkan penubuhan Majlis Sukarelawan Malaysia (MSM) berpaksikan NGO;

g.) MBM menggesa suara persatuan belia tunggal diperkasakan dan diberikan perhatian oleh pihak KBS;

h.) MBM akan terus berperanan mendekati pelbagai kelompok anak muda termasuk terbaru bersama Angkatan Belia MFLS (ABM).

i.) MBM akan berperanan dalam semua platform pembuatan keputusan dan MBM mohon wakil MBM dan wakil belia dilantik dalam semua platform pembuatan dasar di peringkat Kementerian. Terbaru MBM berada dalam Panel Berkepakaran (isu Perumahan) Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

j.) MBM akan juga terus memainkan peranan di pentas global dengan yang terbaru bersama Non-Aligned Movement (NAM) Youth Network (NYN), D8 Youth Council (D8YC), Africa Asia Youth Government (AAYG) termasuk memastikan World Assembly of Youth (WAY) masih dipimpin oleh Malaysia.

k.) MBM dan KBS perlu terus bekerjasama menggalakkan penglibatan belia dalam ekonomi digital baru seperti NFT crypto dan metaverse sebagai sumber ekonomi baharu. Program literasi ekonomi digital baharu yangg melibatkan teknologi blokchain akan dijalankan oleh MBM sekiranya mendapat sokongan KBS. Namewee sebagai contoh adalah antara artis yangg terawal terlibat dlm NFT art ini di mana beliau telah berjaya menjual klip video lagu terbaru beliau yg bertajuk ‘Fragile’  dengan harga 209 ETH ‘ethereum’ atau bersamaan RM 4 juta dalam masa 3 jam dari waktu pelancaran.

j.) MBM juga mencadangkan gaji minima ditingkatkan dan diselaraskan sejurus ekonomi pulih mengikut lokaliti sebagaimana Indonesia mengikut daerah dan bersesuaian dengan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).

k.) MBM memohon agar idea-idea yang diutarakan sewaktu ucapan Hari belia negara 2021 Presiden MBM diteliti, diperhalusi dan diambil tindakan kerana tiada sebarang respon sehingga kini.

Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina.

Semoga tahun Harimau ini membawa kemakmuran dan kesejahteraan untuk kita bangkit semula.

Sekian terima kasih.

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »