Oleh :
Sdr. Jufitri Joha
Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM)
30 November 2021 / 25 Rabiulakhir 1443H Selasa 9.00 malam
“To me a man’s value is only estimated by grandeur of his ideas and his achievements as influencing the thought and destinies of mankind for good, not by the grandeur of his ‘titles’ or by his own estimate of himself. The kind of greatness that, I always admire is that of the enduring and imperishable type, undetectable from its owner even by his death.” – Za’ba
1. Bermula pada 2 Oktober 2021, Majlis Belia Malaysia (MBM) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Institut Peradaban Melayu UPSI, Majlis Belia Negeri Pahang, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) UKM, Pertubuhan Belia Kerapatan Graduan Muda (KAGUM) dan Sekolah Pembangunan Kerja Belia dan Komuniti (SPKB) telah menganjurkan selama 13 siri Sekolah Pemikiran Za’ba (SPZ) ditambah dengan siri Syarahan Khas yang menampilkan Sahibus Samahah Mufti Perlis Dato’ Dr. Mohd Asri Zainul Abidin pada 20 November 2021.
2. SPZ memulakan sepak mula dengan perasmian oleh Profesor Dr. Awang Sariyan pada 2 Oktober 2021 dan hari ini (30 Oktober 2021), SPZ masuk siri terakhir dengan rumusan oleh saya sendiri Sdr. Jufitri Joha, Presiden MBM tentang bagaimana untuk memindahkan idea Za’ba kepada para pemuda dalam aturan (setting) sosiobudaya dan konteks gerakan belia hari ini.
3. MBM mengelolakan SPZ adalah untuk ‘mengisi dada serta mengasah otak’ (meminjam istilah Prof Ungku A. Aziz) belia dengan pengisian ilmu dan pemikiran di samping menyeimbangkan dengan mengisi keperluan fizikal seperti ekonomi, pekerjaan dan teknologi.
4. MBM juga memilih tokoh Pendeta Za’ba untuk disajikan kepada belia adalah kerana putera kelahiran Tanah Melayu membawa idea perubahan pemikiran dan tindakan kepada bangsanya sendiri kerana semangat cintakan bangsa dan negara untuk melihat kedua-duanya bergerak maju ke hadapan. Ternyata idea perubahan dan pendidikan pembebasan Za’ba bukan hanya sesuai untuk belia Melayu tetapi sesuai untuk semua belia apabila SPZ turut disertai oleh belia pelbagai kaum.
5. Idea-idea pembaharuan Za’ba misalnya seperti yang terkandung dalam salah satu buku karyanya ‘Perangai Bergantung Pada Diri Sendiri’ menyajikan idea-idea membangkit semangat bangsa untuk meyakini kejayaan bangsa bermula dengan keyakinan diri, kuat berusaha, membudayakan ilmu dan mengaktifkan peranan akal. Za’ba juga tekal menangani 3 penyakit umat sebagaimana yang digariskan oleh Said Nursi Badiuzzaman iaitu kejahilan, kemiskinan dan perpecahan.
6. Dalam rentang waktu Za’ba mulai menulis pada tahun 1916 ketika beliau berusia 21 tahun sehingga ke akhir hayatnya 1973, Za’ba lebih senang menggelarkan diri beliau sebagai pendidik. Di Indonesia jika Choakrominoto digelar “Guru Bangsa” Indonesia, kita sebenarnya miliki Za’ba di tanah air. Peribadi yang lebih kenal hitam putih bangsa sendiri.
7. Pada usianya 22 tahun (1917), Za’ba nyaring menolak segala pendekatan melawan projek atas nama mengeluarkan kaum muslimin daripada ketinggalan dalam pembangunan di seluruh dunia Islam yang selama ini tidak menemui tatacara yang betul untuk menyelamatkan kaum muslimin daripada ketinggalan.
8. Beliau mengajukan pendekatan melalui pendidikan. Bukan sekadar pendidikan sepihak, malahan pendidikan sepadu.
“Saya tidak percaya kedudukan Kaum Islam seluruh dunia boleh menjadi betul jika mereka memberatkan pelajaran sepihak dunia sahaja atau sepihak agama sahaja seperti yang sudah-sudah dengan tidak disatukan antara kedua pihak itu bersama sekali dengan seberapa dalamnya yang boleh pada keduanya…. (Za’ba, Lembaga Melayu 6.6.1917)”
Beliau yang pertama mulai bercakap menemui gagasan “pendidikan terkamir, pendidikan holistik”
9. Senjata Za’ba dalam konteks ini yang ingin digaristerangi oleh kami ialah dua ;
a) Kepemudaan (futuwwah) – Berani dan sanggup hadapi.’
b) Pena yang daripadanya diluncurkan perlawanan menentang kejumudan.
10. Kedua-dua senjata ini dipersenjatai oleh beliau sejak awalnya. Pada tahun 1923 Za’ba dengan lantang dan berani menggodam masalah kemiskinan orang Melayu melalui karya beliau yang dipuji begitu tinggi oleh Prof. Ungku Aziz sehingga beliau menamakan Za’ba sebagai Pengarang Tertua Ekonomi Melayu. Karangan beliau berkenaan ialah ;
a) “The Salvation of the Malays” dan “The Poverty of the Malays”, yang pertama kali diterbitkan dalam The Malay Mail, 1923.
b) Disebabkan pentingnya mesej yang hendak disampaikannya itu untuk tatapan kaum peribumi termasuk mereka yang tidak berpengetahuan Inggeris, versi bahasa Melayu telah diterbitkan dalam Al-Ikhwan secara bersiri dalam bulan Mac, April dan Mei 1927, dengan tajuk “Jalan Keselamatan Bagi Orang-Orang Melayu”, dan “Kemiskinan Orang Melayu”.
11. Karya ini menunjukkan sisi kepemudaan beliau yang mengerah segala daya untuk mengetuk aqal dan indera masyarakat peribumi untuk bangkit. Sayangnya karya ini tidak sangat dibaca. Ungku Aziz menyifatkan, kita telah kehilangan 50 tahun (separuh abad) masa dan kesempatan untuk memperbaiki masalah ekonomi orang Melayu dengan mengabaikan tulisan Za’ba yg bermutu ini.
12. Dalam bidang penulisan, beliau begitu prolifik mencakupi bahasa sastera, agama, pendidikan, ekonomi dan politik. Antara karyanya yang terkenal seperti Pelita Bahasa Melayu Penggal I,Pelita Bahasa Melayu III, Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri, Falsafah Takdir,Anak Raja dengan Anak Papa (terjemahan dari karya Mark Twain The Prince and The Pauper, dan banyak lagi.
13. Beliau juga meletakkan asas sistem bahasa Melayu baharu baik dalam bidang ejaan, tatabahasa Melayu mahupun retorik. Beliau menjadi sarjana Melayu pertama menghasilkan huraian tatabahasa Melayu yang lengkap. Beliau juga yang menandai babak awal perkembangan linguistik Melayu baharu sejak tahun 1920-an, kira-kira satu dekad lebih awal daripada tokoh linguistik Amerika, iaitu Leornard Bloomfield yang muncul pada awal tahun 1930-an dengan linguistik strukturalnya.”
14. Hashim Awang mengangkat Za‘ba sebagai tokoh dan pelopor retorik Melayu. Menurut beliau, buku Ilmu Mengarang Melayu karangan Za‘ba yang terbit pada tahun 1934 mendahului buku tokoh retorik Inggeris Cleanth Brooks dan Robert Penn Warren, iaitu Modern Rhetoric yang terbit enam tahun sesudah buku Za‘ba itu.
15. Za’ba seorang daripada pemuka gerakan pembaharuan Islam. Menurut Hamdan Hassan dalam pengantar buku Za’ba Falsafah Takdir terbitan DBP, bahawa tokoh gerakan tajdid pertama yang lahir daripada pendidikan sekular (Inggeris) dan sekolah Kristian. Sebelumnya para pemimpin gerakan islah lahir daripada Timur Tengah atau sistem kebangsaan. Antaranya buku Za’ba menyinggung perkara ini ialah dalam Falsafah Takdir (1932), Pendapatan Perbahasan Ulama pada Kejadian Perbuatan dan Perusahaan Hamba atau Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri (1934), dan Asuhan Budi Menerusi Islam (1958). Buku kedua Za’ba itu telah diharamkan pengedarannya di negeri Perak oleh pihak berkuasa pada zaman tersebut.
16. Setelah Perang Dunia Kedua tamat, Za’ba bergiat dalam pertubuhan masyarakat. Za’ba menjadi Yang Dipertua Persatuan Melayu Selangor (PMS) menggantikan Tengku Ismail. Beliau dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Kongres Melayu Se-Malaya yang berlangsung dari 1 hingga 4 Mac 1946, yang kemudian melahirkan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO).
17. Za‘ba juga merupakan orang pertama yang sedar akibat buruk Malayan Union. Za‘ba menganjurkan Kongres Melayu Pertama yang menentang Malayan Union, beliau bersemangat patriotik dan berani.
18. Za’ba menentang kolonial melahirkan pemikirannya melalui tulisan. Pemerintah kolonial menyedari hal itu. Akibatnya, dia sentiasa dipindahkan dari satu tempat kerja ke satu tempat kerja. Di mana-mana sahaja beliau dipindahkan, pena dan fikiran beliau tidak dibiar terbenam. Za’ba terus bangkit dan melawan pembodohan samada yang disarungkan oleh institusi feudal (istana), institusi agama (kaum tua).
19. Pemahaman Za’ba tentang gagasan dan perjuangan reformis Islam bersumberkan ; pembacaannya yang luas apabila Za’ba melanggan Islamic Review (London) dan al-Manar” (Mesir), pergaulannya dengan para pembaharu seperti Syeikh Tahir Jalaludin dan Khwaja Kamaluddin.
20. Idea-idea pintar dan pembebasan Za’ba wajar ditekuni oleh pemimpin belia dengan membaca karya-karya beliau yang berstatus khazanah besar bangsa; meneruskan siri SPZ; memodulkan idea dan pemikiran Za’ba dalam bentuk lebih interaktif untuk disebarkan dalam kalangan remaja dan belia; menulis idea-idea Za’ba dengan disesuaikan dengan semangat zaman atau zeitgeist; dibentuk grup belia yang fokus menyebarkan idea-idea positif Za’ba.
21. Za’ba yang sinonim dengan fahaman kaum muda juga adalah manusia biasa yang bisa buat kesilapan namun sikap objektif pemimpin belia haruslah mengambil dan menapis banyaknya butir-butir permata yang positif daripada putera pemuka ilmu tanahair ini bagi menjadi bekalan dan pedoman menjadi pemimpin yang membawa idea pembaharuan.
22. Di rentang 2022 ini marilah kita tanamkan terus semangat Za’ba dalam Syair beliau yang berguna ini ;
Bĕrbuat Kĕbajikan
Buat-lah baik, wahai tĕrona,
Hidup-mu biar mĕmberi guna:
Kamu yang mati, jasa ta’ pana,
Lamun buah-nya elok sĕmpurna.
Banyakkan khidmat bĕsar dan sĕni,
Sĕrahkan kapada Tuhan rabbani;
Jasa yang kĕkal bĕrfa’edah murni,
‘Umor yang kedua bagi insani.
Hidup manusia jangan pĕrchuma,
Buat-lah bakti budi utama,
Sa-lagi baik-nya kĕkal mĕnjĕlma,
Si-mati hidup sa-lama-lama.
Buat-lah baik sa-daya upaya-
Hidup bĕrbakti mĕmbĕri chahaya:
Sumbu pĕlita tidak sia-sia
Mĕmbakar diri-nya mĕnĕrangi raya.
Jangan mĕnilek balas dan puji,
Atau “pahala-nya” di-kaji-kaji;
Rasa dĕmikian tama’ dan kĕji:
Pada-lah baik-nya tinting dan uji.
Pahala dan balas jangan di-hitong,
Jangan di-ingat rugi dan untong,
Asalkan jasa-mu padat bĕrdĕntong,
Di-situ mulia tĕtap tĕrgantong.
“Buat-lah baik, ayohai rakan,
Ka-dalam laut kamu champakkan:
Jikalau tidak di-kĕnal ikan,
Tuhan-mu tahu iya-kah bukan.”
Za’ba Asohan Budi (1958)
* Penyediaan Nota Bicara ini turut dibidani oleh saudara Muhamad Hanapi Jamaludin, Felo Penyelidik MBM.