Oleh :
Muhamad Hanapi Jamaludin
Felo Penyelidik Majlis Belia Malaysia
Innā li-llāhi wa-ʾinna ʾilayhi rājiʿūn
“Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali”
Semoga Allah mengampuni dosa Allahyarham Ungku Aziz dan menghitung rohnya bersama para solihin.
Banyakkan jasa wahai teruna,
Hidupmu biar memberi guna,
Kamu yang mati jasa tak fana,
Lamun buahnya elok sempurna.
Ungku Aziz akan hidup dalam ingatan dan doa jutaan kita. Sebagai anak bangsawan yang ditumpangkan lahir di kota yang bergelora dengan hawa kemodenan dan kebaratan, London pada tahun 1922, kemudian menerima pula pendidikan asuhan Barat di Singapura – kota pelabuhan yang cosmopolitan, kemudian disimbah oleh terik cahaya negara matahari terbit, Jepun yang telah lama melanggan idea-idean pemodenan oleh Maharaja Meiji pada abad ke – 19, mudah sahaja beliau melepaskan dirinya daripada ikatan emosi dengan bangsa Melayu jauh tertinggal waktu itu. Tetapi, beliau tidak. Memilih berpantang kalah sebelum melangkah. Sama berjuang, tiada beban, batu digalas. Kemunduran peribumi menjadi sasaran utama bidikan pena, suara dan tangan beliau.
Kemiskinan ekonomi jadi masalah yang rata-rata dideritai orang Melayu, sebagai masalah yang paling subur mengatasi kesuburan tanah airnya. Dimulai oleh Za’ba yang beliau sifatkan sebagai Bapa atau Pengarang Tertua ekonomi Melayu yang mula melaberak akar-akar banir punca kemiskinan sosial, aqli, rohani dan jasmani orang Melayu itu melalui karang-karangannya pada tahun-tahun 1920-an. Ungku Aziz bersayap dengan caranya sendiri selepas itu. Pada usianya 37 beliau mengajukan kertas “Rancangan Membaiki Keadaan Ekonomi Bakal-bakal Haji” yang kelak menjadi syarikat dana ummat Islam terbesar dan menjadi contoh terbaik dalam pengurusan haji di dunia. Pada tahun 1969, institusi berkenaan dijenamakan sebagai Tabung Haji. Manakala, penubuhan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) yang diwartakan pada Mei 1971 adalah cetusan idea Prof Ungku Aziz yang menjadi Yang Dipertua ANGKASA lebih 40 tahun.
Dalam bidang pendidikan tinggi yang masih jauh ketinggalan ketika itu, beliau teraju utama Universiti Malaya – selama 20 tahun, menjadi ladang subur membajai keperibadian para penyambung amanah watan. Tidak dimungkiri, era beliau memimpin Universiti Malaya sebagai Naib Canselor merupakan limpahan neon yang paling bersinar kepada warga mahasiswanya. Bukan sekadar mencetak para birokrat, teknokrat yang kaku menghadapi suara ummat, Universiti Malaya pada zaman beliau menjadi padang latihan dan alat pengeram (incubator) yang melahirkan pemimpin-pemimpin besar tanah air. Tan Sri Muhyiddin Yaasin hari ini sebagai Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, mantan Presiden Majlis Belia Malaysia yang tidak ternafi sebagai ikon kebangkitan pelajar di era Pak Ungku meneraju UM. Aktivisme kampus berada pada kemuncak yang sehingga hari ini tersergam sebagai penanda aras tertinggi gelora kebangkitan mahasiswa menyeru perubahan yang belum tertandingi.
Kemiskinan Bahasa Melayu yang dikatakan tidak layak menjadi bahasa rasmi bagi negara beliau sanggah. Dilantik sebagai Ketua Pengarah DBP yang pertama, batu asasnya beliau pasakkan. Kongres Bahasa Melayu 1956, Za’ba sebagai Pengerusi, Ungku Aziz dengan tekun dan penuh perhatian duduk di meja Setiausaha. Buya Hamka menghargai kedua tokoh ini. Beliau terlibat sebagai peserta dalam acara yang diadakan berkenaan. Justeru, langsung menyaksikan iltizam dan kesungguhan mereka berdua – dicatatkan dalam Kenang-kenanganku di Malaya. Ekspresinya begitu bernilai “maka terfikirlah saya bahawa orang-orang seperti Pendeta Za’ba dan Ungku Aziz itu sudahlah patut beroleh gelar profesor, bukan semata-mata pensyarah (dosen) sahaja, kalau mereka berdiam di negeri merdeka”.
Sebarisan penganugerahan telah dikalungkan kepada beliau di pelbagai pentas dalam dan luar negara. Sebagai satu-satunya Profesor dengan gelaran “Diraja”, beliau tanpa memburu gelar akademik dan sosial berderet, telah menghidupkan “kehidupan keduanya”. Manusia akan dan pasti mati, menghadap Ilahi yang daripadanya kita semua dikirim ke bumi, untuk memakmur dan mengabdi. Hanya sahaja yang akan ditinggalkan selepas roh tercerai daripada jasad, hanyalah amal soleh, jasa dan bakti yang kadang-kadang usianya lebih panjang daripada kehidupan pertama. Pak Ungku semoga menjadi sebarisan manusia yang menyertai daftar yang akan dikenang sebagai Khalifah di ranah pendidikan, ekonomi dan pembangunan ummat. Menghadiahi tauladan hidup dan dekat kepada muda-mudi untuk mengerah segala usaha, menyambung yang bengkalai, meneruskan yang terbina dan berbuat bakti yang lebih lagi.
Hidup manusia janganlah percuma
Buatlah jasa budi utama
Lamun baiknya kekal menjelma
Si mati hidup selama-lama.
(Za’ba, Asohan Budi Menurut Islam, 1958) Selamat jalan dan selamat beristirehat cendekia! Semoga Allah menerima seluruh amal-mu yang tiada terbayar oleh ucapan terima kasih kami. Doa kami para belia untuk Pak Ungku. Semoga Allah meredhaimu.
Bertarikh : 16 Disember 2020