Oleh :
Ts Dr. Hadafi Fitri Mohd Latip
Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan
Universiti Teknologi Malaysia
Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) adalah satu dokumen penting yang menunjukkan pencapaian akademik pelajar di peringkat pendidikan menengah di Malaysia. SPM memainkan peranan penting sebagai ukuran standard dalam menilai kecekapan pelajar dalam pelbagai mata pelajaran. SPM memberi kelebihan kepada pemegangnya dalam beberapa aspek kehidupan. Antara kepentingannya ialah membolehkan pelajar untuk meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi di institusi pengajian tinggi seperti kolej dan universiti. Selain itu, ia juga menjadi salah satu syarat kelayakan utama dalam permohonan pekerjaan di banyak sektor yang menyediakan peluang pekerjaan
Walaupun SPM memberikan asas yang kukuh dalam pendidikan, kejayaan seseorang tidak semata-mata bergantung kepada pencapaian dalam peperiksaan ini. Aspek seperti kebolehan, kepakaran, pengalaman kerja dan kesungguhan turut memainkan peranan penting dalam membentuk kerjaya dan kehidupan seseorang. Oleh itu, SPM walaupun penting, namun tidaklah menjadi penentu tunggal kejayaan seseorang. Tidak seharusnya keputusan SPM pada masa 10 tahun yang lalu, untuk menjadi pengukur kelayakan untuk kenaikan pangkat seseorang, untuk sahkan jawatan dalam perkhidmatan ataupun permohonan pekerjaan yang baru dalam skop bidang masing masing. Seharusnya kredibiliti dan pencapaian semasa menjadi pengukur utama untuk perkara berikut.
SPM memegang peranan penting dalam sistem pendidikan negara. Ia berfungsi sebagai penanda aras bagi menilai pencapaian akademik pelajar di peringkat pendidikan menengah. SPM menuntut pencapaian cemerlang dalam pelbagai mata pelajaran, menggariskan keperluan standard yang tinggi dalam sistem pendidikan Malaysia. Selain daripada menjadi alat penilaian akademik, SPM juga membuka pintu peluang kepada pelajar untuk meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Dengan keputusan yang baik dalam SPM, pelajar dapat meningkatkan peluang mereka untuk diterima di institusi pengajian tinggi seperti kolej dan universiti. Ini memberi kesan langsung kepada kemajuan pendidikan negara serta pembangunan sumber manusia yang berkualiti.
SPM turut berperanan dalam persiapan pelajar untuk menghadapi cabaran global. Melalui penekanan terhadap pencapaian cemerlang dalam pelbagai bidang, SPM membantu membentuk individu yang kompetitif dalam era globalisasi. Ini memberi penekanan kepada pembangunan kemahiran dan pengetahuan yang luas bagi menyediakan pelajar untuk cabaran-cabaran di masa depan. SPM juga bukanlah terlalu kejam di mana pelajar yang gagal masih diberi peluang dan ruang untuk mengambil peperiksaan ulang semula. Pelajar juga masih diberi peluang untuk memilih minimum subjek peperiksaan bagi SPM mengikut tahap kemampuan dan kebolehan masing masing.
Kesimpulannya, SPM bukan sekadar satu dokumen pencapaian akademik semata-mata. Ia mencerminkan aspirasi pendidikan negara untuk memupuk pembangunan individu yang holistik, menyumbang kepada keperluan masyarakat serta memenuhi jangkaan pasaran global yang semakin mencabar.
Namun begitu, SPM tidak seharusnya menjadi pengukur utama kejayaan seseorang seperti yang dipaparkan dalam media massa keputusan penuh 10A, 12A, 18A dan lain lain. Ramai sahaja pelajar yang berjaya memperolehi keputusan cemerlang SPM akan tetapi gagal di peringkat universiti. Ramai juga yang mendapat 1A menjadi orang yang hebat dan berjaya malah mempunyai empayar syarikat dan perniagaan sendiri. Seharusnya yang menjadi tumpuan utama kita adalah sistem sokongan untuk memastikan semua golongan berhak memperoleh kejayaan dan berjaya dalam kehidupan.
Pendapat yang menganggap pendidikan di sekolah tidak relevan oleh generasi sekarang mungkin disebabkan oleh pelbagai faktor, ia perlu diperhalusi dan diatasi secara bersama. Pertama sekali, proses kemas kini kurikulum perlu diperkasakan kerana dikritik oleh beberapa individu yang merasakan bahawa kurikulum di sekolah tidak mencukupi untuk mempersiapkan mereka untuk kehidupan selepas sekolah.
Mereka mungkin merasakan bahawa terdapat jurang antara apa yang dipelajari di sekolah dengan keperluan dunia pekerjaan atau kehidupan sebenar. Sebagai contoh kenapa perlu belajar subjek matematik tambahan, subjek kimia di sekolah sedangkan ia tidak digunapakai dalam kehidupan kecuali yang bekerja di dalam bidang tersebut. Begitu juga tentang pendapat semua orang perlu belajar tentang pengurusan kewangan di sekolah kerana ia adalah rutin harian yang penting di mana masyarakat perlu bijak menggunakan, menabung dan menjana wang bagi mencapai kehidupan yang harmoni dan selesa.
Di samping itu, keterbatasan pendidikan tradisional menjadi isu yang turut dipertikaikan. Dalam era di mana teknologi berkembang pesat, beberapa individu merasakan bahawa pendidikan di sekolah terlalu berfokus pada pembelajaran tradisional yang tidak mengakui kepentingan kemahiran digital (maklumat terkini) atau keusahawanan (job creator berbanding job seeker) yang semakin penting. Ini menyebabkan kurang relevan pendidikan di mata mereka.
Malahan dengan kehebatan arus teknologi moden masa kini terbongkar pelbagai maklumat terkini seperti yang menjadi topik perbualan hangat dalam webinar, podcast tentang subjek sejarah yang kita belajar adalah tidak betul dan sebagainya. Perlu ada tindakan dari pihak berkuasa dan kemaskini agar subjek sejarah dapat membentuk masyarakat Malaysia yang percaya kepada jati diri atas kehebatan moyang mereka masa lampau.
Tidak kurang juga, tekanan dan stres yang dialami dalam persekitaran pembelajaran turut memberi kesan. Pelbagai faktor seperti tekanan prestasi, ujian standard yang tinggi, dan persekitaran pembelajaran yang tidak menyokong dapat menyebabkan beberapa pelajar merasakan pendidikan di sekolah sebagai beban yang tidak memberi manfaat yang sepadan dengan usaha yang di keluarkan. Malahan sehingga membawa kepada masalah kesihatan mental sehingga ada yang sanggup untuk mengambil Keputusan bunuh diri kerana tidak berjaya mencapai keputusan yang baik.
Apa tidaknya sebuah pokok kelapa menjadi rebutan pelbagai kebolehan oleh seekor singa, zirafah, ikan, tupai dan lain lain. Analogi tersebut menunjukan setiap orang mempunyai kebolehan dan kemampuan yang berbeza. Akan tetapi rebutan utama adalah untuk mencapai 10A ke atas untuk layak berjaya. Kajian kes jelas menunjukan, ramai yang memperolehi kejayaan di alam pekerjaan tanpa perlu mendapat 10A ke atas. Apa yang kita perlu normalisasikan adalah usaha yang berterusan tanpa kenal erti putus asa dengan bantuan sokongan pelbagai pihak.
Justeru itu, walaupun terdapat pandangan negatif terhadap pendidikan di sekolah, penting untuk diingatkan bahawa pendidikan di sekolah masih memainkan peranan yang penting dalam membentuk asas pengetahuan, kemahiran, dan nilai-nilai yang diperlukan untuk kejayaan dalam kehidupan dan masyarakat. Oleh itu, penambahbaikan dalam sistem pendidikan serta penekanan kepada kepentingan pembelajaran yang relevan dan meningkatkan minat generasi muda dan belia adalah penting bagi memastikan kesinambungan keberkesanan pendidikan di sekolah.
Semua sekolah di Malaysia perlu dibantu sama rata dan pastikan tumpuan utama pendidikan adalah melahirkan masyarakat minda kelas pertama dengan mengurangkan jurang sedia ada di peringkat sekolah seperti kemudahan dan fasiliti terbaik. Semua tahu, hanya sekolah sains dan sekolah MRSM dapat menyediakan tahap pendidikan terbaik kepada pelajar mereka kerana kemudahan dan fasiliti yang disediakan. Begitu juga pendapat mengatakan, cikgu mereka juga di kalangan penggubal kertas soalan peperiksaan utama di Malaysia. Jadi pelajar sekolah sains dan mrsm mempunyai potensi yang tinggi untuk memperoleh keputusan yang cemerlang berbanding sekolah harian biasa.
Secara tuntasnya, pendidikan masa depan adalah pendekatan pendidikan yang menekankan persediaan golongan muda dan belia untuk menghadapi cabaran dunia moden yang dinamik. Salah satu aspek penting dalam pendidikan masa depan adalah pembangunan kemahiran abad ke-21. Ini merangkumi kemahiran seperti kritikal berfikir, kreativiti, kemahiran komunikasi dan kerjasama yang penting untuk berjaya dalam ekonomi global yang semakin kompleks. Pendidikan masa depan juga mengintegrasikan teknologi secara meluas dalam proses pembelajaran. Penggunaan alat bantu pembelajaran digital, platform dalam talian, dan aplikasi mudah alih membolehkan pembelajaran menjadi lebih interaktif dan personalisasi, serta membantu mempersiapkan golongan muda dan belia untuk menghadapi persekitaran teknologi yang semakin berkembang.
Pembelajaran berpusatkan projek (real world job market) juga menjadi fokus dalam pendidikan masa depan. Pendekatan ini membolehkan golongan muda dan belia untuk belajar melalui pengalaman praktikal, mengaplikasikan pengetahuan dalam konteks dunia sebenar, dan mengembangkan kemahiran penyelesaian masalah yang relevan.
Dengan menerapkan prinsip-prinsip ini, pendidikan masa depan bertujuan untuk menyediakan golongan muda dan belia dengan pengetahuan, kemahiran, dan kebolehan adaptasi yang diperlukan untuk berjaya dalam masyarakat yang semakin kompleks dan berubah dengan cepat. Akhir kata, dengan hikmah kita teroka dan kerana Tuhan Untuk Manusia.
Bertarikh : 17 Februari 2024