Kuala Lumpur – 7 Julai 2015 : Penghijrahan ramai penduduk desa, termasuk pelajar ke sesebuah Bandar menyebabkan bandar itu berubah menjadi kota besar. Perubahan fizikal ini dengan sendirinya membawa banyak perubahan kepada kehidupan. Jumlah individu yang ramai menyulitkan hubungan kemanusiaan yang rapat, tiada kemesraan antara jiran, setiap individu merasa keseorangan dan tersisih di tengah-tengah kotaraya yang besar dan sibuk. Kawasan-kawasan miskin didiami oleh penduduk daripada kelas sosio-ekonomi rendah dengan ini wujud budaya kemiskinan, kemunduran mental dan individu yang selalu merasa tegang kerana didorong oleh cita-cita materialistik yang tinggi tetapi tidak mampu untuk dicapainya.
Dalam keadaan demikian, pelbagai masalah sosial muncul. Kawasan yang mundur ekonominya, remaja muncul dengan pelbagai gejala salahlaku akibat daripada pengangguran, kedaifan hidup, ketidakpastian ekonomi dan pengabaian keluarga yang sentiasa sibuk dengan pekerjaan. Para pelajar melakukan perkara sumbang kerana kecewa dengan keadaan hidup yang tidak dapat memenuhi segala keinginan dan kepuasan diri. Manakala remaja mewah pula, melakukan salahlaku akibat daripada kesepian dan banyak memiliki kemudahan dan masa lapang. Ini disebabkan mereka sering ditinggalkan bersendirian oleh ibu bapa yang sibuk dengan urusan masing-masing. Lantaran itu, para pelajar mengambil kesempatan ini untuk berpeleseran atau menyertai kumpulan liar dan melakukan pelbagai salah laku lain.
Demikianlah urbanisasi menimbulkan masalah sosial yang mengubah kehidupan manusia. Para pelajar atau remaja tidak terkecuali dalam mengahadapi perubahan tersebut. Mereka banyak terdedah kepada salah laku seperti penyalahgunaan dadah, zina, lari dari rumah, peras ugut, mencuri dan pelbagai salahlaku.
Catatan: Tulisan ini adalah rumusan awal hari pertama Sidang Meja Bulat: Kemiskinan & Salahlaku Belia Bandar (15-18 Tahun). Rumusan lengkap akan di kongsi selepas berakhirnya 3 hari sidang ini nanti.
PENERANGAN MBM