MAJLIS BELIA MALAYSIA

Personaliti gerak tingkah laku insan

TEMPOH dua hari lalu adalah saat memeritkan bagi warga kota Kuala Lumpur. Hujan berterusan selama lebih tujuh jam pada 8 Mac menyebabkan terjadinya banjir kilat di beberapa lokasi. Serentak itu sebahagian jalan utama mengalami kesesakan luar biasa selama dua hari.

Penulis turut terbabit dalam kesesakan berkenaan sehingga terpaksa membatalkan perancangan untuk pulang ke Pulau Pinang. Mujurlah penulis sempat mengelak daripada terperangkap dalam banjir kilat yang naik secara mendadak.

Kisah malang dilalui penyanyi Shila Amzah dan temannya yang dikhabarkan terpaksa memanjat lori pasir dan meninggalkan kereta ditenggelami air adalah gambaran betapa teruknya kesan banjir kilat di kota raya yang kita impikan untuk menjadi ‘megacity’ pada masa depan. Adalah diharapkan pihak berkuasa, khususnya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dapat menjadikan kejadian itu sebagai satu daripada pengajaran penting dalam membentuk pelan kecemasan bagi bandar raya ini.

Menariknya kejadian itu menjadi topik hangat di laman media baru seperti blog dan facebook. Di antara menjadi perhatian penulis ialah bagaimana sebahagian warga kota berubah watak dan tingkah laku akibat daripada musibah itu.

Kesesakan yang ekstrem menyebabkan timbul masalah lain seperti suhu enjin kenderaan naik mendadak atau kenderaan kehabisan minyak. Sudahnya ramai pemandu tersadai di tepi jalan dan menambahkan lagi kesesakan yang ada.

Terdapat pengunjung facebook yang meluahkan rasa kesal dengan sikap pengguna jalan raya yang tidak sabar, kasar, malah mementingkan diri sendiri dalam menghadapi situasi yang menekan seperti itu.

Amatlah malang apabila seorang memandu kereta mewah, berpakaian gaya orang kaya dan memiliki wajah ala-ala ‘orang pandai’ tiba-tiba dengan selamba memotong di lorong kecemasan. Lebih buruk lagi terdapat pemandu membunyikan hon bertalu-talu sambil menunjukkan isyarat tangan yang tidak sepatutnya. Persoalan timbul mengapakah individu hebat seperti itu gagal mengawal perbuatan sehingga menjejaskan imej serta keperibadian mereka.

Pada hemat penulis persoalan ini berkait rapat dengan elemen personaliti dimiliki seseorang individu. Personaliti merujuk kepada sesuatu kualiti atau keadaan sedia wujud dalam diri seseorang individu yang menggelar dirinya sebagai seorang insan.

Jika pembaca turut mengikuti artikel lalu berkaitan betapa perlunya belia memiliki emosi sederhana dalam kehidupan, sebenarnya keunggulan diri akan lebih dicapai sekiranya diiringi dengan personaliti yang positif.

Bagi keseluruhan pembentukan insan, emosi adalah paparan melalui perbuatan, riak wajah, bahasa badan dan tutur kata yang boleh dilihat, didengar dan dirasa oleh orang sekeliling. Personaliti pula adalah kualiti dalaman diri yang menggerakkan tingkah laku serta watak insan tersebut.

Justeru, adalah amat perlu bagi belia memiliki himpunan pola emosi, pemikiran dan perlakuan yang seimbang bagi menjadikannya seseorang yang positif. Harus difahami oleh semua orang bahawa personaliti adalah bersifat dinamik dan akan mampu bertukar iaitu sama ada daripada personaliti buruk kepada yang baik dan begitulah sebaliknya.

Kebanyakan pengkaji menyatakan bahawa aspek persekitaran adalah penting bagi menyerlah kedinamikan personaliti seseorang. Seseorang diletakkan dalam persekitaran bersesuaian dengan personalitinya akan mampu mengembangkan potensi dirinya dengan positif.

Sebagai contoh, seorang yang mempunyai personaliti peramah, suka berhubung dengan orang ramai akan berasa gembira jika diberi tanggungjawab dalam unit perhubungan awam di sesuatu syarikat manakala seorang pendiam, teliti dan suka menyendiri lebih sesuai bekerja dalam bidang perakaunan. Soal kerjaya kini adalah isu penting yang melatari belia. Ramai belia merungut kerana sukar mendapat kerja diidamkan. Sering kali kedengaran keluhan mengapa orang lain berjaya mendapat jawatan dan mengapa bukannya dirinya. Lama-kelamaan ia akan meningkatkan rasa rendah diri dan bermulalah saat-saat murung dalam kehidupannya.

Bagi menghadapi cabaran kerjaya, belia harus ada kemahiran dan pengetahuan tentang tret atau unsur-unsur personaliti diri yang dimilikinya. Menurut seorang tokoh falsafah Yunani yang terkenal iaitu Plato (tahun 428–348 sebelum masihi) melalui buku ‘The Republic’, beliau menyatakan bahawa tiada dua manusia dilahirkan serupa.

Menurut beliau, setiap individu adalah unik dan kerana sifat unik itulah menyebabkan seseorang itu sesuai untuk satu pekerjaan, manakala seorang lagi sesuai dengan pekerjaan lain.

Maknanya, untuk mengetahui bidang kerjaya yang sesuai untuk dirinya, seseorang belia harus membuat analisis dan perkiraan mengenai setiap unsur personaliti yang ada pada dirinya. Dari situ, akan timbul kesedaran untuk menghargai dan reda dengan kewujudan diri masing-masing. Rasa rendah diri dan kecewa dengan kewujudan diri hanya berlaku kepada individu yang sentiasa memikirkan keburukan diri dan berasakan bahawa ia akan berasa gembira sekiranya menjadi orang lain. Menyentuh kaitan personaliti dengan kerjaya, pembaca boleh mengikuti hasil kajian serta penulisan Profesor Sidek Mohd Noah yang menghasilkan Inventori Personaliti Sidek (IPS) untuk kegunaan orang ramai bagi membuat penilaian tret personaliti masing-masing. Di antara tret personaliti yang perlu diambil perhatian oleh belia adalah seperti berikut: Agresif: Seorang terlalu tegas, berani dan tidak suka dimanipulasi oleh orang lain. Analitikal: Seorang sangat sensitif dan prihatin kepada persekitaran, suka membuat pemerhatian dan akan menganalisis sesuatu perkara sebelum membuat keputusan.

Autonomi: Individu ini lebih sukakan kebebasan dalam tindakannya dan akan sentiasa mampu mengawal serta menentukan aktiviti hariannya.

Bersandar: Individu ini suka bergantung kepada orang lain dan memerlukan orang lain dalam membuat keputusan.

Ekstrovert: Individu ini suka dikelilingi, berinteraksi dan bekerja dengan orang ramai.

Intelektual: Menunjukkan individu yang suka kepada aktiviti memberikan cabaran dari segi minda dan intelektual.

Introvert: Individu ini suka mengelak daripada situasi yang memerlukannya berkomunikasi dengan orang lain. Individu ini suka bersendirian.

Kepelbagaian: Meletakkan individu ini menghayati pelbagai situasi berbeza dan berusaha mengalami pengalaman baru.

Ketahanan: Menunjukkan individu cekal dan bermotivasi untuk menyelesaikan semua tugasan yang diberikan kepadanya.

Kritik-Diri: Individu yang memiliki tert ini menunjukkan dirinya tidak stabil dari segi emosi dan psikologi, rendah diri dan suka menyalahkan diri bagi setiap kejadian yang berlaku pada dirinya.

Mengawal: Menunjukkan individu suka mengawal orang lain. Dia lebih suka memimpin daripada dipimpin. Menolong: Individu cenderung untuk meluahkan simpati, kasih sayang, memberikan bantuan serta membuat kebaikan kepada orang lain.

Sokongan: Menunjukkan individu memerlukan perhatian, simpati dan ingin dikasihi.

Struktur: Merujuk kepada individu yang suka kepada kekemasan, kebersihan, serta perkara berstruktur, berulang-ulang dan terperinci.

Pencapaian: Menunjukkan individu bermotivasi, mahukan status yang tinggi dan sukakan persaingan.

Adalah penting bagi kita mengenal pasti gabungan tret personaliti yang dimiliki. Melalui cara ini kita akan mampu menghadapi cabaran hidup dengan penuh reda serta realistik. Melaluinya kita akan sentiasa menginsafi betapa pentingnya hidup secara harmoni dan saling tolong-menolong kerana tiada manusia dilahirkan sempurna atau cacat sepenuhnya.

Penulis Presiden MBM berkelulusan Sarjana Pendidikan (Bimbingan dan Kaunseling) USM

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »