Oleh:
Sdr. Jufitri Joha
Presiden Majlis Belia Malaysia
Dalam Sesi Bual Polisi Bersama Belia yang dimudahcara oleh YB Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, Timbalan Menteri Belia dan Sukan 18 Februari 2021 yang lalu apa yang dapat saya simpulkan ialah pergerakan belia perlukan sistem sokongan dan ekosistem dokongan bagi membolehkan usaha penghakupayaan dan pendayaupayaan berlaku sekaligus melicinkan proses transisi peralihan kepada kepimpinan yang lebih muda.
Apabila penurunan had umur dan transisi dilakukan dan dipaksakan tanpa ekosistem yang saling melengkapi maka ia akan terencat dan mendapat beberapa tentangan. Ia tidak selicin yang dijangka. Dahulu memang ada sokongan cuma tidak ada ekosistem yang menyeluruh dan lengkap.
Terdapat juga kes-kes istimewa dan terpencil seperti Junior Chamber International (JCI) Malaysia yang terikat dengan perlembagaan antarabangsa mereka di mana keahlian adalah di bawah 40 tahun dan bukannya keengganan untuk meremajakan kepimpinan organisasi mereka. Banyak juga gerakan belia yang sudah meremajakan kepimpinan mereka namun tidak dinafikan terdapat juga suara-suara menolak yang mempunyai alasan-alasan yang tulen dan kukuh. Suara-suara penolakan boleh ditangani sebaiknya dengan satu jawapan iaitu ekosistem!
Kita harus fokus menoleh ke depan mempersiapkan ekosistem dan prasarana bagi mendokong peremajaan dan pembeliaan gerakan belia. Gerakan belia suka atau tidak adalah mekanisme utama dalam pembangunan belia di Malaysia menurut adiguru pengajian belia Profesor Emeritus Dr. Azimi Hamzah Cuma ianya harus diperkasakan dan diberikan nafas baharu di era pandemik.
First of all kata orang putih, apa yang perlu dibuat adalah Kerajaan dan masyarakat perlu benar-benar mengangkat gerakan belia sebagai entiti yang penting dalam ruang demokrasi negara. Gerakan belia bukan sekadar persatuan biasa tetapi ia merupakan conscience of the society yang mempunyai peranan besar menyuburkan demokrasi, berpartisipasi memajukan Negara dan sama-sama membuat keputusan dan polisi di semua peringkat dengan kombinasi adult-youth decision making. Belia tidak semestinya hanya mengundi dan menjadi ahli parti, tetapi menggerakkan pertubuhan belia merupakan sebahagian daripada cakupan partisipasi dalam politik dan demokrasi dalam skop yang lebih luas dan dinamik. Pembesar dan pentadbir negara harus menjadikan gerakan belia sebagai rakan strategik atau partner in nation building dalam semua urusan pentadbiran dan pembangunan. Suara belia dan gerakan belia sentiasa dipandang penting untuk menentukan hala tuju dan perancangan Negara kerana mereka adalah generasi pewaris negara.
Justeru wajar dalam setiap latihan pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) dimasukkan slot kursus wajib pengenalan kepada fungsi gerakan belia dan kepentingan melibaturus (engage) mereka bersama dalam semua platform pembuatan dasar dan keputusan. Kerajaan tempatan (PBT) dan daerah merupakan nukleus yang penting untuk menghakupayaan belia sebagaimana yang berlaku di United Kingdom. Kebanyakkan PTD memulakan kerjaya asas di daerah-daerah. Juga turut dicadangkan agar slot memahami belia dan gerakan belia sebagai aset penting Negara turut diselitkan dalam kursus-kursus induksi melibatkan seperti ketua kampung, rukun tetangga, ahli majlis, pentadbir universiti dan pemimpin agama.
Johor memberikan contoh yang baik dalam dunia pembangunan belia apabila Tengku Mahkota Johor (TMJ) sendiri menaungi aspek pembangunan belia di Johor dan menjadi Penaung Diraja Majlis Belia Negeri Johor (MBNJ). Berdasarkan pemerhatian peribadi, saya dapat merasakan kesan yang luar biasa dan pengiktirafan kepada belia dan gerakan belia di Johor apabila pelbagai pihak membuka mata dan meletakkan mereka di kedudukan yang sepatutnya. Namun ia tidak pula menjadikan belia dan pemimpin belia menjadi sombong bahkan suatu kesyukuran apabila diberi pengiktirafan dan suatu keinsafan bahawa mereka harus terus sama-sama bekerja keras dan lebih efisyen membangunkan belia, masyarakat dan negeri tercinta.
Di sudut yang lain pula, ahli politik muda disaran agar memulakan langkah awal sebagai aktivis gerakan belia dan NGO agar mereka faham pengurusan organisasi dan masyarakat sekaligus melatih mereka menjadi pemimpin yang baik. Kita menyaksikan sendiri betapa ramai ahli politik muda yang kekok memulakan tugas politik apabila tidak mempunyai asas gerakan belia dan NGO berkaitan kepimpinan dan pengurusan. Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Belia Malaysia (MBM) boleh memikirkan untuk mewujudkan semacam Majlis Ahli Politik Muda (MAPM) atau youth political council sebagaimana di Jerman bagi mendedahkan mereka kepada dunia gerakan belia dan NGO. Selain MBM dan Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN), MAPM mampu berjalan seiring bagi mengumpulkan sayap-sayap pemuda parti politik yang rencam dan pelbagai untuk dilatih. Ahli politik muda merupakan pemimpin belia yang wajar didekati dan diberikan input kepimpinan dan pengurusan di samping diberikan ‘state fund’ untuk mereka melakukan aktiviti kepimpinan dan pengurusan. Ramai juga ahli politik yang hebat datang daripada inkubator belia apabila mereka dilatih dan didedahkan sejak awal dengan dunia kepimpinan dan pengurusan.
Ahli politik yang faham akan belia dan gerakan pasti mengangkat belia di tempatnya. Pemimpin politik seperti Dato’ Saifuddin Abdullah, Menteri Komunikasi dan Multimedia sebagai contoh antara mantan Presiden MBM yang amat memahami peranan belia dan kepentingan gerakan belia. Beliau secara konsisten melibatsertakan pemimpin belia dan MBM sejak dahulu lagi dalam kebanyakkan platform pembuatan polisi dan keputusan di bawah kepimpinan beliau. Dalam konteks Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), beliau melantik wakil MBM dalam Majlis Ekonomi Digital dan Majlis Konsultasi Komunikasi dan Media Negara kerana MBM adalah wakil rasmi suara belia Malaysia sebagaimana termaktub dalam Seksyen 49 Akta 668. Syabas Dato’ ia wajar dijejaki oleh Menteri-Menteri Kabinet dan semua kementerian.
Inisiatif Kolaborasi Merentas Kementerian yang diilhamkan oleh YB Dato’ Seri Reezal Merican adalah berteraskan Dasar Belia Malaysia (DBM) bagi memberikan mesej jelas bahawa pembangunan belia bukan hanya terletak di pundak bahu KBS tetapi ia merentas kementerian sebagaimana juga yang diilustrasikan dalam Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Belia dan dipengerusikan sendiri oleh Perdana Menteri.
Kepentingan gerakan belia wajar dikembalikan dengan menjadi mereka sebagai pusat sumber dan rujukan. Antara lain menjadikan pemimpin gerakan belia sebagai salah satu individu yang penting untuk dijadikan salah seorang rujukan (referee) untuk mendapatkan tandatangan sokongan bagi mendapatkan sesetengah pinjaman atau kemasukan ke sesuatu institusi pengajian. Saya difahamkan Tekun Nasional masih mengekalkan keperluan untuk mendapatkan tandatangan pimpinan MBM sebagai salah satu prasyarat mendapatkan sokongan pinjaman. Syabas Tekun dan ia harus diikuti dengan institusi-institusi yang lain.
Penglibatan dan pengalaman dengan gerakan belia wajar dijadikan salah satu merit atau perkiraan yang penting untuk permohonan mendapatkan sesuatu pekerjaan, latihan dan program-program yang ditawarkan pihak Kerajaan.
Pintu sekolah dan institut pengajian wajar membuka pintu seluas-luasnya kepada gerakan belia untuk dijadikan markas pengkaderan sejak usia 12-15 tahun bagi memastikan permulaan penyertaan ke dalam gerakan belia berlaku seawal mungkin. Selain di institusi pendidikan formal, institusi pendidikan informal seperti kerja belia profesional di pusat-pusat belia boleh menyokong dan menjadi feeder kepada proses ini. Jawatankuasa KPM-KBS-MBM bagi penyelarasan kewujudan gerakan belia secara rasmi di institusi pengajian dan sekolah harus dihidupkan semula dengan turut melibatkan KPT. Kali terakhir digerakkan ketika YB Steven Sim menjadi Timbalan Menteri Belia dan Sukan namun ia berhenti sekerat jalan. Majlis Belia Selangor pernah mempelopori program Tunas Belia di sekolah-sekolah sekitar Selangor. Usaha-usaha seperti ini wajar dinilai dan diberikan nafas baharu.
Sistem sokongan berbentuk latihan dan mentoring perlu juga diwujudkan dengan menggandakan kursus-kursus asas pengurusan persatuan belia, kursus asas kepentingan gerakan belia, kursus kepimpinan mahupun kursus penjanaan dana (fund raising) di semua peringkat. Sistem mentoring juga perlu diperkasakan dengan memikirkan kaedah-kaedah yang sesuai untuk perlaksanaan dalam semua mekanisme dan lapangan pembangunan belia.
Kempen besar-besaran #JomMasukBelia wajar dijadikan kempen nasional untuk menggembeling usaha dan kempen mengajak anak muda di semua sektor dan peringkat masuk gerakan belia secara besar-besar dengan pelbagai pendekatan menarik melalui Rakan Muda dan Anugerah Remaja Perdana (ARP) yang berteraskan gaya hidup dan hobi (interest base) yang diminati anak muda. Insentif-insentif tambahan wajar difikirkan bagi menarik minat belia secara sukarela masuk ke dalam gerakan belia atau menubuhkan gerakan belia sendiri. Kawasan kejiranan dan perumahan perlu disedarkan akan kewujudan gerakan belia dan pusat belia yang digerakkan oleh pekerja belia profesional bagi menggalakkan penglibatan belia dengan kegiatan berfaedah yang membina jatidiri, makna diri dan masa depan. Masyarakat kejiranan dan perumahan juga digalakkan mendanai gerakan belia dan pusat belia tersebut apabila menyedari kepentingan kewujudannya di lokaliti masing-masing di mana mampu memberikan pengisian bermakna kepada belia dan ia juga mampu mengurangkan gejala sosial dan jenayah setempat.
Belia dan gerakan belia perlukan pejabat dan pusat aktiviti sebagaimana contoh sedia ada di Johor iaitu Pusat Belia Tengku Mahkota Johor (TMJYC) yang digerakkan oleh Majlis Belia Negeri Johor (MBNJ) dan gabunganya iaitu Majlis Belia Daerah (MBD).
Program-program pertukaran belia dan program-program lain-lain anjuran KBS harus memberikan keutamaan kepada belia yang menyertai gerakan belia untuk dipilih sebagai satu tekanan lunak atau soft pressure untuk ‘memaksa’ mereka terlibat aktif dalam gerakan belia terlebih dahulu sebagai asas sebelum menyertai mana-mana program berprestij anjuran KBS ataupun disyaratkan aktif menyertai gerakan belia atau menubuhkan gerakan belia sendiri selepas menyertai program-program anjuran KBS. Justeru sesi pengenalan gerakan belia wajar diwajibkan dalam setiap program-program KBS. Dalam konteks dan contoh yang lebih khusus untuk memilih perwakilan ke mesyuarat Majlis Belia Komanwel (CYC) dan wakil belia ke sesi face to face bersama pemimpin utama Asean ketika sidang kemuncak Asean, maka wakil belia yang ada asas gerakan belia diberikan keutamaan mewakili Malaysia. Ia bukanlah kerana gerakan belia tamak akan tempat tersebut tetapi sebagai soft pressure kepada belia untuk terlebih dahulu melibatkan diri gerakan belia sebelum diberikan passport mewakili Negara. Ini adalah cara berfikir dan bertindak yang betul.
Proses pendaftaran dan pendokumentasian laporan gerakan belia harus dipermudah dan didigitalkan oleh Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY) bagi meminumkan urusan dokumentasi yang kurang diminati oleh anak muda belia. Pendaftaran gerakan belia juga wajar difikirkan insentif minimum yang bersesuaian sebagai geran permulaan untuk mengaktifkannya sebagaimana pernah berlaku pada zaman YB Dato’ Seri Azalina memimpin KBS dahulu. Sedikit pelaburan yang dikeluarkan oleh Kerajaan mampu menyelamatkan lebih banyak wang negara dengan pendekatan Pembangunan Belia Positif atau Positive Youth Development (PYD) iaitu mengajak belia masuk gerakan belia bagi mencegah mereka terlibat dalam gejala sosial. Mendidik dan mencegah lebih baik daripada mengubati, inilah ruh sebenar PYD seperti terkandung dalam Dasar Belia Malaysia (DBM).
Pengiktirafan dan penghargaan wajar diberikan kepada agensi-agensi Kerajaan dan entiti masyarakat yang memberikan perhatian dan bantuan kepada belia dan gerakan belia. Hari Belia Negara (HBN) merupakan medan terbaik untuk mengiktiraf mereka dengan anugerah khas agar masyarakat membuka mata dan mencontohi mereka.
Dana dan kewangan merupakan cabaran utama kemandirian gerakan belia. Ini menjadi kegusaran utama pemimpin muda gerakan belia. Model baharu pembangunan belia yang dicanangkan YB Menteri Belia baru-baru ini wajar memikirkan kaedah, model dan mekanisme terbaik untuk menjadikan gerakan belia mandiri dan mempunyai kewangan yang kukuh bukan sahaja untuk mereka bahkan boleh mendanai aktiviti-aktiviti belia yang lain. Gerakan belia boleh menjadi sektor Ngo yang menjana pendapatan sendiri dengan mengadaptasi model baharu keusahawanan sosial dan inovasi sosial. Gerakan belia juga bahkan mampu mencipta peluang pekerjaan kepada hali-ahli mereka. Terdapat beberapa gerakan belia yang sudah pun mandiri dengan pemilikan entiti bisnes dan aset mereka sendiri yang wajar diangkat sebagai model nasional seperti ABIM, MAYC dan YBAM (Persatuan Belia Buddhist Malaysia) untuk dikongsikan model dan rahsia kejayaan mereka. Terdapat juga pemenang tahunan pertubuhan belia terbaik kebangsaan dan senarai gerakan belia bertaraf 5 bintang yang boleh dijadikan model kejayaan pengurusan dan kemandirian ekonomi. Mereka perlu ditampilkan dan diberikan ruang dan pentas ceramah dan latihan di peringkat nasional seluas-luasnya untuk berkongsi rahsia kejayaan sekaligus menginspirasikan lebih ramai belia menggerakan gerakan belia sebagai entiti yang hebat. Suatu ketika dahulu MBM mengambil inisiatif membukukan rahsia kejayaan mereka bersama-sama beberapa tokoh belia negara.
Berteraskan sistem penarafan bintang, MBM dengan kerjasama Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY) boleh memperkenalkan sistem ranking semasa gerakan belia persis ranking pemain-pemain sukan di pentas global bagi menggalakkan persaingan dan perlumbaan yang sihat menjadi yang terbaik sekaligus menjadikan ianya senario yang menarik. Juara tahunan diberikan pengiktirafan atau pun piala di hujung tahun. MBM juga pernah mencadangkan kewujudan Indeks Partisipasi Belia bagi mengukur secara saintifik tahap perkembangan dan kemajuan gerakan belia.
Keresahan ketandusan pemimpin belia di bawah 30 tahun dan kompeten di kawasan-kawasan kampung dan pedalaman serta FELDA mempunyai asas yang kukuh dan jangan dipandang enteng. Ia perlu ditangani sebaiknya dan diberikan perhatian khusus. Ia boleh ditangani dengan pihak Kerajaan memastikan lebih banyak pembangunan seimbang di luar bandar, penciptaan lebih banyak peluang-peluang pekerjaan dan penyediaan infrastruktur khususnya akses dan kestabilan jalur lebat, jalan dan pengangkutan. Ia mampu menghalang bakat-bakat muda berhijrah ke bandar-bandar sekaligus juga mampu menarik bakat-bakat muda pulang berkhidmat di laman kelahiran mereka. MBM dan Majlis Belia Negeri Kelantan (MBK) pernah merayu kepada Kerajaan agar jajaran trek ECRL yang berakhir di Pengkalan Kubor, Tumpat dikekalkan bagi memberikan limpahan ekonomi ke daerah yang paling miskin ini di Kelantan. Namun ianya hampa.
Konsep ‘furusato’ Jepun yang menggamit individu yang berjaya untuk pulang ke laman bonda untuk menabur bakti wajar dibugarkan. Walaupun anak muda duduk dan bekerjaya di bandar tetapi mereka tidak lupa menabur bakti di laman kelahiran mereka (investing back to the society) termasuk balik memimpin gerakan belia setempat.
Dana bantuan pentadbiran perlu diteruskan dengan diperluaskan kepada persatuan-persatuan belia tunggal yang juga memerlukan bantuan sokongan. Sekali lagi, sedikit pelaburan dalam pembangunan belia dan sosial mampu menyelamatkan dana Kerajaan yang lebih besar kerana outcome kesukarelaan dan pencegahan gejala sosial dan jenayah yang terhasil di akhirnya.
MBM juga telah mengusulkan kepada pihak Kementerian Kewangan dan KBS dengan satu model bon impak sosial sebagai mekanisma Kerajaan – Swasta membiayai gerakan belia yang memberikan impak sosial yang positif dan tinggi dalam masyarakat. Smart partnership Kerajaan-Swasta-Gerakan Belia wajar diterokai bukan sahaja mendanai gerakan belia tetapi mendanai program pembangunan belia dan fasiliti kemudahan belia seperti kompleks rakan muda agar mampan.
Seperkara yang penting lagi adalah agenda kerja belia profesional harus diperluaskan. Platform pekerja belia atau pengamal kerja belia profesional boleh ditubuhkan sebanyak mungkin sebagai platform pasca 30 tahun kepada pemimpin belia yang berminat meneruskan aktivisme pembangunan belia. ROY wajar mendokong penubuhan ini dengan mengeluarkan surat sokongan agar proses pendaftaran di Pendaftar Pertubuhan (ROS) dipermudahkan. Pengalaman saya menubuhkan Federasi Kebangsaan Pekerja Belia (FKPB) mengalami kesukaran pada awal pendaftarannya kerana mempunyai perkataan belia. Setelah mendapat surat sokongan ROY barulah proses pendaftaran di ROS dipermudahkan. Platform pekerja belia boleh bertindak seperti gerakan belia dengan mempunyai ekosistem mereka tersendiri seperti konvensyen pekerja belia, hari pekerja belia dan siri-siri latihan pekerja belia. Pemimpin belia yang tidak ke dunia politik boleh meneruskan aktivisme mereka sebagai pekerja belia atau pengamal kerja belia sama ada profesional atau amatur.
MBM pernah mendesak agar dimasukkan seksyen penubuhan lembaga kerja belia profesional sewaktu pindaan Akta 668 pada tahun 2019 sebagai langkah sokongan pindaan had umur belia dengan menyediakan platform baharu aktivisme pembangunan belia dan kerja profesional untuk pasca 30 tahun. Namun ianya tidak berlaku atas alasan ia memakan masa panjang untuk pindaan jika terlalu banyak seksyen yang ingin dipinda.
Mantan-mantan pemimpin belia juga boleh dilibatkan sebagai majlis penasihat dan mentor sebagaimana yang telah berlaku pada sesetengah gerakan belia. Ia juga sudah termaktub dalam teras ketiga Dasar Belia Malaysia (DBM).
Daripada perspektif politik, golongan senior yang sudah terlalu lama dan tidak produktif wajib memberikan laluan kepada yang lebih muda, bertenaga dan beridea untuk berada di dalam dewan legislatif di semua peringkat kerana sebahagian pemimpin gerakan belia di latih untuk menjadi pemimpin yang baik menjadi pengganti. Disuruh mengosongkan di bawah tetapi di atas masih penuh.
Idea YB Menteri Belia untuk memberikan insentif bagi gerakan belia yang berjaya meramaikan pemimpin belia di bawah 30 tahun dan mempercepatkan tansisi dalam gerakan belia semasa wajar disambut dan terus diimplementasikan.
Seperkara lagi yang harus difikirkan adalah polisi dan program khas bagi mendokong kelompok umur pasca belia umur 30 – 40 tahun yang masih muda dan perlukan sokongan. Mereka digelar sebagai golongan catalyst. Terdapat belia yang mendapat kesedaran di penghujung umur 20an dan mula berubah pada awal umur 30an. Mereka merupakan kelompok late bloomer yang harus disokong untuk menjadi warga yang baik dan tidak wajar dibiarkan terkontang-kanting keseorangan.
Kesemua yang dikongsikan di atas merupakan sebahagian sistem sokongan dan ekosistem yang mampu mempercepatkan proses peremajaan gerakan belia secara sukarela. Kita memerlukan pelan ekosistem bersepadu yang boleh diintegrasikan ke dalam model baharu pembangunan belia.
Yang kita kurang sebelum ini bukannya keengganan melakukan transisi tetapi ekosistem bersepadu!
Bertarikh : 24 Februari 2021