KUALA LUMPUR – Tema “Menggerak Belia” dipilih bagi Sambutan Hari Belia Negara (HBN) 2026 yang akan berlangsung pada 15 hingga 17 Mei ini di Sendayan, Negeri Sembilan.
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohamad Taufiq Johari berkata, tema tersebut menekankan kepentingan memperkukuh kepimpinan belia, mengangkat potensi generasi muda serta mempersiapkan mereka menghadapi cabaran masa hadapan.
“Sambutan HBN yang diraikan pada 15 Mei setiap tahun kini memasuki edisi ke-62 sejak diperkenalkan pada 1964 dan terus menjadi platform penting menghargai peranan belia dalam pembangunan negara.
“Penganjuran ini bukan sahaja memupuk semangat patriotisme, malah memperkukuh perpaduan nasional serta menyediakan ruang kepada belia menyuarakan aspirasi ke arah pembangunan modal insan yang holistik dan inklusif,” katanya.
Beliau berkata, demikian ketika menyempurnakan Majlis Pra Peluncuran Sambutan HBN Peringkat Kebangsaan di Perbadanan Stadium Malaysia, di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Mordi Bimol, pengurusan tertinggi kementerian serta Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan Kementerian Belia dan Sukan melalui Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) sebagai penggerak utama bersama MBM telah merangka pelbagai inisiatif bagi memastikan sambutan tersebut dapat dirasai oleh belia di seluruh negara termasuk di kawasan bandar dan luar bandar.
Antara inisiatif utama katanya, termasuk pelancaran Kembara Jalur HBN 2026 serta Inisiatif Sokongan Suara Belia (SSB) yang digerakkan di peringkat negeri dan daerah dengan sokongan jabatan serta pejabat belia dan sukan.
Mengulas lanjut, beliau berkata sambutan kali ini akan menampilkan lima segmen utama iaitu penciptaan dan peluang pekerjaan; kepimpinan, kesukarelawanan dan pengantarabangsaan; Malaysia aktif; inovasi dan digital; serta kebudayaan, kesenian dan muzik.
“Sambutan ini mencerminkan usaha bersepadu dalam memperkasa potensi belia secara kreatif, dinamik dan berdaya saing, di samping membentuk masyarakat yang aktif dan progresif,” katanya lagi.
Katanya, kemuncak sambutan tersebut ialah perasmian yang akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 15 Mei ini.
Artikel penuh :