KUALA LUMPUR 20 Sep – Majlis Belia Malaysia (MBM) terus memperkukuh komitmen dalam menyantuni masyarakat menerusi Program Tukar Minyak Hitam Percuma sempena Hari Terbuka Pusat Belia Antarabangsa (IYC) kali ke-38, yang berlangsung di kawasan parkir terbuka IYC, Kuala Lumpur.
Program yang berlangsung dari jam 3.00 petang hingga 6.00 petang itu menawarkan sebanyak 100 botol minyak hitam secara percuma kepada orang ramai sebagai salah satu inisiatif tanggungjawab sosial dan usaha MBM mendekati komuniti secara langsung.
Naib Presiden MBM, Jessy Ng, berkata inisiatif tersebut dibiayai sepenuhnya oleh MBM sebagai tanda keprihatinan terhadap masyarakat, selain menjadi sebahagian daripada sokongan berterusan MBM kepada IYC sebagai rakan strategik dan pemegang taruh dalam pembangunan belia.
“Kita menyediakan sebanyak 100 botol minyak hitam melalui program ini sebagai sebahagian daripada sokongan dan kebersamaan MBM bersama IYC, di samping memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata, program berkenaan mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai, khususnya masyarakat setempat yang hadir memeriahkan Hari Terbuka IYC 2026.
Inisiatif tersebut bukan sahaja memberi manfaat kepada pemilik kenderaan, malah menjadi platform untuk MBM berinteraksi dan mendekati masyarakat dalam suasana santai serta mesra komuniti.
Hadir sama Pengarah IYC, Dr. Wan Ahmad Hazman yang turut meluangkan masa meninjau pelaksanaan program serta menyantuni orang ramai yang hadir.
Program Tukar Minyak Hitam Percuma ini mencerminkan pendekatan MBM dalam membawa agenda pembangunan belia yang bukan sahaja berfokus kepada golongan belia, tetapi turut mengambil kira keperluan dan kesejahteraan komuniti secara lebih menyeluruh.






















