MAJLIS BELIA MALAYSIA

Perlu pelan teratur perkasa belia menganggur – MBM

KUALA LUMPUR: Pelan Kebangsaan Pemerkasaan Ekonomi Belia yang akan dilancarkan kan kerajaan seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, disifatkan langkah tepat bagi memperkasakan golongan belia menganggur dengan ilmu berkaitan teknologi dan kemahiran tinggi.

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid, berkata pendekatan bagi meningkatkan kebolehpasaran belia menganggur itu bagaimanapun memerlukan satu pelan teratur supaya ilmu bentuk baharu yang bakal diperkenalkan dapat diterima semua belia terutama mereka yang masih bersekolah.

Ini kerana, katanya, Forum Ekonomi Dunia (WEF) mengeluarkan laporan mengenai masa depan pekerjaan atau ‘the future of jobs’ yang menjangkakan 23 peratus pekerjaan berubah menjelang 2027 dengan 69 juta pekerjaan baharu dicipta.

“Pada masa sama, dijangkakan juga 83 juta lagi pekerjaan akan dihapuskan atas faktor peralihan teknologi, termasuk kepada aspek hijau, selain prospek ekonomi.

“Pekerjaan dijangka paling cepat berkembang pada masa depan, antaranya pakar pembelajaran teknologi kecerdasan buatan (AI) dan mesin, pakar kelestarian, penganalisis perniagaan, penganalisis keselamatan maklumat dan banyak lagi.

“Data daripada laporan yang dikeluarkan WEF ini perlu dipandang serius sebagai input dalam melaksanakan pelan ini,” katanya kepada BH hari ini.

Semalam, BH melaporkan, Pelan Kebangsaan Pemerkasaan Ekonomi Belia akan diluncurkan dengan tumpuan untuk meningkatkan kebolehpasaran belia bagi mereka yang menganggur dan terbabit dalam sektor pekerjaan tidak formal.

Ketika membentangkan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12) di Dewan Rakyat, Perdana Menteri dilaporkan berkata, pelan itu satu tekad kerajaan untuk menyerlahkan potensi dan meningkatkan kesejahteraan hidup belia.

Dalam pada itu,, Mohd Izzat berkata, MBM menyambut baik pengumuman Perdana Menteri mengenai inisiatif Rakan Muda yang akan dipergiatkan serta kegiatan permotoran selain usaha membangunkan potensi belia.

“Kita sambut baik usaha ini tetapi pada masa sama, berharap tumpuan turut diberikan kepada platform belia kreatif menjana ekonomi dari dunia digital dan trend perniagaan terkini yang lebih relevan,” katanya.

Katanya, ianya selaras dengan usaha kerajaan yang menyediakan dana RM346 juta dalam tempoh RMK-12 untuk menarik pembabitan golongan belia dalam aktiviti kreatif yang menawarkan pendapatan yang tinggi.

“Dalam pembentangan semalam, kerajaan melalui inisiatif Akademi Dalam Industri (AiI) akan menyediakan dana khusus RM209 juta bagi membantu belia menceburi sektor pembuatan. Seramai 50,000 belia disasarkan mendapat pekerjaan berkemahiran dengan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).

“Ini satu langkah ke hadapan kerajaan dalam bersiap sedia dan menyediakan generasi muda negara untuk melangkah masuk ke dunia baharu sektor pekerjaan pada masa hadapan,” katanya.

Artikel penuh :

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/09/1151868/perlu-pelan-teratur-perkasa-belia-menganggur-mbm

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »