Majlis Belia Malaysia (MBM) hari ini mengadakan sesi pelancaran satu jenama ‘Kopitiam Belia’ dengan kerjasama Kementerian Perpaduan Negara. Kopitiam Belia merupakan satu pendekatan baharu bagi memupuk semangat perpaduan dalam kalangan belia di Malaysia.
Inisiatif murni yang diilhamkan oleh Jawatankuasa Perpaduan, Integrasi Nasional dan Kepenggunaan MBM ini adalah satu wadah untuk anak muda mencurahkan pendapat dan idea tanpa ada rasa prejudis dan batas perkauman. Kopitiam Belia mengandungi pelbagai program yang diadakan secara dalam talian sebagai satu usaha untuk menyemarakkan lagi Sambutan Bulan Kemerdekaan Malaysia.
MBM menggunakan medium dalam talian adalah kerana memperlihatkan kesedaran akan tahap patriotisme belia di negara ini perlu dipertingkatkan dengan penggunaan media baharu. Medium media baharu yang berasaskan internet amat membantu dalam menyebarluaskan pelbagai jenis maklumat yang ingin disalurkan khususnya informasi kenegaraan dan pendidikan patriotisme dan perpaduan. Aspek patriotisme seharusnya diberi penekanan secara terperinci dan haruslah dipupuk dalam kalangan rakyat Malaysia. Paparan maklumat menerusi medium komunikasi ini mempengaruhi pengguna dan sekaligus memberi kesan kepada golongan belia.
Oleh sebab itu, semangat dalam menyambut Sambutan Bulan Kemerdekaan Malaysia tetap meriah dengan penggunaan penuh media baharu seperti penganjuran sesi webinar berserta kuiz kenegaraan dan pertandingan video TikTok yang mendapat sambutan hangat daripada golongan belia. MBM melihat ini petanda bahawa masih ramai anak muda mempunyai semangat patriotisme yang tinggi.
Dengan pelancaran Kopitiam Belia, MBM berharap ianya dapat dimanfaatkan sepenuhnya baik dari dalam kalangan anak muda mahupun dari pihak kerajaan dalam menyediakan segala maklumat kepada golongan belia dalam platform Kopitiam Belia ini. Usaha sebegini harus terus disuburkan kerana golongan belia masa kini sudah agak lama hidup dalam tekanan pandemik yang panjang. Kopitiam Belia ini diharap mampu menjadi ubat kepada tekanan tersebut dengan topik-topik perbincangan dialihkan kepada soal kehidupan bersatu-padu dalam ‘Keluarga Malaysia’ yang baharu.
MBM mengucapkan terima kasih kepada pihak Kementerian Perpaduan di bawah kepimpinan YB Datuk Halimah Mohamed Sadique yang mengiktiraf NGO sebagai rakan perpaduan atau Friends of Unity dan MBM berazam untuk menjayakan agenda penting negara yang berteraskan Dasar Perpaduan Negara kerana ianya menjamin kestabilan, kesejahteraan dan kemakmuran Negara.
JUFITRI JOHA
Presiden
Majlis Belia Malaysia
Bertarikh : 13 September 2021