MAJLIS BELIA MALAYSIA

Dokumentari Jubli Intan MBM – dokumentasi lembaran sejarah MBM

KUALA LUMPUR 10 Ogos – Mungkin ramai beranggapan Majlis Belia Malaysia (MBM) ini pertubuhan mirip politik ataupun perkakas kerajaan. Maka mudah untuk kita katakan mereka membutakan mata mereka untuk tidak membaca sejarah.

Namun hakikatnya, MBM tidak bersifat pesimis seperti itu kerana gerakan belia inilah menjadi bahagian penting pembentukan negara bernama Malaysia ini.

Disebabkan itu, Presiden MBM, Sdr. Mohd Izzat Afifi Hj Abdul Hamid hadir dengan idea mendokumentasikan lembaran sejarah panjang perjalanan MBM sepanjang 75 tahun penubuhannya di dalam satu dokumentari khas.

Dokumentari yang berdurasi hampir satu jam ini sudah pasti tidak menceritakan segalanya tetapi ianya adalah permulaan kepada segalanya bagi anak muda untuk memahami apa itu “MBM” sebuah badan induk pertubuhan belia yang diiktiraf kerajaan dalam Akta 668 mewakili suara belia Malaysia.

Majlis julung-julung kali diadakan ini disempurnakan perasmiannya oleh TYT Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam, Yang di-Pertua Negeri Melaka. Lebih manis Tun sendiri merupakan mantan Presiden MBM yang ke sembilan.

Tetamu yang hadir dihidangkan sesi tayangan video dan diselangselikan dengan persembahan monolog, nyanyian artis serta tarian kebudayaan.

Lebih dari itu, kesempatan ini menjadi saat indah buat mantan-mantan pemimpin dan penggerak belia berhimpun dan mengimbau nostalgia mereka di zaman memimpin pergerakan belia.

Turut diadakan pelancaran program Jelajah “Reach Out Community” MBM dengan kerjasama KBSMalaysia melalui Majlis Belia Daerah (MBD) di bawah Segmen Rakan Muda Ekspresi.

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Ts Dr. Nagulendran Kangayatkarasu; Presiden MBM dan Encik Mohammad Fairuz Mohd Radi, Pengarah Eksekutif Kumpulan Komuniti Perbankan AFFIN mewakili Pengerusi AFFIN Group.

Antara mantan teraju MBM yang hadir ialah Dato’ Seri Hasan Malek; Dato’ Dr. Suhaimi Ibrahim; Dato’ Seri Dr. Khir Toyo; Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali; Dr. Mohamed Maliki Mohamed Rapiee; Dato’ Sri Irmohizam Ibrahim dan Datuk Azuan Effendy.

Jutaan penghargaan dan terima kasih tidak terhingga buat pengerusi dan pengurusan Menara AFFIN yang menaja dan membenarkan MBM menggunakan ruang auditorium dan kemudahan lain di bangunan serba indah ini.

Terima kasih juga kepada semua penyokong dan pendokong pergerakan belia selama ini. Sesungguhnya anda sebahagian dari sejarah yang telah tercipta hari ini.

Untuk tontonan umum, nantikan perkongsiaan penuh dokumentari ini di media sosial kami.

Dirgahayu 75 Tahun Majlis Belia Malaysia!
Menggerak Belia!

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »