Home / Artikel / Menilai Kewujudan Semula PLKN

Menilai Kewujudan Semula PLKN

Program Latihan Khidmat Negara atau PLKN pernah mencetus pelbagai polemik dalam kalangan rakyat dan ahli politik. Pernah dikatakan sebuah program yang membazir, mengancam keselamatan peserta serta dikatakan disalah guna bagi tujuan indoktrinasi fahaman tertentu. Daripada ditangguhkan pada 2015 atas alasan penjimatan di dalam belanjawan negara, sehinggalah ianya dimansuhkan terus pada 2018 oleh kerajaan pemerintah ketika itu. Mulut manis ahli politik menjanjikan sebuah progam baharu akan digantikan, namun rangka modulnya pun tidak nampak bayang. Dua tahun memerintah, program baharu yang dikatakan itu masih dalam fasa ‘dalam perbincangan’.

Namun, perkara tunjang yang tidak dipandang adalah soal keberkesanan PLKN dalam memupuk semangat patiotosme dalam diri golongan belia Malaysia. Dalam satu kajian bertajuk Penghayatan Semangat Patriotisme Belia Malaysia: Kajian Ke Atas PLKN (Mohd Mahadee Ismail, PhD et al, 2016) menunjukkan setelah menjalani latihan selama tiga bulan, para pelatih telah menunjukkan perkembangan yang cukup positif di mana sebanyak 91.5 peratus daripada jumlah keseluruhan responden mempunyai perasaan cinta terhadap negara dan tanahair. Selain itu, 98.5 peratus daripada jumlah keseluruhan responden menyatakan mereka rela berkorban untuk negara dan tanah air. Tidak keterlaluan untuk dinyatakan bahawa dua dimensi ini sudah cukup bagi membuktikan keberkesanan PLKN dalam memupuk semangat patriotisme di kalangan pesertanya.

Elemen asas yang perlu diberikan perhatian dalam usaha membina sebuah bangsa mahupun negara bangsa ialah pemupukan semangat patriotisme, perpaduan dan kesukarelawanan. Dunia semakin canggih dengan ledakan teknologi. Ia memberi kesan kepada golongan belia. Sebahagian mereka cenderung untuk terlibat dengan aktiviti-aktiviti yang memperlihatkan tidak patriotik kepada negara seperti terlibat dengan gejala negatif dan menghina pemimpin negara terutama di media sosial. Oleh yang demikian, penghayatan semangat patriotisme generasi muda kini perlu diketengahkan dengan lebih serius khususnya dalam mempersiapkan diri bagi menghadapi segala cabarandan rintangan yang boleh menganggu gugat kedaulatan negara.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini menyatakan bahawa Kementerian Pertahanan akan mencadangkan kepada Kabinet agar program ini dilaksanakan semula. Hal ini menjurus kepada pembentukan patriotisme remaja yang menyertai PLKN.

Majlis Belia Malaysia (MBM) berpendirian langkah untuk mewujudkan semula PLKN adalah adalah satu usaha yang betul dengan syarat beberapa pembaharuan dan penambahbaikan harus dilakukan. Ianya berdasarkan kepada 22 Memorandum Modul Program Penjenamaan Semula PLKN-BTN yang telah dibentuk oleh pihak MBM dan agensi-agensi berkepentingan pada 6 Oktober 2020 yang lalu untuk diangkat ke Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), YB Datuk Seri Mohd Redzuan Md. Yusof.

Sebahagian memorandum yang perlu diberikan tumpuan utama adalah;

Pertama, Program Penjenamaan Semula Program PLKN-BTN diletakkan di bawah usahasama Kementerian Pertahanan, Kementerian Belia dan Sukan Malaysia dan MBM sebagai pemegang taruh belia terbesar;

Kedua, pelaksanaan tiada unsur campur tangan politik daripada mana-mana pihak;

Ketiga, penstrukturan semula dana yang baik dan sistematik mengikut kemampuan semasa ekonomi negara dan dapatan impak yang tinggi;

Keempat, menyediakan slot khas bersama MBM bagi pengenalan dan penyediaan platform dalam persatuan atau pergerakan belia dan NGO agar mereka terlibat setelah tamat latihan;

Kelima, modul yang membawa karekteristik dan mengenali diri (introvert) agar mempunyai asas pandangan yang kukuh dan rasional dan tidak mudah percaya tanpa usul periksa.

Cadangan penambahbaikan PLKN ini adalah demi memastikan terdapat nilai tambah supaya program ini menjadi lebih berkesan. Menjadi harapan MBM selaku badan induk pertubuhan belia negara agar PLKN dapat dikembalikan dengan mengimbangi antara keadaan ekonomi semasa dan keperluan falsafah PLKN itu sendiri. Buktikan bahawa PLKN bukan program pelancongan serta dianggap tidak mendatangkan manfaat. Keberkesanannya harus ditonjolkan agar dapat menutup mulut pengkritik. Keadaan ekonomi mungkin mendatangkan limitasi, namun dengan perancangan rapi serta membanteras isu ‘tender kroni’ dalam pelaksanaan PLKN, MBM yakin banyak wang dapat dijimatkan. Paling penting PLKN adalah platform pendidikan informal bukan platform membuat keuntungan

Oleh:
Muhammad Sherhan Nizam Abdul Aziz
Naib Presiden
Majlis Belia Malaysia

Tarikh : 27 November 2020
Emel : sherhannizam@gmail.com

About syazwan

Leave a Reply

スーパーコピー財布 スーパーコピー時計 スーパーコピーブランド cheap valentino

Translate »