Home / Artikel / Mengamati Dunia Pasca Covid-19

Mengamati Dunia Pasca Covid-19

Oleh:

Sdr. Muhamad Hanapi Jamaludin

Felo Penyelidik

Majlis Belia Malaysia

MENGAMATI ketidaktentuan dunia pasca Covid-19 membawa kita menginsafi kenaifan diri. Lemah, dhaif yang diwarisi oleh manusia itu hakikat yang membenarkan kemanusiaannya. Jendela 2020 yang memasuki tirai penutupnya pada Disember ini bakal melabuhkan cerita mengharukan tentang tahun serba teruji ini.  Apakah arah pembangunan dunia hari ini akan berubah? Rencana ringkas ini tidaklah daya menjawab soal yang memerlukan banyak penelitian seperti yang dibangkitkan. Sekadar lontaran awal agar sama memikirkan dan mengambil tindakan atas kapasiti masing-masing bagi menghadapi fenomena mendatang.

Karya The Great Leveller: Violence and the History of Inequality from the Stone Age to the 21st Century terbitan Princeton boleh direnungkan sebagai kompas perbincangan ini. Pengarangnya, Walter Scheidel menyatakan bahawa pandemik dapat mengurangkan ketidaksamarataan global. Sebelumnya, dunia kesenjangan ekonomi dan pembangunan dunia sangat ketara. Pengkategorian dibuat antaranya ; negara dunia pertama, kedua dan ketiga, atau negara-negara utara, negara-negara selatan yang pertama merujuk negara serba moden, maju dan kedua mundur terkebelang. Apakah Covid-19 yang merempuh tembok pertahanan negara-negara maju ini akan kembali menstrukturkan demografik pembangunan dunia. Buku ini menyenaraikan empat tonggak yang dapat mengurangkan ketaksamarataan sepanjang sejarah dunia bermula zaman Rom sehingga abad ke-20 merangkumi Peperangan, Revolusi, Kegagalan Negara (state failure) dan Pandemik. Jatuh bangun sebuah peradaban juga dikaitkan dengan pemakaian melampau sumber asli untuk memenuhi tuntutan ekonomi. Faktor ini juga menjadi punca keruntuhan dan kemusnahan empayar besar menurut sejarawan. Alam yang rosak binasa akan mengheret tamadun yang bertenggek di dadanya bersama-sama rebah. Belatuk mati disebabkan pohon tumbang.

Mengambil faktor pandemik yang sedang dititi oleh dunia hari ini, daripada sudut mana ketidaksamarataan akan dapat diratakan?

Negara Maju yang Lumpuh

Mengejutkan, negara-negara yang paling teruk digodam oleh covid-19 ini adalah daripada kalangan negara maju, gaya hidupnya serba serbi ditiru, produk ciptaannya di langgan. Jutaan penduduk di dunia mengambil faedah daripada kerja tangan mereka. Teknologi karya mereka berguna membangunkan perkakas memudahkan urusan manusia.

Dalam senarai pusat yang dikeluarkan oleh WHO kita menyaksikan dalam negara ranking tertinggi paling terjejas datangnya daripada negara-negara maju dan besar, negara penakluk, pemain ekonomi terpenting di dunia. Amerika Syarikat – Sang Polis Dunia, tidak mahu lawannya Russia, Perancis, Italy yang kembali mahu bertakhta, Sepanyol sedang mengintai rapat, Jerman. India dan Brazil pula sebagai negara besar terus bersaing untuk menempati kedudukan tertinggi. Kesemua negara yang mapan ini, dikenali membangunkan sejarah tamaddun berabad-abad telah rompak dirempuh covid-19. Gawang pertahanan negara-negara gergasi ini bolos dengan begitu mengejutkan. Keadaan kritikal di negara Eropah khususnya telah menghantarkan batin mereka untuk kembali menyambung tali pergantungan kepada Tuhan, tali yang telah lama waktunya mereka putuskan. Seperti ada yang berkata “We lost control of the pandemic. We died physically and mentally, we don’t know what to do anymore. All solutions on earth have ended. The only solution is to the sky

Sehingga ada yang membuat unjuran, jika negara-negara ini yang lebih jauh terkehadapan dalam sistem kesihatan awam telah lumpuh, bagaimana kiranya negara-negara lain yang tidak terbilang. Namun, ironinya, negara-negara yang dikatakan memiliki sistem kesihatan yang lemah seperti negara-negara miskin yang baru membangun tidak sangat terkesan daripada musibah ini. Tanpa bersikap generalisasi, terdapat juga negara-negara maju lain yang berjaya mengawal virus ini. Tiada asbab mutlak. Semuanya berjalan di bawah percaturan Tuhan.

Pensisteman Semula Sistem

Covid-19 setidak-tidaknya telah melambatkan proses penuaan bumi. Dibalik hujan ada pelangi. Di balik musibah ada faedah yang melimpah. Kita menghadapi musim yang pahit, tanpanya kita tidak akan kenal dan lebih menghargai musim-musim manis. Covid-19 telah menyumbang mitigasi bumi daripada kerosakan. Pergerakan terhad oleh perintah lockdown di hampir keseluruhan dataran dan kepulauan dunia mendorong peralihan iklim yang sebelum ini tercemar. Di India untuk tempoh 30 tahun pertama kalinya Gunung Himalaya dapat dilihat. Di tanah air, sungai-sungai kusam dan lesu arusnya mengalir lebih bertenaga. Setengahnya kembali menjadi cermin yang membenarkan habitat di dalamnya dapat dilihat.

Sisi cerah yang terlihat ekoran covid ini sewajarnya memberikan keceriaan kepada manusia. Kita terpaksa berlapar beberapa ketika, untuk kemudian mendapat bekalan yang cukup. Kepesatan modenisasi, industrialisasi telah menyedut upaya bumi pada kadarnya yang melampau. Pencemaran udara oleh lalu lintas kapal terbang yang mengeluarkan gas ke udara tanpa henti oleh Covid-19 ia terpaksa berhenti. Dunia mengambil waktu ini untuk bermandi-mandi, membersihkan diri.

Covid-19 ini akan mendefinisi semula penglihatan kita terhadap alam.

1)      Alam memberikan perkhidmatan percuma kepada manusia. Seperti air, udara, tenaga. Sumber air walaupun dibayar oleh manusia, namun ia diambil daripada alam sekitar yang berjalan dalam sistem semulajadi yang menjamin kualiti bersih, jernih dan segarnya. Ia teguh sabar memberikan khidmatnya. Kalau sungai kering disebabkan oleh pembalakan, penggondolan bukit dan gunung, paip air kita hanya menjadi perhiasan – walaupun kita memiliki harta beratus tahil.

2)      Kita perlu hidup bersama dengan hidupan-hidupan lain. Kerana hidupan yang lain mempunyai fungsi sendiri. Sebahagian besar daripada fungsinya untuk memberikan kehidupan semula kepada manusia. Makmur bersama bukan sahaja dengan manusia tetapi serentak dengan mikroorganisma penduduk bumi lainnya.

3)      Jika kita mencemari alam sekitar melebihi batasnya, kita sebenarnya telah membunuh diri sendiri. Udara tercemar teruk hanya memerlukan beberapa minit sahaja untuk membenarkan manusia tidak lagi bernafas. Di sesetengah negara yang kepesatan industrinya terlalu buas, oksigen terpaksa dibeli.

Industri berasaskan teknologi hijau diharapkan bakal menjadi bukan lagi alternatif. Apalah guna menikmati pembangunan rancak, tetapi dada sesak. Hela nafas serak disekat oleh debu kotor di udara.

Mengenai masa depan anak muda dan mahasiswa yang didakwa terus menerus meruncing di zaman ini, saya pecahkan skop jawapan ini kepada dua spektrum :

Career Driven –

Pantas di akui pandemik covid-19 memberikan pukulan yang meranapkan. Tentang syarikat gergasi yang membuang pekerja, tentang negara-negara yang meningkatkan hutang, tentang kadar kemiskinan dan kebuluran meningkat. Namun, dalam konteks Malaysia. Kesan terhadap ekonomi masih boleh dikawal. Kita belum sampai terhadap fasa kerosakan yang tidak dapat dipulihkan (irreversible damage). Tindakan segera para cerdik pandai meneroka horizon baru ekonomi telah segera mendorong daripada keadaan yang lebih sukar.

Menerusi peruntukan bidang latihan dalam PENJANA mampu meningkatkan keupayaan program kemahiran dengan penyediaan kemahiran baharu yang menepati kehendak semasa pasaran pekerjaan dan industri. Program kemahiran khususnya untuk penganggur samada ‘upskilling’ atau ‘reskilling’ penting untuk meningkatkan kemahiran sedia ada atau kemahiran lain bagi menceburi pekerjaan baharu. Ia sangat membantu untuk menambah nilai mereka. Program kemahiran yang berkaitan digital seperti e-sukan, rekaan grafik, pembuatan video dan pelayar (streamer) perlu diberi perhatian kerana terbukti industri itu tidak terjejas dalam tempoh (PKP) malah menjadi antara industri penting.

Anak muda akan berhadapan dengan cabaran karier tradisional yang semakin menguncup. Sektor pelancongan, penerbangan sebagai contoh terpaksa berehat untuk waktu panjang. Ini akan mengecilkan lagi capaian anak muda untuk menempa kerjaya. Justeru, mereka perlu beralih kepada penciptaan nilai dan kerjaya baru. Bertolak daripada masalah yang sedang di hadapi, di sana ada bermacam lagi penyelesaian yang bermuara kepada kemakmuran kehidupan ekonomi.  

Kita perlu galakkan lebih banyak sesi-sesi perah otak untuk memulakan dunia baru yang bakal reset pasca covid-19 ini. Daripadanya kita akan membangun semula puing-puing ekonomi yang roboh atau setidaknya merenovasi yang masih bertahan walaupun rapuh.

Vision Driven –

Anak muda yang punyai wawasan akan berdaya tahan menghadapi apa juga cabaran.      Covid-19 tentu sekali di luar daripada lingkaran pengaruh (circle of influence). Ianya adalah konsep yang disedut daripada karangan Stephen Covey dalam buku 7 Habits of Highly Effective People. Kita tidak mampu mengawalnya. Di luar daripada itu kita tidak boleh terus menyalahkan keadaan – bak kata pepatah Arab yang terkenal ;

 “Janganlah kita salahkan kegelapan, sebaliknya nyalakanlah cahaya.”

Jalan perlu dirintis untuk membuka ruang-ruang yang dapat memberikan penyelesaian terbaik. Berdepan kenyataan atau real context akan mempercepatkan proses pembelajaran mahasiswa. Pintu pagar kampus terkunci, universiti kehidupan terbentang tak bertepi. Proses menggeluti masalah sebenar di lapangan kehidupan akan mempercepatkan lahirnya manusia-manusia budiman atau al-Insan al-Kamil atau universal man seperti yang menjadi cita-cita asasi para perumus falsafah pendidikan.

Covid-19 berjaya memperkukuhkan hubungan antara mahasiswa, universiti, sektor korporat dan badan bukan kerajaan. Kita melihat mahasiswa berpadu mengenepikan perbezaan politik dan kecenderungan bagi membantu mahasiswa lain dan komuniti yang terjejas akibat Covid-19. Mereka membuat kutipan dana, mengedarkan makanan, menyediakan pelbagai perkhidmatan, menyalurkan bantuan, membantu mendapatkan akses internet, peranti dan sebagainya. Perkembangan ini selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) Pendidikan Tinggi 2015-2025, dasar Redesign University Higher Education: University, Industry and Community Engagement dan program Universiti Untuk Masyarakat yang menjadi antara agenda utama Kementerian Pengajian Tinggi.

Mahasiswa mendapat pengiktirafan dalam proses membuat keputusan-keputusan penting di universiti. Mereka membuat kajian dan tinjauan yang berkualiti sebagai rujukan dan pertimbangan pihak universiti. Kesatuan Pelajar UIAM dan UM sebagai contoh, sangat memainkan peranan dalam menuju pengiktirafan sebagai “pentadbir bersama (shared governance) kerana peranan mereka yang cukup membantu pentadbiran universiti. Data dan statistik yang dijana menerusi tinjauan mahasiswa menjadikan keputusan dan dasar yang dibuat oleh pihak universiti lebih tepat dan inklusif. Mahasiswa kini diiktiraf setidaknya sebagai rakan strategik, sebahagian daripada pihak berkepentingan dengan universiti.

Di luar tembok pembinaan manusia, ekosistem ekonomi pastinya tidak sekali-kali patut diabaikan. Tempoh memulih ekonomi pasca Covid19 – tumpukan kepada sektor pertanian. Isu kedaulatan makanan (food security) akan kritikal. Paling asas, hasil pertanian akan memastikan rakyat dapat bersedia terlepas daripada putus bekalan jika tidakpun kebuluran. Penekanan terhadap sektor penyelidikan dan pembangunan produk berkaitan perubatan tidak lagi boleh diletakkan pada item-item kurang penting dalam belanjawan negara. Menghadapi covid yang belum reda seharusnya bidang ini mendapat sorotan utama. Stok penimbal peralatan perubatan berkaitan pernafasan serta perbekalan ubatan serta keseluruhan infrastruktur kesihatan harus ditingkatkan.

Apa yang kita harapkan sesudah dunia tidak dapat mengelak daripada amukan Covid-19 ini adalah ‘reset’ daripada sistemnya yang melampau. Alam yang selama ini terdera oleh tangan manusia, kini menampilkan wajahnya yang kembali ceria. Untuk siapa keceriaan itu dipantulkan? Kepada manusia penghuni dan penumpang teduhnya. Tidak lain tentunya untuk mencipta sebuah dunia yang lebih seimbang, tertib, saksama untuk dinikmati bersama. Munculnya agenda SDG memberi isyarat sejak beberapa dekad ini, pembangunan telah melesapkan kehidupan yang harmoni. Covid-19 secara tidak langsung mempecepatkan agenda SDG dicapai. Industri ekonomi oleh kapitalis ekstrem terduduk buat seketika. Dunia selepas Covid-19 adalah untuk kembali dinikmati makhluk yang layak memakmur bumi, bukan sekadar untuk haywan ekonomi sahaja yang bertarung, berperangan menjarah isi perutnya. Semangat ini patutlah dihayati :

‘Sustainable development is the development that meets the social, economic and environmental needs of the present without compromising the ability of future generations to meet their own needs’

Ekonomi berasaskan makanan, kehidupan rohani dan jasmani yang seimbang diharap akan mengambil tempatnya semula di kemudian nanti. Dunia pasca Covid jika tidak menyamaratakan dunia, akan menyedarkan, setinggi-tinggi tingkat teknologi runtuh roboh juga dilanggar kesombongan. Seperti yang dipetik oleh Dr Zulkifli Hassan daripada Faye Flam menerusi makalah diterbitkan Bloomberg berjudul Post-Virus Reopening is More About Ethics than Sciencememberi isyarat bahawa etika menjadi penentu dan tonggak utama untuk melawan pandemik bukan sains dan teknologi. Etika pemakmur bumi, etika yang sama penjamin kesejahteraan warganya.

Bertarikh : 23 November 2020

About syazwan

Leave a Reply

スーパーコピー財布 スーパーコピー時計 スーパーコピーブランド cheap valentino

Translate »