Home / Kenyataan Akhbar / Pihak berkuasa wajib ambil tindakan segera terhadap isu keselamatan siber

Pihak berkuasa wajib ambil tindakan segera terhadap isu keselamatan siber

Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita dan Keluarga Majlis Belia Malaysia (MBM) memandang serius terhadap laporan oleh media says.com yang mendedahkan terdapat aktiviti yang menyalahi undang-undang di Aplikasi Telegram.

Isu ini bukanlah pertama kali dibangkitkan oleh masyarakat memandangkan pada tahun 2016, aktivis sosial saudara Syed Azmi juga turut membuat pendedahan yang sama berkaitan perbualan jijik oleh orang dewasa dan kanak-kanak melalui aplikasi telegram.

Pasca 4 tahun isu ini dibangkitkan, masih lagi berlarutan kes yang serupa dengan akumulatif 35,000 ahli di dalam kumpulan berkenaan. Apakah mereka yang menjalankan aktiviti ini kebal dari sebarang tindakan undang-undang?

Akta Kanak-Kanak 2001 yang menyokong Dasar Perlindungan Kanak-Kanak Negara juga secara jelas mempertahankan hak kanak-kanak daripada terdedah dengan sebarang ancaman seksual. Bahkan Akta SKMM sewajarnya digunapakai sekaligus mengheret penjenayah mengikut lunas undang-undang di bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Justeru, satu Jawatankuasa Khas harus ditubuhkan oleh kabinet yang melibatkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta Kementerian Dalam Negeri. Hal ini berikutan peningkatan kes ancaman jenayah siber seperti yang dilaporkan oleh Cyber999 dan kita tidak boleh menggadaikan masa depan beliawanis dan kanak-kanak dek kegagalan kita dalam mempertahan keselamatan mereka.

MBM memandang serius terhadap keselamatan siber yang membabitkan beliawanis dan kanak-kanak yang rata-ratanya aktif dalam penggunaan media sosial. Kami menyeru kepada para aktivis tidak kira lelaki dan wanita agar merancakkan advokasi keselamatan siber.

Isu keselamatan bukanlah hanya tertakluk kepada gender wanita semata-mata kerana kanak-kanak lelaki juga merupakan mangsa kepada jenayah pedofilia. Agenda membasmi jenayah siber ini perlu ditangani bersama dan saranan kami agar aktivis lelaki turut agresif dalam memprotes aktiviti tidak bermoral di aplikasi telegram ini.

MBM ingin mengucapkan tahniah kepada saudari Arisha Rozaidee, penulis di SAYS yang tampil dengan pendedahan yang berani dan tuntas. MBM juga mengucapkan sekalung penghargaan kepada pihak berkuasa yang telah dan akan mengambil tindakan tegas ke atas pelaku jenayah siber ini. Kerjasama berterusan antara rakan media, masyarakat sivil dan pihak berkuasa adalah resipi utama dalam memastikan jenayah ini dapat dibendung.

NAZIRA ROSLEE
Timbalan Pengerusi
Biro Hal Ehwal Wanita dan Keluarga
merangkap;
Exco Majlis Belia Malaysia

Bertarikh : 3 Oktober 2020

About syazwan

Leave a Reply

スーパーコピー財布 スーパーコピー時計 スーパーコピーブランド cheap valentino

Translate »