Home / Kenyataan Akhbar / Ketirisan perolehan kerajaan: rakyat akan hilang keyakinan

Ketirisan perolehan kerajaan: rakyat akan hilang keyakinan

Majlis Belia Malaysia mengambil perhatian yang serius terhadap kenyataan dari Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Azam Baki yang mengatakan kes rasuah dimana melibatkan perolehan kerajaan semakin kritikal.

Perolehan kerajaan merujuk kepada proses mendapatkan input-input yang diperlukan oleh sesebuah organisasi dengan cekap pada kos yang paling menguntungkan (value for money) dan memenuhi keperluan pelanggan. Ia hendaklah dilaksanakan secara terbuka, adil dan saksama kepada semua pembekal dan kontraktor yang berkelayakan dan diuruskan dengan cekap dan teratur tertakluk kepada undang-undang, prosedur dan arahan yang berkuatkuasa seperti Akta Prosedur Kewangan 1957.

Kecuaian dan ketirisan yang terus berlaku dalam perbelanjaan wang awam setiap tahun menimbulkan persoalan apakah pihak di kementerian dan agensi kerajaan mengambil iktibar daripada syor-syor penambah baikan yang dikemukakan dalam Laporan Ketua Audit Negara setiap tahun. Perkara ini tentunya merugikan rakyat Malaysia mengenangkan wang yang digunakan kerajaan dalam proses perolehan ini merupakan hasil kutipan cukai daripada rakyat. Pada saat kantung kerajaan berada pada tahap yang membimbangkan, setiap perbelanjaan wajar dipersoal. Hal ini kerana banyak projek kerajaan yang sepatutnya memberi manfaat kepada rakyat tidak setimpal dengan kos terpaksa ditanggung kerajaan.

Faktor utama yang menyebabkan berlakunya pembaziran dan ketirisan adalah disebabkan sikap penjawat awam yang tidak mempunyai dan tidak mengamalkan nila-nilai murni seperti akauntabiliti, integriti, berkecuali, amanah, bersih, jujur, telus dan adil dalam melaksanakan tugas-tugas yang dipertanggungjawabkan. Sikap sebegini sudah pasti akan menggagalkan matlamat “value for money” di dalam menguruskan perolehan kerajaan.

Dalam soal ini, MBM menzahirkan kebimbangan terhadap masa hadapan negara. Bagaimana generasi masa hadapan hendak menguruskan kewangan negara dengan budaya ketirisan ini masih tidak menampakkan jalan penyelesaian. Persoalannya, adakah penambahan undang-undang mampu menjadi penawar kepada segala masalah ini?

Kerajaan harus sedar bahawa jika keadaan ini berterusan, impaknya rakyat akan hilang keyakinan kepada kerajaan. Kita tidak boleh menolak kemungkinan ‘orang atasan’ mungkin bertindak memberi tekanan kepada pegawai kerajaan supaya melakukan perkara yang menyalahi peraturan.

MBM mengesyorkan agar pihak seperti Pusat Governan, Integriti dan Antirasuah (GIACC) merumus strategi dan menilai dasar dalam memastikan semua urusan kerajaan mematuhi prinsip tadbir urus yang baik, berintegriti dan toleransi sifar terhadap rasuah. Selain itu, setiap Menteri di kementerian dan agensi perlu membuat analisis yang teliti mengenai sistem perolehan kerajaan sedia ada sebelum mengusulkan undang-undang baharu. Lazimnya, undang-undang yang digubal oleh para pembuat dasar gagal mengambil kira realiti yang melanda sistem sedia ada, menyebabkan dasar tersebut hilang impak yang diharapkan.

JUFITRI JOHA
Presiden
Majlis Belia Malaysia

Bertarikh : 2 Oktober 2020

About syazwan

Leave a Reply

スーパーコピー財布 スーパーコピー時計 スーパーコピーブランド cheap valentino

Translate »