Home / Artikel / MBM gesa kerajaan bantu pelajar menjalani latihan praktikal

MBM gesa kerajaan bantu pelajar menjalani latihan praktikal

Oleh:

Sdr. Hasnul Haniff Harun

Setiausaha Agung

Majlis Belia Malaysia

Dalam usaha memperkasakan kualiti graduan, latihan praktikal atau latihan industri diwajibkan bagi kebanyakan kursus yang ditawarkan di mana-mana Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta. Perbezaan yang ketara di antara alam universiti dan alam pekerjaan adalah ruang pendedahan dalam mempraktikkan ilmu adalah terhad di universiti. Dalam suasana global yang kompetitif, graduan mesti mempersiapkan diri dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan oleh industri.

Latihan industri merujuk kepada penempatan pelajar di sesebuah organisasi bagi menjalankan latihan praktikal yang diselia dalam sektor industri berkenaan dalam jangka masa yang ditetapkan sebelum mereka dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda. Latihan yang dijalankan adalah berteraskan konsep pembelajaran melalui amalan mempraktikkan teori dan konsep akademik yang telah dipelajari dalam situasi kerja yang sebenarnya.

Lebih kurang setahun yang lalu, kadar elaun bagi pelajar yang menjalani latihan praktikal di kementerian, agensi atau jabatan kerajaan dinaikkan daripada RM300 sebulan kepada kira-kira RM900 sebulan, iaitu peningkatan lebih tiga kali ganda. Sektor swasta yang mengambil golongan belia mengikuti latihan di syarikat masing-masing juga disarankan ketika itu supaya memberi ‘imbuhan’ berpatutan kepada kumpulan tersebut sebagai penghargaan. Ketetapan yang telah digazetkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia bertarikh 6 September 2019 ini tidak dinafikan menjadi berita gembira kepada kebanyakan belia di Malaysia. Namun, bagi kebanyakan organisasi yang sebelum ini rancak dalam mengambil khidmat pelajar praktikal, situasi ini menjadi sebaliknya.

Ditambah pula dengan pandemik Covid-19 yang berlaku di negara ini, ianya menambahkan lagi permasalahan berkaitan isu ini. Ada diantara pelajar terpaksa dihentikan latihan industri walaupun baru separuh jalan gara-gara majikan terpaksa melakukan rombakan kakitangan dalam menjimatkan wang syarikat. Situasi sebegini pasti memeningkan kepala mana-mana pelajar kerana perlu mencari tempat latihan baru dan memulakan semula latihan industri mereka. Bagi sektor kerajaan pula, terdapat beberapa agensi dan kementerian yang tidak mampu untuk membayar elaun pelajar praktikal, ditambah pula dengan keadaan ekonomi yang mencabar ini.

Justeru, MBM menggesa pihak kerajaan dapat memurnikan beberapa dasar bagi membantu pelajar yang dihimpit dengan permasalahan sebegini. Bagi maksud itu, MBM mencadangkan agar beberapa perkara dapat diperhalusi supaya semua pihak dapat manfaat sebaiknya. Pertama, pihak kerajaan, khususnya Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia perlu mengkaji semula ketetapan bayaran elaun kepada pelajar Institusi Pengajian Tinggi yang mengikuti latihan amali atau industri di sektor awam. MBM menyarankan kadar RM900 sebulan perlu dikurangkan kepada satu kadar yang dirasakan munasabah. Langkah ini mungkin dianggap tidak popular terutama di mata belia, namun bagi memastikan nasib golongan pelajar yang terhimpit untuk menamatkan latihan industri, langkah ini perlu diberikan perhatian utama.

Kedua, penempatan pelajar ini kepada mana-mana kementerian atau agensi kerajaan dan swasta dalam menjalani latihan industri perlu dipermudahkan. Pelajar tidak sepatutnya dibebankan dengan masalah lokasi tempat praktikal jauh dari lokaliti mereka. Permasalahan ini sememangnya membebankan pelajar kerana kos sara hidup mereka sama sekali tidak setimpal dengan elaun yang diberi. Mereka mungkin terpaksa menyewa bilik atau rumah, ditambah pula dengan kos kenderaan awam serta makan minum yang pastinya membebankan terutamanya di kawasan bandar. Dalam hal ini, permohonan pelajar dalam menjalani latihan praktikal di kawasan pilihan mereka pastinya dapat memudahkan semua pihak. Sebagai contoh, jika lokasi menjalani latihan praktikal berdekatan dengan rumah ibu bapa pelajar, maka kos seperti makan minum dan penginapan dapat dijimatkan. Jabatan dan agensi kerajaan di kawasan setempat mereka samada di bandar dan luar bandar wajar membuka pintu kepada pelajar untuk menjalani latihan industri, begitu juga dengan organisasi dan syarikat-syarikat swasta. Dengan adanya bantuan dari golongan muda, ianya mampu sedikit sebanyak melancarkan lagi produktiviti sesebuah syarikat, dengan kos yang minimum.

Ketiga, kerajaan mungkin boleh memikirkan inisiatif dalam memberikan bantuan khas kepada pelajar praktikal yang berkelayakan, sebagai satu langkah menambah baik dasar. Pihak Kementerian Pengajian Tinggi khususnya wajar meneliti perkara ini dalam memastikan kebajikan pelajar praktikal yang sedang berkhidmat di seluruh negara terbela nasib mereka. Ia termasuklah dari segi bantuan sara hidup khas, bantuan kepada pelajar yang terjejas akibat pemberhentian latihan atau insurans khas kepada pelajar yang sedang menjalani latihan industri. MBM yakin sekiranya langkah-langkah ini dapat disantuni dengan baik, negara akan dapat melahirkan graduan-graduan yang berkualiti dalam memenuhi keperluan industri. Memang benar, pelajar zaman dahulu tidak mengharapkan elaun serta mampu berkhidmat di mana-mana, namun tidak wajar bagi kita untuk membandingkannya kerana zaman telah berubah selari dengan kos kehidupan seharian. Dalam perkara ini, MBM berharap semua organisasi tidak kira kerajaan mahupun swasta, agar terus membantu pelajar-pelajar ini demi memastikan mereka dapat menamatkan pengajian dengan sempurna.

Bertarikh : 1 Oktober 2020

About syazwan

Leave a Reply

スーパーコピー財布 スーパーコピー時計 スーパーコピーブランド cheap valentino

Translate »