Home / Artikel / Perkasa Integriti Pergerakan Belia Melalui Akta 668

Perkasa Integriti Pergerakan Belia Melalui Akta 668

Oleh:

Mohd Suhaimi Mohd Din

Felo Penyelidik Majlis Belia Malaysia /

Anugerah Belia Negara 2002 (Kesukarelaan & Kemasyarakatan)

& Anugerah Belia Negara 2011 (Kesukarelaan)

Kemerdekaan sebuah tanahair di manifestasi dengan makna pembebasan, pengurusan kendiri, berswadaya dalam pelbagai urusan secara mandiri dan paling utama ialah diasaskan pada sebuah waktu paling bersejarah yang dinama sebagai Hari Merdeka. Persekutuan Tanah Melayu yang kemudian dikenal sebagai Persekutuan Malaysia memiliki Hari Merdeka pada tanggal 31 Ogos. Sesungguhnya tarikh 31 Ogos 1957 diwarta sebagai episod paling berharga dan tidak boleh dinilai dengan sebarang pertukaran matawang, nilai pertukaran hamba kepada tuannya, mahu sebarang bentuk material yang boleh dinilai tara secara kewangan dan emas berlian.

Justeru yang sama, makna kepada peradaban sebuah tamadun di peruntukan di dalam 183 artikel atau perkara merujuk kepada Perlembagaan Persekutuan sebanyak 15 bab penting. Natijah inilah, yang memberi makna kepada sebuah struktur pertubuhan dan pergerakan belia.

Merujuk kepada Perkara 10 (c) iaitu semua warganegara adalah berhak menubuhkan persatuan, yang disemat kemas di dalam Peruntukan Am (Bab 5) Akta 668 iaitu Akta Pertubuhan dan Pembangunan Belia 2007, dalam seksyen 31, Pertubuhan belia berdaftar hendaklah bertindak mengikut Perlembagaan.

Persoalan yang ingin dicetus ialah apakah program perkasa integriti pergerakan belia berpaksi kepada asas-asas Perlembagaan Persekutuan 1957? Bagaimanakah pertubuhan belia mengerti makna kepentingan dan keperluan hak persatuan hingga boleh di kata bahawa pemimpin dan ahli persatuan belia itu makmur kenegaraan atau cakna pembinaan Negara bersandarkan ilmu-ilmu organisasi kebeliaan?

Amat menarik perhatian penulis, kerana dalam musim COVID-19 ini yang ditakdir berlangsung pada tahun keramat 2020. Wawasan 2020 yang tiada seorang pun di kalangan pemimpin perdana, mahu pun pemimpin belia yang bersungguh-sungguh membina wacana dan penghujahan perihal kedudukan dan kejayaan Wawasan 2020. Apakah mungkin makna Integriti pergerakan belia belum dihadam atau tiada yang berupaya menilai erti INTEGRITI mengikut paksi kenegaraan tanahair Tanah Melayu ini atau kini dinama sebagai Malaysia?

Marilah kita berfikir sejenak dengan kewarasan akhlak dan adab sebagai seorang belia warganegara yang baik, sihat dan mulia. Seksyen 31 merakam 5 cirian penting iaitu

  • sistem kerajaan demokratik yang diketuai oleh seorang raja berperlembagaan Malaysia, dan di negeri –negeri, oleh Sultan berperlembagaan atau Yang di-Pertua Negeri;
  • kedudukan agama Islam sebagai agama Malaysia, dengan agama lain diamalkan secara aman dan harmoni;
  • penggunaan Bahasa Kebangsaan sebagai maksud rasmi;
  • kedudukan orang Melayu dan pribumi negeri Sabah dan Sarawak; atau
  • kepentingan sah taraf kaum-kaum lain

Seksyen 31 (a) diperhalusi dengan bacaan kepada Perkara 32 dan 38 yang kemudian mesti terlaras dengan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri masing-masing yang meletak martabat seorang Ketua Utama Negara, Ketua Utama Negeri yang dinama sebagai Raja, Sultan dan Yang Di Pertuan Besar. Sesungguhnya, inilah sumpah yang wajar dihayati oleh seorang warga persatuan belia yang diterjemah dalam Rukunegara sebagai Kesetian kepada Raja dan Negara.

Antara sorotan kecil yang boleh difahami oleh setiap individu belia, ialah penghayatan survival pergeraka Persekutuan Belia Malaya yang bermula pada 1948 oleh 3 sosok insan terbilang iaitu Almarhum Tuanku Jaafar ibni Tuanku Abdul Rahman, Almarhum Sultan Ahmad Shah Al-Haj ibni Sultan Abu Bakar dan Almarhum Tun Abdul Razak bin Hussein yang memainkan peranan cukup besar ke atas kelahiran Persekutuan Belia Malaya hingga pada 1950 zahir Majlis Belia Malaysia. Ini sekadar yang tersurat, namun banyak elemen tersirat yang jauh lebih mendasar kepada pengasasan himpunan belia yang membawa kepada kelahiran MBM.

Seksyen 31 (b) amat wajar dirujuk kepada Perkara 3 dan 11 dalam Perlembagaan Persekutuan. Perihal penghormatan dan kehormatan ke atas elemen agama dan keagamaan, tanpa diskriminasi terhadap kepercayaan dan idealisme anutan selain Agama Islam. Islam sebagai agama Persekutuan merangkumi keseluruhan sifat fizik dan metafizika, namun terlalu longar dibahaskan demi kepentingan rakyat khususnya warga belia. Hakikat ini, secara pesanan diungkap dalam Rukunegara yang dimulai dengan Kepercayaan kepada Tuhan.

Dewasa ini pelbagai isme songsang dan tempias dek pengaruh media massa tanpa batasan, alam pendigitalan, revolusi teknologi maya hingga tersesat dan mempengaruhi belia Malaysia. Kewujudan pengaruh ajaran-ajaran sesat Islam, pengikut kepercayaan yang dikelas sesat oleh penganut Kristian, Tao, Buddha, Hindu juga makin membarah dan melata, seolah-olah tiada ikatan kuasa undang-undang. Apakah ini impak daripada terangkat Akta Kesalamatan Dalam Negeri 1948 (Akta 35)? Atau pernah di katakan pembatalan beberapa seksyen dalam Perkara 150, Perlembagaan Persekutuan? Cabaran besar kepada pertubuhan belia ialah mengenalpasti kedudukan Agama dan kepercayaan yang bagaimana? Wujudkah idealisme belia dalam pergerakan kebeliaan?

Seksyen 31 (c) begitu bersuluh merujuk kepada Perkara 152 dalam Perlembagaan Persekutuan. Demikian dengan adanya 152, maka wujud Akta Bahasa Kebangsaan, dan institusi tersohor iaitu Dewan Bahasa Pustaka. Namun, paling murung hari ini, ada tendensi di kalangan belia “profesional” dalam kumpulan kerjaya tertentu bermain-main dengan hak perlembagaan dan negara ini. Apakah kaya Integriti jika sebuah pertubuhan belia juga bersekongkol dengan kumpulan Anti Bahasa Kebangsaan/ Bahasa Melayu misalnya, tidak menjadikan amalan perkhidmatan tertentu diurus secara rasmi dalam Bahasa Melayu, perbahasan rasmi di lantai-lantai kerasmian Negara diluncur dalam bahasa selain Bahasa Kebangsaan. Jelas, bahawa Bahasa Melayu ialah bahasa Kebangsaan, bukan bahasa Malaysia atau selainnya. Namun, sampai bilakah polemik bahasa berlanjut? Apakah sehingga Malaysia dijajah secara maya atau terjajah dek sikap sambil lewa patriotik pemimpin belia?

Seksyen 31 (d) dan (e) disandar kepada Perkara 153, Perkara 160 dan seterusnya orientasi memupuk keperluan bernegara dan berpersatuan. Teropong terhampir ialah akses ilmu Rukunegara iaitu Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-undang, Kesopanan dan Kesusilaan. Dan semua ini merupakan semaian yang telah dimulai sejak era pertama (1957-1977), yang perlu warga belia cakna. Pemimpin belia khasnya tidak boleh berfikir dan mengambil mudah akan erti, pengisian penting dan faham fasih Akta 668. Integriti pergerakan belia melalui jiwa fasih Akta 668 amat penting, mendesak dan berkenegaraan.

Kini, kekurangan besar Malaysia ialah tiada lagi agensi penting yang tuntas membahas perihal kenegaraan melalui model pengisian Perlembagaan Persekutuan. Agensi ini ialah Biro Tatanegara, Jabatan Perdana Menteri. Sudah tiada lagi program raksasa Program Khidmat Sosial Negara, Terkubur juga Program Latihan Khidmat Negara yang semua ini memberi peluang paling minimal kepada warga belia berkenalan perihal Negaranya sendiri.

Apakah dosa pertubuhan belia dan warga belia sehingga dinafikan Agensi dan program ini yang berfalsafah Membina Bangsa Negara? Apakah dosa pergerakan belia dan warganya hingga “melukut di tepi gantang” dalam agenda perkasa Integriti melalui wadah Akta 668?

Semua ini hanyalah tulisan pojok dan lelucon, kiranya dibakul sampahkan. Namun dek zahirnya Akta 668, tulisan ini mengubah dimensi dan pola fikir pemimpin belia dan warga belia yang cinta dan taat kepada Negara, meletak keadilan kepada Rukunegara dan berhasrat memaju Bangsa Negara Malaysia lebih cemerlang dan wibawa.

Dirgahayu Malaysia 63 tahun merdeka, Dirgahayu Hari Malaysia ke 57, Maju Majlis Belia Malaysia 70 tahun.  

Bertarikh : 18 September 2020

About syazwan

Leave a Reply

スーパーコピー財布 スーパーコピー時計 スーパーコピーブランド cheap valentino

Translate »