Home / Artikel / Terima Kasih Saudari Veveonah Mosibin

Terima Kasih Saudari Veveonah Mosibin

Oleh :

Sdr. Azuwan Marjan

Pengerusi Jawatankuasa Belia Borneo

Majlis Belia Malaysia (MBM) / Naib Presiden MBM

Dalam pertemuan Majlis Belia Malaysia (MBM) bersama Perdana Menteri, YAB Tan Sri Haji Muhyiddin Haji Mohd Yassin pada 22 Julai 2020, saya telah menyerahkan memorandum Resolusi Belia Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan kepada Perdana Menteri. Dalam pertemuan itu juga saya berkesempatan menyuarakan pandangan dan kerisauan saya terhadap masalah jalur lebar di kawasan pedalaman Sabah dan telah menyentuh tentang masalah capaian internet di kampung saudari Veveonah Mosibin.

Namun apa yang membuatkan saya berasa kecewa bila mana isu Veveonah ini cuba di politikan dan sangat terkesima dengan jawapan yang telah diberi oleh Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, YB Datuk Zahidi Zainul Abidin ketika menjawab soalan tambahan di Dewan Negara baru-baru ini.

YB Datuk Zahidi tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan dengan menuduh Veveonah berbohong dan mengatakan perbuatan yang dilakukan beliau hanya ingin meraih pengikut di Youtube. Ini adalah satu tindakan yang kurang bijak dan tidak sepatutnya dikeluarkan oleh seorang Timbalan Menteri.

Ahli Parlimen Kudat, YB Datuk Abd Rahim Bakri pula mengeluarkan kenyataan bahawa “Apabila sesuatu publisiti tidak baik dilakukan terhadap kawasan saya, selaku Ahli Parlimen Kudat yang bertanggungjawab saya akan melakukan siasatan”. Seolah-olah pihak kerajaan tidak mengambil endah dan mempedulikan isu jalur lebar di pedalaman Sabah sehinggakan ianya menjadi viral.

Pada pendapat saya sepatutnya Timbalan Menteri dan Ahli Parlimen Kudat perlu memainkan peranan sebagai seorang pemimpin yang matang dan cuba mencari jalan penyelesaian untuk membantu Veveonah. Mereka perlu bersikap terbuka dan membantu memperbaiki kekurangan yang ada di Sabah ketika ini kerana sebagai pemimpin menjadi kewajiban mereka membantu rakyat kerana itulah mandat yang telah berikan.

Saya berharap satu pelan tindakan akan dibuat oleh kementerian yang bertanggungjawab untuk melakukan kajian dan merangka penambahbaikkan capaian jalur lebar di semua kawasan pedalaman khususnya di Sabah dan Sarawak. Ini supaya masyarakat luar bandar mendapat akses maklumat dengan mudah mengenai dasar-dasar kerajaan laksanakan, bagi mengelakkan masyarakat luar bandar keciciran daripada pembangunan sosial dan ekonomi.

Terima kasih saya ucapkan kepada Veveonah kerana berani  tampil ke hadapan dengan idea yang sangat kreatif sehinggakan seluruh rakyat Malaysia termasuk pemimpin memerhatikan realiti kepayahan hidup di luar bandar.

Tahniah saya ucapkan kepada Universiti Malaysia Sabah (UMS) kerana menawarkan biasiswa berasrama penuh kepada Veveonah untuk melanjutkan pengajian atas kecemerlangan keputusan peperiksaan beliau.

Saya berharap agar tidak timbul lagi perkara-perkara seumpama ini yang boleh menyebabkan perpaduan dan kesepakatan masyarakat Sabah ini diganggu gugat.

Bertarikh : 17 September 2020

About syazwan

Leave a Reply

スーパーコピー財布 スーパーコピー時計 スーパーコピーブランド cheap valentino

Translate »