Home / Hebahan / Teks Ucapan YAB Tan Sri Dato’ Hj Muhyiddin Mohd Yassin, Perdana Menteri Sempena Sambutan Hari Belia Negara 2020

Teks Ucapan YAB Tan Sri Dato’ Hj Muhyiddin Mohd Yassin, Perdana Menteri Sempena Sambutan Hari Belia Negara 2020

Bismilahirahmanirrahim.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

1.      Yang Amat Berhormat Datuk Ir. Haji Hasni bin Haji Mohammad

Menteri Besar Johor

2.      Yang Berhormat Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican

Menteri Belia dan Sukan

3.      Yang Berhormat Dato’ Seri Mohamed Azmin bin Ali

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri

4.      Yang Berhormat Datuk Dr. Haji Abd Latiff bin Ahmad

Menteri Pembangunan Luar Bandar

5.      Yang Berbahagia Datuk Seri Mohd Zuki bin Ali

Ketua Setiausaha Negara

6.      Yang Berbahagia Datuk M Noor Azman bin Taib

Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan

7.      Yang Berbahagia Bhg. Datuk Hatipah binti Ibrahim

Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan

8.      Saudara Jufitri bin Joha

Presiden Majlis Belia Malaysia

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Apa khabar semua? Semoga saudara saudari berada dalam keadaan sihat walafiat Alhamdulillah. Kita bersyukur kehadrat Allah SWT kerana dapat bersama-sama meraikan sambutan Hari Belia Negara dengan temanya pada tahun ini, “Dekad Ini Dekad Anda”. Sambutan ini masih dapat diadakan sungguhpun tidak dilaksanakan pada bulan Mei yang menjadi tradisi sambutan saban tahun.

Sebagaimana ucapan saya pada pelancaran Hari Belia Negara pada 15 Mei yang lalu, maka hari ini, 15 Ogos 2020, kita meraikan sambutan Hari Belia Negara Peringkat Kebangsaan di Negeri Johor. Walaupun julung kalinya sambutan Hari Belia Negara dilaksanakan di luar Lembah Klang, namun ini tetap membuktikan komitmen kerajaan kepada golongan belia yang merupakan teras masa depan negara kita.

Saudara dan saudari, para belia yang dikasihi sekelian,

Berdasarkan statistik tahun 2019, golongan belia mewakili 46.8% atau bersamaan 15.25 juta daripada jumlah keseluruhan 32.6 juta penduduk negara kita. Hampir separuh penduduk Malaysia merupakan golongan belia, dan tentunya ini adalah sangat signifikan dan mempengaruhi setiap aspek perancangan pembangunan negara.

Belia juga memainkan peranan penting dalam negara berdepan dengan keadaan susah dan senang. Ketika kita berdepan dengan wabak COVID-19 ini, saya sedar ramai di kalangan petugas baris hadapan yang merupakan golongan belia yang mempunyai sikap mulia untuk mengorbankan masa dan tenaga demi memastikan negara kembali selamat dari ancaman wabak ini. Tahniah saya ucapkan. Saya percaya golongan belia ini menjadi contoh generasi yang bersifat resillient, iaitu mempunyai daya tahan terhadap cabaran yang cukup getir seperti wabak COVID-19 yang sedang kita perangi.

Saya faham bahawa ramai belia yang berdepan dengan masalah seperti kehilangan pekerjaan dan punca pendapatan susulan daripada penularan pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Sehingga bulan Mei 2020, kadar pengangguran di negara ini telah meningkat kepada 5.3% berbanding 3.9% pada bulan Mac 2020.

Justeru itu, saya mengambil serius kebimbangan yang dibangkitkan oleh YB Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican, Menteri Belia dan Sukan berhubung belia resah yakni kelompok belia yang sedang bekerja namun risau akan dibuang kerja dan hilang pekerjaan, belia yang sedang menanti untuk memasuki alam pekerjaan, usahawan belia, dan belia NEET iaitu not in education, employment and training. Secara rasionalnya, belia resah kini berhadapan dengan dilema cabaran ekonomi khususnya untuk mendapatkan pekerjaan.

Justeru dalam usaha menangani isu ini, selain daripada Pakej Rangsangan Ekonomi PRIHATIN, kerajaan turut memperkenalkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang memberikan manfaat kepada golongan belia terutama belia B40 dan M40.

Kerajaan juga telah memperuntukkan sejumlah RM2 bilion merangkumi program latihan dan penempatan serta pelaksanaan kursus jangka pendek. Program ini memberi penekanan kepada peningkatan kemahiran atau upskilling, latihan semula atau reskilling dan kemahiran silang atau cross-skilling dalam pelbagai bidang pekerjaan.

Saya ingin merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih atas inisiatif daripada KBS yang menggunakan pendekatan perantisan menerusi pelaksanaan program Skim Perantisan Nasional  atau SPN bagi menyokong inisiatif PENJANA. Pendekatan KBS ini mampu membantu melonjakkan kebolehpasaran belia dan menyediakan lebih banyak peluang kepada belia mendapatkan pekerjaan

Saya difahamkan program SPN ini juga sebahagian daripada inisiatif kolaborasi antara kementerian yang melibatkan kerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Kerja Raya. SPN mensasarkan penyertaan perantis dari kalangan graduan dan belia lepasan sekolah. Saya melihat kolaborasi antara kementerian ini sebagai satu gerak kerja yang memberi manfaat kepada belia secara keseluruhannya. Terima kasih juga kepada syarikat-syarikat swasta yang mengambil bahagian dalam menjayakan program ini.

Selain SPN, KBS juga sedang melaksanakan gerak kerja untuk membangunkan Single Landing Page dikenali sebagai “myBELIA”. Di bawah myBELIA, belia di luar sana dapat membuat carian maklumat berkaitan pelbagai inisiatif dan insentif yang ditawarkan kerajaan atau bukan kerajaan secara bersepadu merentas agensi pelaksana hanya dengan satu klik sahaja. Dengan hanya satu klik, belia boleh mendapatkan maklumat merangkumi peluang pekerjaan, penciptaan pekerjaan, latihan dan kemahiran, serta dana dan kemudahan.

Sehubungan itu, saya melihat usaha KBS memperkenalkan myBELIA adalah tepat pada masanya. Walaupun keseluruhan sistem ini hanya boleh digunakan pada tahun hadapan, sebagai permulaan ke arah platform one stop center tersebut, pendekatan KBS untuk mengintegrasikan data tersebut di bawah pautan sistem e-belia dan siap sedia dilayari pada hari ini adalah sesuatu yang positif.

Selain itu, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia atau MDEC menganggarkan seramai 28,425 pekerja ekonomi gig telah berdaftar dengan PERKESO sejak 1 Januari 2020. Jumlah tersebut adalah 7% daripada 400,000 individu yang terlibat dalam ekonomi gig di negara ini. Perkembangan ini membawa kepada tercetusnya kerjasama di antara KBS dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia bagi pelancaran program Gig pada 23 Jun 2020 yang lalu yang menyaksikan penyertaan seramai 348 orang belia di dalam myGIG Servis dan 522 belia di dalam myGIG Digital Freelance.

Dengan mengambil kira kepada perkembangan semasa ekonomi gig ini, di bawah inisiatif PENJANA kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM75 juta untuk menyokong pertumbuhan ekonomi gig dan melindungi kebajikan pekerja dalam sektor ini.

Peranan belia yang turut membudayakan hasrat kerajaan untuk rakyat mengamalkan norma baharu mendorong kepada peningkatan penggunaan platform digital dalam perniagaan. Daripada sekadar untuk berkomunikasi, belia dapat memanfaatkannya untuk menjana pendapatan. Ini telah membuka peluang kepada sektor industri yang menjana manfaat jangka pendek seperti industri e-dagang, makanan, pertanian dan perkhidmatan kesihatan.

Saudara dan saudari, para belia yang dikasihi sekelian,

Kerajaan mengiktiraf peranan pertubuhan belia dalam pembangunan belia di pelbagai peringkat. Saya telah bertemu dengan pemimpin MBM baru-baru ini dan perbincangan yang diadakan jelas menampakkan persefahaman yang wujud diantara pucuk pimpinan belia dan kerajaan dalam usaha memperkukuh landasan pembangunan golongan belia di negara kita.

Mengambil kira peranan dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan ini, saya dimaklumkan KBS telahpun menyalurkan dana untuk bantuan pentadbiran MBM yang keseluruhannya berjumlah RM7 juta. Manfaatkanlah peruntukan tersebut dengan sebaik-baiknya.

Dalam kita menyambut Hari Belia Negara 2020 ini, adalah tidak sempurna sambutan kita pada hari ini tanpa penganugerahan Anugerah Perdana Belia Negara (APBN).

Buat julung kalinya juga untuk sambutan Hari Belia Negara pada kali ini, kita akan menyaksikan penerima Anugerah Wira Tidak Didendang atau Unsung Heroes. Kategori ini diwujudkan sebagai menghargai sumbangan mereka yang menjadi barisan hadapan sepanjang pandemik COVID-19 ini. Saya dimaklumkan bahawa penganjur  telah menerima sebanyak 357 pencalonan dari seluruh negara.

Tahniah saya ucapkan kepada mereka yang terpilih sebagai penerima anugerah Belia Perdana dan anugerah unsung heroes pada hari ini – pengorbanan anda amatlah kami hargai!.

Akhir kata, saya ucapkan Selamat Hari Belia Negara 2020 kepada semua warga belia di negara ini. Semoga saudara/saudari terus menyerlah sebagai belia yang berdaya saing dan menjadi rakan strategik kepada pembangunan negara.

Ayuh belia! Dekad Ini, Dekad Anda.

DENGAN LAFAZ BISMILLAHIRAHMANIRRAHIM, SAYA DENGAN INI MERASMIKAN SAMBUTAN HARI BELIA NEGARA 2020.

Sekian, Wabillahitaufik Walhidayah Wasalamualaikum warahmatulahi wabarakatuh.

Terima kasih.

About syazwan

Leave a Reply

スーパーコピー財布 スーパーコピー時計 スーパーコピーブランド cheap valentino

Translate »