Home / Artikel / POLITIK LUAR BIASA KEBANGKITAN PEMIMPIN ANAK MUDA

POLITIK LUAR BIASA KEBANGKITAN PEMIMPIN ANAK MUDA

Oleh:

Sdr. Azuwan Marjan

Pengerusi Jawatankuasa Belia Borneo MBM /

Naib Presiden Majlis Belia Malaysia

Hasil daripada dapatan secara kolektif dan analisa bersama berkaitan dengan percaturan politik semasa di Negeri Sabah dewasa ini, saya berpendapat geopolitik di Negeri ini sedang berhadapan dengan ‘Neoklonalisme’ iaitu satu penjajahan kuasa yang lebih teruk daripada ancaman Pandemik Covid-19. Senario ini adalah amat tidak sihat terutamanya kepada ekonomi di negeri ini kerana naratifnya akan mengancam kesejahteraan rakyat dan melonjakkan kadar pengangguran dikalangan belia kesan daripada kemelesetan ekonomi yang banyak berpunca daripada ketidakyakinan dikalangan pelabur-pelabur asing terhadap perkembangan politik di negeri ini yang tidak stabil dan kukuh.

Majlis Belia Malaysia (MBM) sangat terkesan dengan perkembangan politik semasa pada hari ini. MBM tidak terkecuali daripada menerima tempias akibat pergolakan politik yang boleh dikatakan luar biasa dan sukar diramal. Saya selaku Naib Presiden MBM, merasa terpanggil untuk mengupas isu ini memandangkan ianya sangat signifikan kerana melibatkan masa depan generasi belia di negeri ini yang sudah tentu bakal menjadi peneraju kepada kepimpinan negeri dan akan mencorak masa hadapan negara. Saya khuatir ketidakstabilan politik di negeri ini akan menjadi bebanan kepada rakyat khususnya golongan belia.

MBM adalah platform utama bagi saya untuk menyuarakan pandangan dan ulasan mengenai senario politik yang melanda kita pada hari ini. Adalah menjadi kewajaran bagi saya agar pihak kerajaan dan kepimpinan negara dapat menerima pandangan dan mendengar keluhan kami. Pentas politik sudah tentu akan menjadi acuan kepada lambakkan isu-isu semasa kerana saya percaya politik dan kerajaan adalah dua perkara yang saling berkait rapat dan sangat hangat diperkatakan sekarang. Kita menganggap perkara ini penting kerana di MBM itu sendiri dibarisi oleh ramai pemimpin pelapis yang akan menjadi peneraju kepada pemerintahan negara di masa akan datang.

Melihat dari sudut keburukannya memang tidak dapat dinafikan dan adalah amat jelas untuk dinatijahkan. Cerita-cerita kedai kopi semakin panas sehingga menimbulkan perdebatan hangat di antara pro dan kontra menganalisis pemimpin-pemimpin yang bakal berentap pada Pilihan raya Negeri Sabah (PRN) kelak. Kebanyakan anak muda hari ini berpandangan para pemimpin politik di masa ini lebih mudah diterjemahkan kepada sifat dan perbuatan yang rakus untuk mengejar kuasa dan kekayaan diri sendiri tanpa menghiraukan perasaan serta untung rugi nasib rakyat di Sabah khususnya. Rutin harian kita sentiasa disajikan dengan berita-berita politik yang saban hari memenuhi ruang media dan tidak berpenghujung.

Apa yang kita lihat hari ini, rakyat Negeri Sabah dikejutkan dengan senario politik negeri yang tidak menentu dan bercelaru. Situasi sebegini sememangnya amat buruk kepada ekonomi negeri ini. Sebenarnya ramai yang tidak menyangka Dewan Undangan Negeri Sabah dibubarkan dalam masa yang sesingkat ini. Ianya mempamerkan ketidakstabilan politik yang banyak berpunca daripada perebutan kuasa di antara pemimpin-pemimpin parti politik di Negeri Sabah. Rakyat Negeri Sabah menerima kesan yang sangat parah apatah lagi apabila kita masih berperang untuk memerangi Virus Corona yang kini dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). Secara peribadinya saya cukup terkesan dengan perkara ini memandangkan ia melibatkan masa hadapan belia di Negeri Sabah. Sebenarnya PRN Sabah adalah jalan terbaik untuk memulangkan semula mandat kepada rakyat bagi memilih kerajaan baharu yang lebih kukuh dan stabil. Namun apabila kita meninjau kepada situasi semasa sudah tentu ianya tidak relevan atas beberapa faktor kesihatan dan pembaziran.

Anak muda harus menilai sebaik-baiknya parti politik yang bersih, stabil dan kukuh. Kerana ianya sangat penting bagi menjamin kesejahteraan rakyat Sabah di masa akan datang. Namun dalam masa yang sama MBM mengharapkan para pemilih wajib mematuhi Standard Operation Procedure (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan sedia ada. Harapan kita juga agar kerajaan yang dipilih adalah kerajaan yang benar-benar mampu menjaga kebajikan rakyat dan mampu membawa pembangunan di Negeri Sabah serta konsisten dalam mempertahankan hak-hak di Negeri Sabah seperti yang termaktub di dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Sesiapapun yang berkuasa pada PRN Sabah ini bakal berhadapan dengan cabaran besar dalam memerintah negeri ini kelak. Antara cabaran yang dihadapi termasuk dari segi ekonomi, sosial dan kesihatan. Kerajaan Negeri yang akan dibentuk nanti perlu mempunyai Blue Print yang lengkap berkenaan Pelan Pembangunan Sabah dalam menentukan halatuju dan masa hadapan negeri dibawah bayu ini.

Selain itu, Kerajaan Negeri Sabah yang bakal dibentuk nanti perlu mengadakan polisi-polisi baharu untuk jangka masa pendek dan jangka masa panjang yang lebih komprehensif dalam menjana ekonomi Sabah yang lebih baik agar rakyat mendapat manfaat secara langsung.

Harapan saya sebagai pemimpin belia, mana-mana parti politik yang akan bertanding pada PRN Sabah mahupun PRU15 yang akan datang, wajar mengetengahkan calon-calon baru terutama sekali dikalangan pemimpin anak muda yang berpotensi, berwibawa dan berintegriti demi kestabilan politik, kemajuan, kesejahteraan rakyat dan pembangunan ekonomi Sabah yang lebih kukuh.

Bertarikh : 11 Ogos 2020

About syazwan

Leave a Reply

スーパーコピー財布 スーパーコピー時計 スーパーコピーブランド cheap valentino

Translate »