Home / Artikel / MBM AGEN PEMBASMI KEMISKINAN

MBM AGEN PEMBASMI KEMISKINAN

Oleh:

Muhammad Sherhan Nizam Abdul Aziz

Naib Presiden

Majlis Belia Malaysia

Berbicara berkaitan kemiskinan, ia sangat dekat dihati saya. Pengalaman lapan tahun sebagai Pentadbir Mukim @ Penghulu di Daerah Hulu Selangor, dua tahun sebagai Pengurus Besar Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) dan dua tahun sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Manusia, Gejala Sosial dan Dadah, Majlis Belia Malaysia (MBM) banyak memberi pengalaman tentang ilmu pengurusan pembasmian kemiskinan diperingkat akar umbi. 

Tahun lalu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendakwa situasi kemiskinan di Malaysia jauh lebih buruk daripada yang digambarkan oleh kerajaan. Dalam satu laporan yang didedahkan, Pelapor Khas Kemiskinan dan Hak Asasi Manusia PBB, Philip Alston menyifatkan kadar kemiskinan negara 0.4 peratus pada 2016 adalah tidak realistik kerana meletakkan penanda aras yang rendah.

Menguatkan lagi laporan berkenaan apabila sebuah lagi laporan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan kadar kemiskinan adalah 5.6 peratus (405, 441 isi rumah) bagi tahun 2019 yang diukur berdasarkan metodologi PGK 2005. Sekiranya metodologi PGK 2019 digunakan untuk mengukur kadar kemiskinan pada tahun 2016, peratusannya adalah 7.6 peratus (525, 743 isi rumah).

Melihat kepada situasi ini, MBM merasa terpanggil untuk mengenengahkan isu ini sebagai salah satu masalah utama di dalam pembangunan negara. MBM melihat perkembangan pendapatan isi rumah berkembang secara perlahan menyebabkan kuasa beli rakyat menurun. Dalam masa yang sama, harga barang keperluan asas turut semakin meningkat.

Ekonomi global turut bergoncang disebabkan oleh pandemik Covid-19. Ia memberi impak besar kepada pendapatan rakyat negara ini terutama golongan peniaga yang bergantung pada pendapatan harian. Selain itu, kadar pengangguran juga meningkat atas sebab penutupan operasi syarikat serta penstrukturan semula kakitangan dalam mengurangkan kos operasi.

Dalam situasi Pandemik COVID-19 ini, MBM tidak terkecuali dalam mengambil peranan dalam menyalurkan beberapa siri bantuan yang digerakkan melalui Relawan MBM dengan kerjasama Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang prihatin di Malaysia seperti Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK), MyFundAction, Muslim Volunteer Malaysia (MVM), NGOhub dan lain-lain. Program ini merupakan sebuah program bantuan ‘one-off’ berbentuk Bakul Makanan yang diedarkan kepada golongan sasaran seperti asnaf, miskin bandar, ibu tunggal, golongan OKU, gelandangan dan mereka yang terkesan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Satu realiti yang harus diterima ramai, walaupun langkah membasmi kemiskinan telah diusahakan semenjak Dasar Ekonomi Baru ditubuhkan tahun 1970, namun hari ini setelah 50 tahun, masih terdapat rakyat yang keciciran, bahkan tidak mempunyai rumah untuk didiami. Sukar untuk kita terima hakikat ini kerana struktur yang dilihat tersusun dalam organisasi masyarakat di bandar mahupun di kampung seolah-olah terdapat kelompongan yang membuatkan golongan miskin ini tercicir dan terlepas pandang. Realitinya, memang masih ramai lagi yang miskin dan ini dapat di lihat setelah penyelarasan PGK 2019 dilakukan.

Dalam situasi ini MBM sangat menitik beratkan tentang pembasmian kemiskinan terutama kepada belia-belia yang terkesan dengan pandemik ini dan MBM menawarkan satu program yang diberi nama Program Kemahiran Insaniah (PROKENS). Program ini adalah kerjasama dari Kementerian Belia dan Sukan Malaysia dan HSBC Bank Malaysia Berhad yang merupakan sebuah siri latihan kemahiran kerjaya bagi membantu belia yang terjejas akibat pandemik COVID-19. Latihan ini digerakkan bagi memberi peluang pekerjaan kepada anak muda yang kehilangan pekerjaan dan masih belum mendapat pekerjaan yang akan digerakkan mengikut zon di seluruh Malaysia. Program ini meliputi kemahiran insaniah (soft skill) penulisan resume, panduan menghadapi temuduga, bimbingan kerjaya, kemahiran ushawan digital dan banyak lagi. Selain itu, modul program termasuklah kemahiran digital ekonomi yang merangkumi pengkodan, perniagaan dalam talian serta pemasaran digital sekaligus dapat mencipta peluang menjana pendapatan secara 100 peratus digital.

MBM melihat dalam membasmi kemiskinan, ia bukan sahaja membasmi kemiskinan material atau harta semata mata. Ianya juga meliputi pembasmian kemiskinan dalam konteks yang lebih luas iaitu membasmi kemiskinan ilmu, membasmi kemiskinan budaya dan membasmi kemiskinan adab. Kepentingan ilmu perlu dititikberatkan untuk meneruskan kesinambungan kecemerlangan generasi muda yang merupakan pemimpin pelapis masa hadapan. Melalui ilmu yang baik juga akan membentuk keperibadian yang baik melalui adab dan budaya.

Disamping itu, MBM akan terus memainkan peranannya dalam membantu kerajaan dan agensi berkaitan bagi menyebarkan maklumat bantuan kerajaan, inisiatif untuk membantu belia meningkatkan ekonomi diri dan negara. MBM juga terus membawa suara belia yg terkesan dari COVID-19 ke peringkat kementerian.

Dalam situasi ini, MBM bersedia menawarkan diri sebagai Agen Pembasmi Kemiskinan (APK) untuk membantu kerajaan dengan menggunakan sepenuhnya kekuatan MBM sendiri. MBM yang mempunyai rangkaian 40 buah badan gabungan belia diperingkat Kebangsaan dan 104 Majlis Belia Daerah di peringkat akar umbi di seluruh negara mampu untuk digerakkan dalam membantu kerajaan untuk membasmi kemiskinan di Malaysia. Antara cadangan peranan yang boleh digerakkan oleh Agen Pembasmi Kemiskinan ialah, mereka boleh menyalurkan maklumat atau sebarang informasi kepada pihak berkuasa berkaitan kes-kes keciciran, terlepas pandang dan  sebagai pemudah cara dalam urusan-urusan permohonan bantuan kerajaan dan sebagainya.

MBM sentiasa peka dan ambil berat tentang perkara berkaitan isu kemiskinan ini kerana kelompok belia merupakan kelompok terbesar negara yang dianggarkan merangkumi lebih daripada 44% populasi penduduk Malaysia.

Bertarikh  : 11 Ogos 2020

About syazwan

Leave a Reply

スーパーコピー財布 スーパーコピー時計 スーパーコピーブランド cheap valentino

Translate »