Home / Artikel / HIDUP SEDERHANA JAUHI RASUAH

HIDUP SEDERHANA JAUHI RASUAH

Oleh:

Jufitri bin Joha

Presiden

Majlis Belia Malaysia

Tulisan sempena pelantikan sebagai Ahli Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)

Isu rasuah memang dekat dengan hati saya. Kebanyakan jenayah di Malaysia tidak dapat diselesaikan secara berkesan adalah disebabkan salah satunya oleh rasuah.

Saya juga pernah berasa gerun apabila terdapat kajian yang mendedahkan bahawa ada segelintir mahasiswa yang berkesanggupan untuk menerima rasuah jika mempunyai kuasa dan peluang. Ini sesuatu yang tidak boleh diterima kerana mereka berada di menara gading yang sinonim dengan ilmu, nilai dan hikmah.

Bertitik tolak daripada sini, saya berazam untuk terus tekad dan tekal melawan rasuah dan mendidik generasi muda untuk hidup secara berintegriti dan bermaruah. Rasuah merupakan sebahagian gejala sosial yang amat jijik dan jika tidak tegas ditangani dalam kalangan generasi muda maka ia akan terus membarah dan merosakkan Negara. Ini turut dipertegaskan oleh Profesor Emeritus Khoo Kay Kim di kata-kata pendahuluan buku ‘Corruption’ is My Name and Destruction is My Game (2010) tulisan Don Patrick bahawa generasi muda harus dididik dengan kebaikan integriti dan dosa rasuah. Profesor Hussein Alatas juga dalam makalahnya The Development of Youth (1980) berulang kali mengingatkan kejijikan rasuah.

Kerjasama Majlis Belia Malaysia (MBM) dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terus diikat dengan menjayakan pelbagai agenda pendidikan dan pencegahan rasuah. Bagi memberikan kesan yang lebih kukuh, Bengkel TOT Pencegahan Rasuah telah dianjurkan bersama bagi melatih 40 pemimpin belia sebagai catalyst dalam kalangan generasi muda dan masyarakat. MBM juga pernah menganggotai Jawatankuasa Nasional Mengenai Pembiayaan Politik (JKNMPP) bagi menangani derma politik. Hasilnya lahirlah cadangan Akta Derma Politik bagi meregulasi derma politik namun sayangnya masih belum dibentangkan di Parlimen sehingga kini.

Tidak cukup dengan itu, MBM mendokong agenda Ikrar Bebas Rasuah (IBR). Seminggu selepas mengambil alih Pejabat MBM pada Oktober 2018, saya dan teman-teman Exco terus mengambil IBR dan menandatanganinya sebagai iltizam dan komitmen melawan rasuah di dalam gerakan belia.

Bukan sekadar beretorik dengan ikrar, yang penting adalah benar-benar melawan sebarang bentuk rasuah dan penyalahgunaan dalam pentadbiran gerakan belia. Ini merupakan cabaran dan agenda utama yang memerlukan ketahanan yang kuat dan mantap. Badan gabungan MBM juga digesa mengambil sikap dan tindakan serupa.

MBM turut mendokong sambutan Hari Anti Rasuah Antarabangsa (HARA) anjuran SPRM hampir saban tahun di peringkat nasional mahupun di peringkat negeri melalui majlis-majlis belia negeri. Turut didokong ialah Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023.

MBM juga membina hubungan dan kerjasama bersama beberapa lagi agensi dan pertubuhan masyarakat sivil (CSO) seperti Institut Integriti Malaysia (IIM), Transparency International (TI) Malaysia, Yayasan Anti Rasuah Malaysia (YARM) dan Malaysia Corruption Watch (MCW).

Keprihatinan MBM juga adalah tertumpu kepada sumbangan untuk meningkatkan skor Malaysia di Indeks Persepsi Rasuah (CPI) agar Malaysia benar-benar boleh menjadi teladan dunia sebagai negara bebas rasuah dan diharap belia dan rakyat Malaysia boleh hidup secara berintegriti dan bermaruah selaras sebagai karakter bangsa maju.

Apa yang boleh dipesan khususnya kepada generasi muda adalah menanamkan nilai-nilai hidup secara sederhana. Tidak meletakkan nilai dan harga diri kepada ukuran fizikal dan materialisme semata-mata tetapi ianya terletak hakikatnya kepada ukuran idealisme, ilmu dan kecantikan sosial dalaman. Apa yang perlu diperbetulkan di sini ialah pandangan hidup seseorang terhadap nilai sebenar kehidupan. Ini memerlukan ilmu, pendidikan, kesedaran dan bimbingan daripada guru yang mursyid.

Hidup dan berbelanja ikut kemampuan dan bukannya untuk riak dengan membeli melebihi kemampuan untuk menayangkan kemegahan kebendaan yang bersifat sementara.

Amalkan hidup berasa berTuhan, simple dan minimalist, bersyukur dengan apa yang ada dan jangan ditangisi benda yang tidak mampu digapai, kelak hidup lebih tenang dan lapang. Apa yang mahu dicapai dalam hidup adalah kebahagian di dunia dan akhirat.

Buat Kerajaan, terus komited perangi rasuah bersungguh-sungguh; perkasakan Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC) dan Pelan Antirasuah Nasional; segerakan meletakkan SPRM di bawah kuasa Parlimen; berikan kuasa pendakwaan kepada SPRM; dan ramaikan penglibatan belia dalam badan pemantau bebas SPRM termasuk Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR).

#BeliaBebasRasuah!

#TiadaKompromiKepadaRasuah

Bertarikh : 13 Julai 2020

About syazwan

Leave a Reply

スーパーコピー財布 スーパーコピー時計 スーパーコピーブランド cheap valentino

Translate »