Home / Artikel / MEMERHATI DAN MEMANTAU PRK CHINI 2020

MEMERHATI DAN MEMANTAU PRK CHINI 2020

Oleh:

Sdr. Jufitri Joha

Presiden Majlis Belia Malaysia

Ahad lepas 28 Jun 2020, saya berpeluang memerhati dan memantau Pilihanraya Kecil (PRK) DUN Chini bersama dua pimpinan utama Majlis Belia Malaysia (MBM) saudara Sherhan Nizam dan saudara Atiqah Syairah serta pasukan pemantau PRK MBM. MBM sudah pun mempunyai tiga wakil pemantau yang diketuai saudara Izzat Afifi, Naib Presiden MBM di sana sebagaimana kebiasaan yang dilakukan oleh MBM dalam beberapa PRK sebelum ini termasuk Pilihanraya Umum (PRU) ke-14.

Ini merupakan sebahagian peranan dan fungsi MBM menjadi badan pemantau bebas belia membantu Suruhanjaya Pilihanraua (SPR) memantau PRK dan PRU sekaligus merancakkan partisipasi belia dalam ruang demokrasi. Pemantauan yang bebas penting bagi memastikan perjalanan PRK berjalan lancar dan kesemua calon yang bertanding dapat bertanding secara sihat. Selain itu bagi memastikan tiada perlakuan rasuah dan salah guna agensi Kerajaan untuk tujuan berkempen.

Kami sempat menemui wakil calon bebas iaitu Tengku Datuk Zainol Hisham Tengku Hussin dan calon Barisan Nasional (BN) Mohd Sharim Md Zain namun tidak berkesempatan menemui calon bebas kedua yang dikatakan cucu kepada Mat Kilau iaitu saudara Mohd Shukri Mohd Ramli. Dikatakan beliau banyak berkempen menggunakan media sosial.

Kami juga sempat berdiskusi dengan generasi kedua Felda yang berumur sekitar 30 tahun dan banyak mengetahui permasalahan dan kehendak mereka untuk melihat masa depan Chini yang lebih baik. Beliau secara jujur berkongsi permasalahan sekitar perumahan Felda generasi kedua, masalah bekalan air yang terputus-putus dan limpahan peluang-peluang pembangunan seperti mana yang diperolehi jiran mereka Bandar Muadzam Shah. Beliau juga ingin melihat mercu-mercu tanda pembangunan yang baru dengan seiring dengan wakil rakyat baharu yang dipilih. Beliau dan generasi muda mahukan tindakan penyelesaian kepada permasalahan-permasalahan tersebut sementelah lagi ia telah berlaku bertahun-tahun dan ia juga merupakan kawasan bekas Perdana Menteri Malaysia. Terdapat sekitar 56% pengundi muda DUN Chini yang bakal menjadi penentu.

Generasi mudanya yang majoriti mendiami Felda juga harus dibantu dengan pelbagai peluang pekerjaan dan didedahkan dengan dunia luar yang lebih luas agar tidak hanya menghabiskan masa dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah. Mobiliti sosial harus berlaku di sini agar mereka keluar daripada kepompong kebiasaan. Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) sebagai gabungan MBM dengan 8 cawangan mereka di Chini punyai peranan yang besar untuk membimbing mereka.

Saya sering terfikir cara mobiliti sosial harus berlaku dalam kalangan anak muda di sini kerana jika mereka tidak berjaya keluar daripada kepompong keChinian mereka maka mereka akan mengekalkan status quo sehingga ke hujung usia.

Calon BN saudara Sharim dilihat punyai kelebihan kerana beliau merupakan calon muda berbanding dua lagi calon bebas (64 tahun dan 49 tahun) selain beliau merupakan calon parti pemerintah. Jika menang, beliau akan menyumbang kepada peningkatan angka peratusan Adun muda dalam DUN Pahang daripada 24% (10 Adun) kepada 26% (11 Adun) berbanding 42 keseluruhan kerusi DUN. Ia juga menjadikan beliau sebagai satu-satunya Adun muda daripada pihak BN. Keterpilihan beliau mungkin memberikan sedikit harapan baru kepada penduduk Chini khususnya generasi kedua Felda. Rakyat sudah penat dengan janji-janji dan permasalahan yang tidak kunjung selesai, mereka mahu tindakan!. Justeru bakal Adun Chini ada tugasan besar.

Saudara Sharim juga tidak asing dalam pergerakan belia Negara kerana beliau merupakan Naib Presiden Majlis Belia Negeri Pahang dan Pengerusi MBFM Wilayah Kuantan. Ini juga memberikan sedikit kelebihan kepada beliau kerana mempunyai kekuatan akar umbi belia selain sebagai AJK Bahagian UMNO Pekan. Namun begitu ada juga pihak mempertikaikan asal usul beliau dan taraf pendidikan beliau.

Wakil calon bebas yang sempat kami temui juga menyifatkan Tengku Hisham sebagai calon underdog yang mungkin turut boleh memberikan saingan terdekat kepada calon BN. Status sebagi kerabat Diraja Pahang mungkin juga memberikan sedikit kelebihan. Beliau dikatakan semacam tidak juga bebas kerana dikaitkan dengan ahli Parti Bersatu yang pro kepada Tun Mahathir.

Secara umum pasukan pemerhati PRK MBM menyimpulkan beberapa pemerhatian awal yang mungkin bermanfaat untuk dikongsi:

1.) Kempen semacam kemeriahannya hanya berlaku di sebelah pihak sahaja, pertandingan secara kepartian tidak berapa Nampak;

2.) BN bersungguh berkempen mungkin atas dasar kerisauan mereka berkenaan peratus keluar mengundi akan rendah kerana majoriti pengundi di DUN Chini bermukim di luar Felda;

3.) Timbul persoalan sejauh mana penglibatan dan kesedaran belia dalam PRK Chini ini khususnya apabila kawasan Felda begitu dikenali dengan “anak muda” kebiasaannya merantau keluar dari Felda. Jadi apakah belia di kawasan Felda Chini ini punya kesedaran tinggi dalam politik?;

4.) Persoalan yang harus dibangkitkan, apakah PRK Chini ini layak dijadikan kayu ukur untuk mengukur sejauh mana sokongan terhadap Perikatan Nasional? Ini adalah kerana umum mengetahui BN begitu berpengaruh di Pahang khususnya;

5.) Parti Kerajaan kebiasaannya mempunyai kelebihan menggunakan kemudahan agensi Kerajaan untuk berkempen secara langsung mahupun tidak langsung, namun ia masih boleh diperdebatkan kerana ia berlaku kepada kedua-dua blok parti apabila berkuasa. Secara ringkas amalan yang terbaik adalah menghindarkan menggunakan kemudahan agensi Kerajaan untuk memastikan keadilan berkempen. Demikian sedikit pemerhatian kami dan diharapkan pengundi DUN Chini akan membuat pilihan tepat hujung minggu ini. Selamat mengundi!

Bertarikh : 3 Julai 2020

About syazwan

Leave a Reply

スーパーコピー財布 スーパーコピー時計 スーパーコピーブランド cheap valentino

Translate »