Home / Artikel / MEMPERKASA GOLONGAN BELIA INDIA DI MALAYSIA

MEMPERKASA GOLONGAN BELIA INDIA DI MALAYSIA

Syed Osman Mohamed

Penyelaras

Gabungan Belia India Malaysia (UMIY)

merangkap

Exco Majlis Belia Malaysia (MBM)

Majlis Belia Malaysia (MBM) ialah sebuah Pertubuhan Bukan Kerajaan dan bergerak sebagai badan induk yang menyelaraskan pertubuhan belia dengan tujuan untuk menggalakkan kemajuan belia yang seimbang tanpa mengira kaum, bangsa, agama dan etnik di semua bidang ekonomi, sosial, mental, fizikal, akhlak dan politik.

Satu perjumpaan telah diatur bersama Ketua Pegawai Eksekutif Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES), Kementerian Belia dan Sukan Malaysia bagi membincangkan pelbagai isu dan mencari fokus utama untuk mengubah dan memperjuangkan nasib dan isu belia India di negara ini berdasarkan kajian dan sokongan penuh IYRES.

Melalui kajian emperikal maka MBM dan pemimpin belia India berupaya untuk mengenalpasti isu-isu sebenar belia India di akar umbi. Dengan mengetahui isu sebenar di akar umbi maka ia memudahkan untuk diperjuangkan dan diangkat kepada kepimpinan tertinggi Negara khususnya Parlimen, Kementerian Belia dan Sukan dan Pejabat Perdana Menteri. Ia memerlukan usaha advokasi berterusan bagi memastikan pihak atasan mendengar, menghayati dan menangani dengan berkesan. Isu-isu berkaitan gejala sosial, pekerjaan, pendidikan dan jati diri mampu ditangani secara berkesan melalui strategi kajian, advokasi, pelan tindakan dan dasar mini berkaitan pembangunan belia India.

Pemimpin belia India harus tampil lebih smart bukan sekadar hanya menganjurkan aktiviti dan program kebajikan tetapi juga lantang memperjuangkan isu-isu belia India di persada nasional.

Gabungan Belia India Malaysia (UMIY) terdiri daripada empat pertubuhan belia India utama di bawah gabungan MBM iaitu Majlis Kelab Bell Belia Tamil (MKBBT), Majlis Belia India Malaysia (MIYC), Majlis Belia Hindu (HYO) dan Persatuan Belia Sikh Malaysia.

Gabungan ini digerakkan oleh Pergerakan Belia India Muslim Malaysia (GEPIMA) sebagai penyelaras utama dalam memastikan agenda memperkasakan belia India tidak ketinggalan dalam menuju arus perdana pembangunan belia di samping memastikan semua pertubuhan belia utama ini terus padu bersatu dalam memperjuangkan isu belia India sehingga ke peringkat atas.

Semenjak kepimpinan Sdr. Jufitri Joha mengambil alih kepimpinan MBM, beliau banyak mempromosikan agenda insklusif di mana MBM memperjuangkan isu dan nasib belia pelbagai kaum termasuk di Sabah dan Sarawak. Isu belia India juga tidak terkecuali di mana MBM telah memperkukuhkan peranan dan fungsi Gabungan Belia India Malaysia atau United Malaysian Indian Youth (UMIY) sejak awal. MBM juga memperkasa semula Persatuan Belia Sikh Malaysia dan menjadikan mereka aktif semula bersama MBM. MBM juga mendokong pelbagai program yang dijalankan oleh UMIY termasuk penganjuran Pesta Ponggal dan menghadiri mesyuarat agung mereka. MBM juga turut menyantuni belia-belia India yang di luar lingkungan UMIY.

Soal melahirkan pemimpin belia India yang berkualiti juga wajar diberikan perhatian oleh MBM dan UMIY. Satu modul kepimpinan belia India wajar difikirkan bagi melahirkan pemimpin belia India Malaysia bertaraf antarabangsa. Belia India Malaysia pernah melahirkan Kishva Ambigapathy sebagai Presiden Majlis Belia Komanwel (2015-2017) pada usia 25 tahun dan MBM mahu melihat ramai yang berkredibiliti tampil memimpin.

MBM juga berharap belia India terus bersatu membawa suara belia sambil mengharapkan lebih ramai belia India tampil menyertai gerakan belia. MBM amat terbuka membuka ruang-ruang seluas-luasnya untuk belia India memanfaatkan platform penting belia ini,

MBM sentiasa komited dalam memperjuangkan suara belia tanpa mengira kerencaman perbezaan demi mencapai pembangunan belia di Malaysia. MBM adalah untuk semua!

Bertarikh : 1 Julai 2020

About syazwan

Leave a Reply

スーパーコピー財布 スーパーコピー時計 スーパーコピーブランド cheap valentino

Translate »