Home / Kenyataan Akhbar / NORMA BAHARU AIDILFITRI : SEMARAK SYAWAL PEMBAZIRAN TERKAWAL

NORMA BAHARU AIDILFITRI : SEMARAK SYAWAL PEMBAZIRAN TERKAWAL

Umat Islam di Malaysia akan menyambut hari raya Aidilfitri dalam suasana yang cukup berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya.    Pandemik Covid19 menuntut pengamalan norma baharu dalam kehidupan seharian kita.  Tiada lagi pergerakan pulang ke kampung merentasi negeri, ziarah menziarahi rakan taulan, bersalam salaman sesama jiran tetangga, majlis rumah terbuka pemimpin bersama rakyat serta berkumpul mesra sesama adik beradik dan sanak saudara jauh.  Malah, kita perlu mengamalkan penjarakan sosial, memakai penutup hidung dan mulut jika tidak sihat dan senantiasa mencuci tangan apabila bersentuhan.

Namun, Majlis Belia Malaysia (MBM) berpandangan amalan norma baharu tersebut tidak seharusnya melunturkan semangat dan mengurangkan semaraknya hari raya.  Kemeriahan syawal harus bermula dengan diri dan keluarga sendiri.  Mulakan dengan bersama keluarga menikmati juadah pagi yang disediakan ibu/isteri. Juadah itu juga boleh dihantar kepada jiran di sebelah dan di depan rumah.  Pagi raya pertama pastinya bakal menggamit memori sepanjang hayat apabila ayah atau anak lelaki mengimamkan solat sunat aidilfitri seterusnya memanjat kerusi (naik mimbar) untuk membacakan khutbah. Juga kesayuan memohon maaf suami isteri dan anak-anak ketika mengimbau salah dan silap sepanjang bersama, tanpa gangguan kerana tiada tetamu datang ke rumah di pagi raya; pastinya mencuit hati bila dikenang kembali di kemudian hari.  Hubungilah keluarga di kampung yang jauh tidak senegeri dengan kita.  Gunakan masa yang terluang ini memohon maaf, berceloteh tentang juadah pagi raya dan mengambil berat bertanya khabar. Kemudian, jika ada keluarga terdekat yang senegeri, kunjungilah mereka membawa juadah raya hasil air tangan sendiri.  Bagi sahabat dan jiran pula, gunakan media sosial untuk menyampaikan ucapan selamat hari raya; tanpa mengira walau berbeza agama dan bangsa tetap boleh saling berbalas ucapan.

Pengamalan norma baharu ini juga dapat mengelakkan banyak pembaziran daripada berlaku.  Pada kebiasaannya banyak perbelanjaan perlu dibuat bagi memenuhi keperluan tetamu yang dijemput dan tidak dijangka hadir.  Tempahan kuih raya berbalang-balang dapat dikurangkan hanya cukup untuk keluarga dan jiran terdekat. Perhiasan hari raya juga tidak perlu berlebihan, cukup sekadar menjaga kebersihan dan keceriaan rumah.  Pembelian baju raya mungkin untuk hari raya pertama sahaja, atau boleh saja memakai baju  bersih dan kemas yang masih banyak tersimpan di dalam almari.  Aktiviti kunjung mengunjung yang terhad juga memberi penjimatan kepada kos petrol, apatah lagi harga petrol sekarang sudah murah.  Mungkin juga sudah tiba masanya anak-anak dididik tentang keutamaan mengenali keluarga terdekat dan memahami tujuan ziarah menziarahi; bukan sekadar mengumpul duit raya.

Sambutan Aidilfitri pada tahun ini menuntut sedikit pengorbanan daripada seluruh rakyat Malaysia dalam mengamalkan norma baharu ini demi memastikan keselamatan diri dan keluarga kita dalam usaha memutuskan rantaian Covid19.  Namun, ia tidak sekali-kali merencatkan kemeriahan sambutan hari raya pada kali ini.  Semoga kita semua sentiasa berada dalam  keadaan sihat dan selamat hendaknya.

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI

 MAAF ZAHIR DAN BATIN

AHMAD SHAH MOHAMAD SALLEH

AHLI JAWATANKUASA KERJA

MAJLIS BELIA MALAYSIA

Bertarikh :  22 Mei 2020

About syazwan

Leave a Reply

スーパーコピー財布 スーパーコピー時計 スーパーコピーブランド cheap valentino

Translate »