Home / Akhbar / Hari Belia Negara 2020: Dekad ini dekad anda

Hari Belia Negara 2020: Dekad ini dekad anda

Oleh Jufitri Joha

Hari Belia Negara (HBN) yang disambut pada 15 Mei setiap tahun adalah manifestasi pengiktirafan kerajaan kepada para belia di seluruh negara. Bukan menjadi persoalan sama ada kecil atau besar sambutannya namun, apa yang penting adalah ia memberikan simbol keprihatinan dan pengiktirafan kerajaan kepada usaha berterusan pembangunan belia yang digerakkan oleh semua pemegang taruh belia.

Kita semua sedar, pembangunan belia tidak dapat diukur dengan mudah. Di sekolah, kita punya penilaian atau tugasan mengikut kurikulum manakala bidang sukan diukur dengan kutipan mata dan pingat. Namun, pembangunan belia adalah amat subjektif tetapi masih terdapat mekanisme pengukuran hasil pembangunan belia melalui Indeks Belia Malaysia (MBM) yang mengukur tahap kesejahteraan belia Malaysia melalui 12 domain.

Tahun ini, HBN disambut buat kali ke-52. Sejak diadakan buat kali pertama pada tahun 1968, MBM bersama-sama Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS) tidak pernah gagal dalam meraikannya dalam suasana yang cukup meriah sekali dengan himpunan raksasa dan pelbagai pengisian bermanfaat.

Menyingkap sejarah pada tahun-tahun awal sambutannya, HBN diraikan dengan program-program berbentuk perkhemahan, persembahan kebudayaan, berkebun dan sukan. Selain itu, terdapat juga forum bagi rancangan televisyen yang dinamakan “Belia Bergerak Maju” hasil kerjasama dengan pihak Radio Televisyen Malaysia (RTM). Manakala acara Himpunan Belia adalah acara paling utama yang seolah-olah menjadi acara tradisi wajib diadakan setiap tahun bagi mengumpulkan belia dari seluruh pertubuhan belia seluruh negara. Saat ini, keghairahan belia berada di kemuncaknya apabila sering ditawarkan hadiah, berita-berita manis dan pengumuman-pengumuman besar oleh pemimpin utama negara.

MBM kendali sambutan

Buat MBM, sambutan HBN 1971 mempunyai sejarahnya tersendiri. Tahun tersebut buat pertama kalinya sambutan HBN dikendalikan sepenuhnya oleh pihak MBM. Ketika itu, MBM merasakan sudah tiba masanya sambutan HBN dikendalikan oleh golongan belia kerana ianya melambangkan identititi belia sendiri dan bersesuaian dengan slogan “Daripada Belia, Oleh Belia dan Untuk Belia”. Matlamat utama perayaan tersebut adalah bagi memberi kesedaran akan peranan dan tanggungjawab warga belia yang bertambah besar serta mewujudkan konsep berdikari yang lebih luas dan praktikal dalam kalangan belia.

“Belia Bertindak Terus Untuk Keadilan” adalah tema sambutan Perayaan Minggu Belia untuk tahun 1974. Tema tersebut menjadi asas kepada slogan utama MBM sehingga hari ini iaitu “Belia Bertindak Untuk Kebenaran dan Keadilan”. Begitulah kuatnya pengaruh HBN kepada MBM dan pertubuhan belia di seluruh tanah air. HBN merupakan simbol kekuatan belia sejajar dengan pengiktirafan Tokoh Belia Negara dan Anugerah Perdana Pertubuhan Belia yang diberikan pada sambutan berkenaan kepada pemimpin belia yang banyak menabur bakti dan keringat untuk belia dan pergerakan belia yang menyumbang impak yang besar dan signifikan dalam masyarakat.

HBN perluas konsep sambutan

Dalam dekad ini, HBN banyak menumpukan kepada aspek-aspek yang lebih luas. Menyedari akan pengaruh dan kesan golongan belia terhadap struktur ekonomi dan politik negara, HBN disambut dengan menekankan konsep kenegaraan, patriotisme, pembangunan ekonomi belia, penghakupayaan wanita, pengantarabangsaan belia, industri 4.0 dan banyak lagi. Konsep sebegini berjaya memperlihatkan perkembangan kematangan belia di Malaysia yang perlu mempunyai semangat daya saing supaya tidak terus ketinggalan dalam arus pembangunan global.

Namun, Hari Belia Negara pada tahun ini bakal mencatatkan sejarahnya yang tersendiri. Bukan sahaja Malaysia, bahkan seluruh dunia digoncangkan dengan masalah penularan wabak Covid-19. Keadaan ini mencetuskan sedikit keadaan panik rakyat Malaysia kerana tiada apa yang boleh dilakukan selain duduk di rumah. Menariknya, situasi ini telah mencetuskan sebuah norma baharu masyarakat seperti yang disebut oleh Perdana Menteri, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sambutan dalam talian

HBN 2020 tidak dapat disambut pada bulan Mei seperti tahun-tahun sebelum ini. Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican akan memberi perutusan khas secara dalam talian sempena HBN tahun ini. Perutusan bersejarah ini pastinya ditunggu-tunggu oleh golongan belia negara ini terutama yang terlibat secara langsung dengan organisasi dan pergerakan belia di setiap peringkat. Sambutan yang lebih baik untuk HBN telah pun dicadangkan pada 12 Ogos bersempena Hari Belia Antarabangsa namun ia bergantung kepada keadaan semasa wabak COVID-19

Memacu pembangunan negara

HBN 2020 bertemakan ‘Dekad Ini Dekad Anda’ cuba menggambarkan generasi muda hari khususnya Generasi Z yang lahir selepas 1995 merupakan pemacu utama pembangunan Negara untuk 10 tahun mendatang menjelang 2030 selaras dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Walaupun dengan bentuk sambutan yang berbeza, ianya tidak boleh menjadi alasan kepada kita untuk tidak menjiwai hari bersejarah ini. Hari ini hari yang penuh dengan catatan sejarahnya.

Perjuangan dalam lapangan belia merupakan satu tanggungjawab yang tidak pernah selesai. Pemain-pemainnya bertukar ganti. Suasananya berbeza saban hari. Cabarannya tidak pernah berhenti sama sekali. Namun hari ini wajar kita nikmati kerana setiap titis pengorbanan insan-insan dalam arena ini sesungguhnya tiada galang ganti.

Selamat menyambut Hari Belia Negara 2020!

–BERNAMA

Jufitri Joha ialah Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)

Artikel penuh: https://www.bernama.com/bm/tintaminda/news.php?id=1842577

About syazwan

Leave a Reply

スーパーコピー財布 スーパーコピー時計 スーパーコピーブランド cheap valentino

Translate »