Home / Kenyataan Akhbar / GLC PERLU TERUS DITADBIR OLEH PROFESIONAL DAN TEKNOKRAT

GLC PERLU TERUS DITADBIR OLEH PROFESIONAL DAN TEKNOKRAT

Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (ACCIN), Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Majlis Tindakan Ekonomi Melayu Bersatu (MTEM), Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) dan Majlis Belia Malaysia (MBM) menzahirkan rasa tidak bersetuju dengan kenyataan Menteri di JPM, Dato’ Takiyuddin Hassan bahawa kerajaan Perikatan Nasional bercadang untuk melantik ahli-ahli Parlimen (AP) yang tidak memegang jawatan Menteri atau Timbalan Menteri menjadi Pengerusi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) serta agensi-agensi kerajaan. Apatah lagi sekiranya yang dilantik ialah mereka yang tidak mempunyai pengalaman dan kelayakan.

Dr. Mohd Zuhdi Marzuki, pemimpin Jawatankuasa PAS Pusat pula menegaskan bahawa adalah munasabah untuk meletakkan AP yang dipilih oleh rakyat untuk menerajui GLC kerana mereka boleh memantau GLC tersebut bagi pihak rakyat.

Kedua-dua kenyataan ini jauh tersasar. Jawatan utama di GLC tidak boleh dijadikan habuan politik! Dan kerja Pengerusi bukanlah menjadi pemantau tetapi pemangkin prestasi GLC tersebut. Untuk menjadi pemangkin positif, orang yang dipilih perlu mempunyai kredibiliti, pengalaman, kelayakan, sifat amanah dan rekod cemerlang dalam bidang berkaitan.

Menjadi seorang ahli parlimen tidak bermaksud mereka mempunyai kelayakan profesional untuk menjadi teraju sebuah GLC atau agensi kerajaan. Kami menegaskan bahawa pemimpin politik tidak wajar dilantik mempengerusikan entiti perniagaan seperti GLC.

Ahli politik lebih baik memegang jawatan politik dan tinggalkan jawatan korporat kepada golongan profesional dan teknokrat. Prinsip utama politics and business do not mix diketahui umum dan menjadi SOP dalam mana-mana negara demokrasi yang matang. Sejarah telah membuktikan apabila politik dan perniagaan dicampur-adukkan, perniagaan meluru ke arah kehancuran.

Sejarah pengurusan GLC dan badan berkanun di Malaysia kini adalah baik. Para teknokrat dan profesional yang berkaliber dijemput menerajui syarikat-syarikat tersebut. Kita masih ingat rekod cemerlang Tan Sri Abdul Aziz Rahman menerajui MAS menjadi satu Syarikat Penerbangan yang terulung di rantau ini. Begitu juga kisah PETRONAS yang diterajui oleh Tan Sri Azizan dan Tan Sri Hasan Merican dipacu menjadi syarikat Fortune 500. Contoh-contoh lain adalah seperti FELDA, Sime Darby, CIMB, Maybank dan IHH.

Tujuan GLC dan badan berkanun ditubuhkan adalah untuk:

1. Memfokuskan skop perniagaan syarikat bawah pimpinan pengurusan profesional dan berwibawa secara bebas;

2. Membawa syarikat tersebut menjadi bukan sahaja juara dalam negara tetapi serantau bahkan dunia;

3. Menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara dan menyediakan peluang pekerjaan berkualiti tinggi kepada rakyat Malaysia;

4. Memberikan servis berkualiti dunia dalam bidang masing-masing;

5. Menjadi pemangkin positif penyertaan bumiputera dalam perniagaan dan industri.

Semasa pemerintahan terdahulu, banyak AP dilantik menjadi Pengerusi GLC seperti FGV, Tabung Haji, FELCRA, MARA dan lain-lain. Hasilnya GLC-GLC ini mengalami kerugian besar dan terpaksa diselamatkan (bail out) oleh kerajaan. Lebih parah, beberapa pengerusi lantikan dalam kalangan ahli politik ini sedang menghadapi tuduhan pecah amanah dan penyelewengan di mahkamah.

Kerajaan perlu belajar dari pengalaman lalu apabila pemimpin gagal memegang amanah, rakyat hilang keyakinan dan beralih arah. Oleh itu GLC perlu kembali kepada peranan badan amanah orang Melayu dan rakyat Malaysia. GLC perlu diurus oleh mereka yang mampu menjaga kepentingan orang Melayu dan rakyat secara keseluruhan!

Kita perlu sedar bahawa banyak ahli politik yang dilantik tidak mempunyai kelayakan asas dan tidak mengikuti peraturan urustadbir dan ketelusan syarikat. Mereka bahkan tidak faham perbezaan asas antara jawatan eksekutif dan bukan eksekutif!. Siasatan telah membongkar penyalahgunaan kuasa dan rasuah mega yang hampir melumpuhkan syarikat-syarikat tersebut.

Analisa di atas adalah ringkas tetapi memadai untuk memberikan gambaran menyeluruh kesan jika kita tersilap langkah. Oleh itu ACCIN, PEMBELA, MAPIM, MTEM, DPMM dan MBM menyeru agar kerajaan pimpinan YAB Perdana Menteri tidak mempertaruhkan masa depan GLC dan badan berkanun yang menjadi tunggak ekonomi dan pentadbiran Negara dengan meletakkan syarikat-syarikat ini bawah pimpinan mereka yang tidak mempunyai latar belakang dan keupayaan memimpin syarikat-syarikat korporat gergasi ini.

Pada masa sama, kami menegaskan bahawa para profesional dan teknokrat yang dilantik mesti menunjukkan integriti yang tinggi dan memahami bahawa fungsi agensi adalah untuk memberikan perkhidmatan dan sumbangan kepada rakyat bukannya kepada pengurusan semata-mata.

Pemimpin dan Pengerusi GLC yang dilantik bukan hanya perlu kompeten namun harus mampu memainkan peranan pembangunan negara melalui peranan GLC dalam sektor strategik dan masa hadapan. Mereka bukan hanya memastikan keuntungan pada “balance sheet” yang cantik namun mampu membangunkan industri dan rantaian bekalan tempatan terutamanya penyertaan SME Bumiputera. Pendek kata, mereka harus kompeten dan berjiwa bangsa.

Kami menyeru agar segala inisiatif reformasi GLC ke arah tatakelola yang lebih baik dan dinamik terus dilaksanakan demi masa depan negara dan generasi akan datang.

Kerajaan PN hari ini telah memulakan perjalanan dalam rekod yang baik dengan pelantikan Ahli Kabinet yang agak bersih, menangani isu Covid dengan cekap, pakej rancangan Rangsangan PRIHATIN yang baik untuk masyarakat pendapatan rendah dan SME. Jangan pula rekod baik ini dicalarkan dengan pelantikan ahli politik dan mereka yang tidak kompeten dalam mempengerusikan GLC. Kami meletakkan keyakinan bahawa dengan kepimpinan negara bawah YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin akan membawa GLC ke mercu yang lebih tinggi.

Ir Mohd Jamaludin Bin Shamsudin

CEO ACCIN

Tel : 012-3020355

Hj Aminuddin Yahaya

Pengerusi PEMBELA

Tel : 012-2349199

Hj. Mohd Azmi Abdul Hamid

Presiden MAPIM

Tel : 019-4744856

Ahmad Yazid Othman

CEO MTEM

Tel : 019-2755398

Hj. Abdul Halim Hussin

Presiden DPMM

Tel : 016-2022154

Jufitri Joha

Presiden MBM

Tel : 017-3533625

Kuala Lumpur

21 April 2020

Tentang Kami

  • Allied Coodinating Council of Islamic NGOs Malaysia, (ACCIN) ditubuhkan pada 2001 disertai oleh 20 NGO Islam di antaranya yang terbesar di Malaysia. Objektif ACCIN adalah dakwah dan advokasi. ACCIN juga diiktiraf kerajaan sebagai wakil gabungan NGO Islam dalam Jawatankuasa Mempromosi Persefahaman dan Keharmonian Antara Penganut Agama (JKMPKA) yang dilantik oleh kabinet Malaysia bertujuan mempromosikan persefahaman dan keharmonian di antara penganut agama.
  • MAPIM ditubuhkan oleh kepimpinan yang mewakili pertubuhan-pertubuhan Islam yang menyertai Kongres Umat Islam Se-Malaysia. Kongres ini berjaya dilaksanakan pada tahun 2006 di Kompleks Yayasan An Nadhah, Kubang Semang, Pulau Pinang. Tercetus idea penubuhan MAPIM setelah Persidangan Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Islam pada 27-28 Oktober 2007 yang diadakan di Kota Bharu, Kelantan. Penubuhan ini terkandung dalam Resolusi Deklarasi Permuafakatan Serambi Mekah (DPSM). Pada 29 Oktober 2012. MAPIM telah didaftarkan sebagai sebuah pertubuhan dengan nombor pendaftaran: PPM-009-10-29102012. Kini MAPIM adalah rakan perundingan dengan pertubuhan-pertubuhan Islam yang lain untuk mewujudkan persepakatan dalam tindakan mendepani isu-isu Islam, perbincangan berterusan mengenai kaedah dakwah Islam yang berkesan dan perkongsian maklumat dari masa ke semasa.
  • Majlis Tindakan Ekonomi Melayu Bersatu Berhad (MTEM) adalah sebuah pertubuhan naungan yang mewakili lebih dari 50 pertubuhan ekonomi Melayu bukan-kerajaan di peringkat kebangsaan. Platform kebangsaan MTEM adalah yang pertama diwujudkan di Malaysia dan mewakili lebih dari 500,000 perniagaan Melayu.
  • Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) telah ditubuhkan pada 1957 di bawah nama ‘Gabungan Dewan-Dewan Perniagaan Melayu Se Malaya (GDPMM)’ dengan nombor pendaftar “1101 Selangor”. DPMM merupakan badan amanah induk ekonomi Melayu dan berpengaruh bukan sahaja terhadap ahlinya, malah kepada seluruh komuniti perniagaan Melayu. DPMM juga bergerak seiring dengan Dewan Perniagaan lain di dalam Dewan Perniagaan dan Industri Nasional Malaysia (NCCIM) di samping Dewan-Dewan Perniagaan lain di Negara.

Majlis Belia Malaysia (MBM) ialah sebuah Pertubuhan Bukan Kerajaan dan bergerak sebagai badan induk yang menyelaraskan pertubuhan belia dan pelajar di negara ini. Sekarang ini terdapat 40 badan gabungan dan keahlian perseorangan mencecah 1 juta lebih.

About syazwan

Leave a Reply

スーパーコピー財布 スーパーコピー時計 スーパーコピーブランド cheap valentino

Translate »