Home / Kenyataan Akhbar / KENYATAAN MEDIA MBM : 402 SEKOLAH “HOTSPOT” MASALAH DISIPLIN DAN DADAH

KENYATAAN MEDIA MBM : 402 SEKOLAH “HOTSPOT” MASALAH DISIPLIN DAN DADAH

KENYATAAN MEDIA

MAJLIS BELIA MALAYSIA

402 SEKOLAH “HOTSPOT” MASALAH DISIPLIN DAN DADAH

 

Pendedahan mengenai 402 senarai sekolah “hotspot” seluruh Malaysia yang ada masalah disiplin dan dadah sememangnya perlu diberi perhatian dan fokus yang serius. Isu ini juga kini tular di media sosial dan seperti biasa akan ramai “pakar tingkahlaku devian dan dadah” mula tampil memberi pandangan dan cadangan, tidak kurang juga menjatuhkan hukuman kepada pihak-pihak tertentu.

Dari sudut pandang pembangunan belia di kalangan pelajar berumur 15-19 tahun, mereka berdepan dengan pelbagai cabaran dalam persekitaran yang semakin kompetitif. Malah, bibit-bibit cabaran yang telah mula berlaku pada masa kini dijangka akan memberikan cabaran berganda buat mereka pada masa hadapan sekiranya tidak diuruskan dengan sebaik mungkin. Cabaran utama yang mereka hadapi ialah ekonomi, sosial dan teknologi. Oleh itu, pendekatan untuk menangani cabaran berkenaan memerlukan penggubalan polisi yang bersesuaian dengan kehendak dan tuntutan masa kini dan masa hadapan.

Pendedahan berkenaan juga membuktikan bahawa masyarakat kini perlu kembali menghormati institusi pendidikan. Pendekatan “Asset Based Community Development” iaitu menggerakkan kepakaran individu di dalam pembentukan masyarakat sejahtera perlu dihakupayakan. Ancaman sosial yang berlaku di sekeliling kita bukan tanggungjawab pihak penguatkuasa semata-mata tetapi menuntut peranan dan tanggungjawab masyarakat.

Sekolah perlu dilihat tempat yang sejahtera dan bahagia. Masyarakat kena sedar bahawa pendidikan adalah bermula di rumah, bukan di sekolah. Menyerahkan segalanya kepada sekolah bukanlah tindakan yang betul sebaliknya adalah bibit-bibit awal permasalahan yang lebih berat.

Teknologi kini semakin menggila. Teknologi dikatakan akan mengubah cara hidup, cara berfikir dan cara bekerja manusia. Teknologi juga dilihat sebagai peluang dan juga ancaman kepda masyarakat. Maka, perlu banyak inovasi perlu dilakukan seperti inovasi pendidikan dan inovasi sosial.

Dalam hal ini, inovasi sosial perlu diperkasakan dalam mendekati golongan pelajar. Di peringkat pendidikan formal, peranan Guru Bimbingan dan Kaunseling (GBK) di sekolah amatlah diperlukan. GBK perlu di beri ruang sepenuhnya untuk berkarya membentuk warga pelajar yang akademik cemerlang dan sahsiah terpuji.

Pendidikan tidak formal tidak kurang pentingnya. Dalam hal ini, penglibatan badan bukan kerajaan (NGO) seperti Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Federasi Kebangsaan Pekerja Belia (FKPB) amatlah penting. Kedua-dua institusi pembangunan belia ini boleh membantu pelajar apabila mereka berada di luar sistem persekolahan.

MBM sebagai badan induk persatuan belia di Malaysia mempunyai 39 badan gabungan yang mewakili gerakan belia berasaskan agama, bangsa, pelajar, ekonomi dan sosial serta badan beruniform. Pelajar sekolah boleh dilibatkan menerusi kegiatan kepimpinan, kesukarelaan, sukan dan budaya apabila menyertai mana-mana persatuan belia yang berada di dalam kelompok masyarakat di luar pagar sekolah.

Inovasi Sosial lain yang boleh digerakkan ialah berkenaan Pekerja Belia. Kini, sudah diwujudkan Federasi Kebangsaan Pekerja Belia (FKPB) di mana Pekerja Belia berperanan membimbing dan menyokong golongan muda khususnya pelajar sekolah dalam pembangunan peribadi, sosial dan pendidikan. Mereka juga membantu pelajar sekolah mencapai potensi penuh mereka dalam masyarakat. Pekerja Belia akan bekerja dengan orang muda berusia antara seawal umur 11 tahun hingga 25 tahun.

Pekerja Belia akan menilai keperluan anak muda, merancang dan menyampaikan program. Mereka akan berteman dan menyokong golongan muda di samping menjadi mentor, jurulatih atau individu sokongan dalam pelbagai keadaan yang orang muda hadapi.

Sudah tiba masanya, tembok ego yang menghalang hubungan akrab sekolah dan masyarakat dirobohkan dalam usaha kita bersama menjadikan Malaysia yang sejahtera kepada semua khususnya buat generasi masa hadapan yang akan mewarisi apa yang kita tinggalkan.

 

Terima kasih.

 

MOHAMMAD RIZAN HASSAN

Ketua Penerangan

Majlis Belia Malaysia

 

Tarikh     :  18 Ogos 2017

Telefon   :  (013) 7733676

Emel       :  mdrizanhassan@gmail.com                   

 

About faizal shuhaimi

Leave a Reply

スーパーコピー財布 スーパーコピー時計 スーパーコピーブランド cheap valentino

Translate »