Home / Berita / Persidangan Meja Bulat #SolidaritiAleppo

Persidangan Meja Bulat #SolidaritiAleppo

23 Disember Putrajaya – Persidangan meja bulat #SolidaritiAleppo merupakan sebuah program anjuran Gabungan NGO Kemanusiaan Syria (GNKS) dengan kerjasama Majlis Belia Malaysia (MBM) yang telah dilangsungkan pada 22 disember 2016 (Khamis) di Bilik Mesyuarat Aras 4, Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Presint 3, Putrajaya pada 10:30 pagi sehingga 1:30 tengahari. Seramai 60 orang menghadiri persidangan ini dan berikut adalah senarai kehadiran wakil-wakil NGO dan juga media :

 

NGO :

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
Malaysian Life Line for Syria (MLLFS)
MyCare
Syria Care
Muslim Care
Pertubuhan Sinar Damsyik (PERSIDAM)
Imam Response and Relief (IMARET)
Malaysia Humanitarian Aid and Relief (MAHAR)
Yayasan Sanabeel
Penggerak
Munsyeed Malaysia
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
Pertubuhan Kembara Amal (PEKA)
Media :

TV Al-Hijrah
Media JAKIM
Media MBM
Astro Awani

Persidangan dimulakan dengan ucapan alu-aluan pengarah program, Saudara Syahrir Azfar bin Saleh yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif MLLFS merangkap Timbalan Pengerusi GNKS sebelum diserahkan kepada moderator persidangan, Saudara Jufitri bin Joha, Naib Presiden MBM yang turut memberikan kata-kata aluan dan menyambut baik kehadiran wakil-wakil NGO bagi menyatakan solidariti untuk Aleppo dan juga Syria.
Sesi seterusnya diberikan kepada YBhg Dr. Hafidzi Mohd Noor, Pengerusi GNKS yang memberikan pencerahan mengenai objektif persidangan dan juga memberikan panduan perjalanan persidangan kepada wakil-wakil NGO yang hadir. Berikutnya, Saudara Muhammad Qutub yang merupakan aktivis Syria dan juga merupakan pelajar PHD di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) tampil membentangkan dapatan terkini krisis Aleppo secara khususnya dan Syria secara umumnya. Beliau juga turut memberikan beberapa cadangan tindakan proaktif yang wajar diambil oleh penggerak-penggerak NGO di Malaysia dalam memastikan krisis kemanusiaan di Syria menjadi perhatian media dan masyarakat dunia.
Seterusnya persidangan diteruskan dengan mendapatkan pandangan dan juga buah fikiran wakil-wakil NGO untuk dijadikan resolusi persidangan. Antara wakil yang berucap adalah ABIM, Syria Care, Muslim Care, Yayasan Sanabill, Munsyeed Malaysia, PERSIDAM, MyCare, PKPIM dan juga Sdr Ahmad Saparuddin mewakil MBM.
Persidangan diakhiri dengan bacaan resolusi persidangan oleh moderator, Saudara Jufitri Joha dan persetujuan semua NGO untuk menjadi komiti bertindak #SolidaritiAleppo di dalam usaha menggerakkan masyarakat sivil dan mengenengahkan konflik kemanusiaan di Syria termasuk isu sebenar konflik yang terjadi di sana.

 

RESOLUSI PERSIDANGAN MEJA BULAT #SOLIDARITIALEPPO

Tragedi kemanusiaan di Aleppo, Syria adalah indikasi bahawa krisis kemanusiaan di Syria akan terus meruncing. Serangan tentera rejim Bashar Assad untuk merampas semula Aleppo pada beberapa minggu yang lepas telah membunuh lebih daripada 82 orang termasuk 11 wanita dan 18 orang kanak-kanak sehingga Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) telah mengklasifikasikannya sebagai “complete meltdown of humanity”. Bahkan sepertimana yang kita maklum secara amnya, konflik di Syria ini telah mengakibatkan ramai pelarian dari Syria telah menggadaikan nyawa mereka untuk mendapatkan perlindungan di serata dunia termasuk di Malaysia dan beberapa negara Eropah. Jumlah pelarian yang mendapatkan perlindungan di luar Syria seperti yang telah direkodkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) adalah seramai 4.8 Juta orang sementara mereka yang menjadi pelarian di dalam Syria (Internally Displaced Person) adalah seramai 6 juta orang dengan 13.5 juta rakyat Syria memerlukan bantuan kemanusiaan segera.
Justeru, Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Gabungan NGO Kemanusiaan Syria termasuk NGO-NGO Malaysia yang hadir bersama di dalam persidangan meja bulat #SOLIDARITIALEPPO pada 22 Disember 2016 bertempat di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Malaysia, telah bersetuju untuk membentuk KOMITI BERTINDAK #SOLIDARITIALEPPO sebagai simbolik kesatuan hati dan jiwa kemanusiaan dalam menyantuni rakyat Syria yang dizalimi dengan membawa resolusi seperti berikut :

 

  1. Kami mendesak kepimpinan dunia Islam khususnya kerajaan Malaysia untuk memutuskan terus apa jua hubungan diplomatik dengan Rejim Bashar Al-Assad yang memerintah Syria secara kejam dan telah membunuh lebih daripada 470,000 rakyatnya yang tidak berdosa semenjak konflik bermula pada Mac 2011.
  2. Saranan ini adalah sebagai menyahut resolusi yang dikeluarkan oleh Kesatuan Ulama Sedunia yang dipimpin oleh Sheikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi di Konya, Turki pada 5 Ogos 2016 untuk memulau kerajaan Syria dan berdiri menyokong rakyat Syria yang mahukan kebebasan, pembebasan dan keamanan.
  3. Seterusnya, kami menggesa agar hubungan diplomatik antara Malaysia dengan Rusia dan Iran dikaji semula, memandangkan kedua-dua negara ini merupakan sekutu kuat yang menyokong serta membantu Rejim Assad dalam kempen pembunuhan rakyat Syria sejak bermulanya konflik.
  4. Kami menyeru agar duta Rusia serta Iran dipanggil untuk menghadap Kementerian Luar Negeri dan juga Wisma Putra bagi menerangkan pendirian mereka serta isu yang berlaku. Kita mesti menyatakan sikap dan pendirian; bagi membuktikan bahawa kita menjunjung prinsip keadilan dan tanggungjawab dalam memberi perlindungan bagi memelihara keamanan dan keselamatan global. Penyalahgunaan kuasa dan sokongan kepada kezaliman sehingga menyebabkan orang awam terbunuh termasuk kanak-kanak, wanita dan orang tua, tidak langsung mempunyai justifikasi dan tidak boleh diterima sama sekali atas apa alasan sekali pun.
  5. Kami menyeru agar kepimpinan Malaysia khususnya mengecam secara terbuka kezaliman Rejim Assad dan sekutunya sebagai tanda bantahan terhadap pembunuhan beramai-ramai yang berlaku ke atas penduduk Aleppo khusunya dan rakyat Syria secara umumnya.
  6. Kami meminta agar Malaysia membawa bukti-bukti kezaliman Rejim Bashar Assad terhadap rakyatnya termasuk jenayah perang yang telah dilakukan oleh mereka ke muka pengadilan. Sepanjang konflik berlaku terlalu banyak pelanggaran Undang-undang Kemanusiaan Antarabangsa dan juga Hak Asasi Manusia yang telah dilanggar oleh Syria dan sekutu-sekutunya. Penggunaan senjata kimia, keganasan seksual seperti rogol, penahanan penjara tanpa bicara termasuk penyeksaan di dalam penjara yang tidak mampu untuk digambarkan, kepungan sehingga mengakibatkan kebuluran termasuk penggunaan periuk api dan juga sekatan akses kepada sukarelawan bantuan kemanusiaan.
  7. Memandangkan Malaysia berada di dalam Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) berkuat kuasa 1 Ogos 2016, kami juga menggesa agar Kerajaan Malaysia menggunakan pengaruh serta jaringan yang sedia ada bagi menuntut Anggota-Anggota Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan ASEAN, supaya mengambil langkah sewajarnya, sejajar dengan peruntukan termaktub dalam Piagam PBB bagi melindungi dan menghormati hak semua manusia dalam menikmati keamanan dan keselamatan. Hal ini penting, bagi menghentikan pencabulan hak asasi manusia dengan sewenang-wenangnya dan penghinaan yang tidak boleh diterima terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa oleh Rejim Bashar Assad.
  8. Kami menyeru agar Kerajaan Malaysia dapat menyokong inisiatif-inisiatif yang dibuat oleh Pertubuhan-pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO-NGO) Malaysia, dalam membina jaringan kerjasama strategik dengan NGO Antarabangsa khususnya bantuan kemanusiaan yang telah dan akan diusahakan bersama dengan NGO-NGO di Turki, Jordan dan Lubnan untuk membantu rakyat serta pelarian Syria yang terkesan.
  9. Sesungguhnya, kekejaman dan konflik di Syria yang memasuki tahun keenam ini, harus dihentikan bagi mengelak lebih ramai mereka yang tidak berdosa terkorban dan merana, dengan krisis kemanusiaan yang amat dahsyat. Justeru, kami menyeru agar Kerajaan Malaysia memainkan peranan yang lebih besar untuk menyelesaikan konflik kemanusiaan terburuk pada abad ini.

Sekian, terima kasih.

 

About faizal shuhaimi

Leave a Reply

スーパーコピー財布 スーパーコピー時計 スーパーコピーブランド cheap valentino

Translate »