Home / Berita / Program Bengkel Serantau dalam mempromosi hak asasi manusia

Program Bengkel Serantau dalam mempromosi hak asasi manusia

Oleh:

JUFITRI BIN JOHA, Naib Presiden MBM

MUHAMMAD KAMIL BIN YAZID, Ahli Unit Hak Asasi Manusia, Jawatankuasa Tetap Pendidikan MBM

MUHAMMAD LUQMAN BIN AHMAD TARMIZI, Ahli Unit Hak Asasi Manusia, Jawatankuasa Tetap Pendidikan MBM

Pada 30-31 Oktober 2015 yang lalu, seramai 10 orang pelajar undang-undang daripada Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) telah diberi peluang untuk mewakili Majlis Belia Malaysia (MBM) bersama-sama saudara Jufitri Joha Naib Presiden MBM ke program Bengkel Serantau Mengenai Peranan Belia dalam Mempromosi Hak Asasi Manusia anjuran Asean Intergovernmental Commission on Human Rights (AICHR) di Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Antara topik yang telah dibincangkan dan dikupas sepanjang program selama dua hari tersebut ialah ASEAN Community 2015: Moving Towards Unified, Coherent and Resilient ASEAN Community, ASEAN Human Rights Mechanisms: Implementation, Challenges and the Ways Forward, The Role of Youth in the Promotion and Protection of Human Rights in ASEAN, Trafficking in Persons and Human Rights, Business and Human Rights dan Reproductive Health and Human Rights.

AICHR 2Program ini menghimpunkan anak muda daripada rantau ASEAN yang berminat untuk memperjuangkan isu hak asasi manusia ke peringkat yang lebih tinggi. Bahkan ramai daripada kalangan peserta yang sememangnya merupakan aktivis hak asasi di negara masing-masing, samada bersama parti politik mahupun NGO. Kesemua negara-negara ASEAN telah menghantar wakil anak muda masing-masing ke program ini kecuali Brunei.

Sesi pertama program yang bertajuk ASEAN Community 2015: Moving Towards Unified, Coherent and Resilient ASEAN Community, para panelis telah membincangkan ke arah pemerkasaan komuniti ASEAN ke arah penyelesaian isu dan perpaduan. Konsep The Asean Way, iaitu the principle of non-interference yang menjadi asas kepada hubungan antara negara-negara ASEAN telah dibincangkan secara kritis dalam sesi ini. Para panelis telah melahirkan persoalan mengenai kewajaran prinsip ini digunapakai dalam keadaan konflik-konflik kritikal yang berlaku dalam sesebuah negara ASEAN, mulai memberi impak negatif kepada negara ahli yang lain.

Sesi kedua, ASEAN Human Rights Mechanisms: Implementation, Challenges and the Ways Forward pula membincangkan mekanisme hak asasi manusia ASEAN. Dalam sejarah, lima negara yang membentuk ASEAN di dalam Bangkok Declaration, kesemuanya merupakan negara-negara autoritarian, yang mempunyai rekod hak asasi manusia yang tidak baik. Ini menimbulkan persoalan samada negara-negara ASEAN benar-benar komited ke arah perlindungan hak asasi manusia. Dan hingga sekarang, ASEAN masih tidak mempunyai mekanisme khusus dalam melindungi hak asasi manusia sepertimana kawasan-kawasan lain.

Sesi Business and Human Rights pula menampilkan YBhg. Datuk Dr. Khaw Lake Tee, Naib Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) dan Mr.Thomas Thomas, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kepada ASEAN CSR Network. Para panelis telah membangkitkan beberapa isu yang berkaitan, dimana perniagaan mempunyai beberapa impak negatif terhadap situasi hak asasi manusia seperti ketidaksetaraan gender, buruk paksa kalangan kanak-kanak, kondisi tempat kerja yang tidak kondusif, polisi pengambilan pekerja yang mendiskriminasi dan pencerobohan terhadap kebebasan pekerja oleh majikan. Mereka menekankan kepada tanggungjawab korporat syarikat-syarikat perniagaan akan kepentingan terhadap penjagaan hak asasi manusia dalam menjalankan perniagaan.

AICHRDalam sesi Reproductive Health and Human Rights pula, Puan Manalo Rosario, perwakilan Filipina dalam AICHR telah berkongsi pengalaman negara beliau dalam menangani isu pengguguran bayi (abortion), dimana beliau mengaitkan pengaruh kuat gereja Katolik yang menentang keras amalan pengguguran bayi yang legalasinya kuat diperjuangkan oleh AICHR. Dalam sesi soal jawab pula, beberapa peserta daripada kalangan Muslim telah menimbulkan persoalan akan keperluan isu ini dilihat juga dari sudut agama, di mana dalam satu pandangan, Islam membenarkan pengguguran bayi jika kandungan tersebut berusia tidak lebih daripada 120 hari, kerana pada tahap itu bayi tersebut masih belum ditiupkan roh.

Pada sesi perbincangan, peserta-peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan. Untuk tujuan perbincangan yang lebih efektif, peserta dibahagikan kepada kumpulan-kumpulan yang lebih kecil. Duduk bersama rakan-rakan delegasi berlainan negara, membuka ruang perbincangan yang lebih baik dan luas. Setiap kumpulan diberi tugasan untuk membincangkan tajuk-tajuk tertentu. Antaranya, (a) tentang bagaimana pelan tindakan untuk mendidik masyarakat umum warga ASEAN dalam mendepani isu-isu hak asasi manusia, (b) bagaimana pelan tindakan mendidik masyarakat dalam menyubur semangat kebersamaan antara rakyat negara-negara ASEAN, dan juga (c) bagaimana pelan tindakan dalam menggerakkan gerakan kesukarelawanan belia dalam usaha menangani kemunduran pendidikan masyarakat luar bandar.

Peserta-peserta bengkel ditugaskan untuk merangka, merancang dan membentang cadangan-cadangan pelan tindakan lanjut, pasca menghadiri bengkel ini. Perbincangan yang berlaku dalam kalangan ahli kumpulan sangat menggalakkan dan luas, jauh merentasi latar belakang negara masing-masing. Peserta berkongsi dan bertukar pandangan sesama ahli kumpulan dalam merangka pelan tindakan tersebut, berdasarkan latar pengalaman menjalankan advokasi isu-isu hak asasi manusia di negara masing-masing.

Antara pelan tindakan yang dikongsikan bersama ahli kumpulan adalah;

– Membangun sistem laman sesawang muti-bahasa dengan akses kepada bahasa-bahasa kebangsaan setiap negara-negara anggota ASEAN

– Menyusun bahan edaran serta modul pembangunan belia ASEAN yang bersifat multi-fungsi dalam pelbagai bahasa, serta akses terbuka untuk memuat turun di laman sesawang

– Membangun silibus pengajaran dan pembelajaran hak asasi manusia termasuk penekanan keatas kepentingannya, untuk dilaksanakan melalui sistem pendidikan negara-negara anggota

– AICHR atau ASEAN wajar melantik duta dalam kalangan personaliti tempatan dalam kalangan warga ASEAN berfungsi sebagai jurucakap isu-isu hak asasi manusia di rantau ini

– Merencana aktiviti berkala tahunan bagi perjumpaan pertubuhan-pertubuhan belia negara anggota, serta mengadakan kempen berkala isu-isu hak asasi manusia, mengikut keperluan negara masing-masing

– Melancar pusat maklumat sehenti (one-stop centre) di setiap negara anggota bagi mengumpul maklumat keatas ketidakpatuhan hak asasi manusia

– Mengadakan kempen berfokus pendidikan hak asasi manusia terhadap golongan sasar tertentu terutamanya pelajar universiti

– Peranan dan autoriti Suruhanjaya Hak Asasi Manusia bagi negara-negara anggota wajar ditingkatkan dalam keberkesanan cadangan oleh Suruhanjaya kepada badan eksekutif

– Mengadakan bengkel menghimpunkan pertubuhan-pertubuhan belia negara anggota dalam membina watak dan jati diri warga ASEAN tanpa mengenepikan latar budaya masing-masing.

Sesi terakhir yang dihadiri adalah ucapan penangguhan bengkel. Ia disampaikan oleh Pengerusi ASEAN Intergovernmental Commission on Human Rights (AICHR), Tan Sri Dr. Shafee Abdullah yang juga wakil Malaysia ke AICHR. Majlis penutup tersebut juga turut dihadiri oleh Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia (SUHAKAM), Tan Sri Hasmy Agam. Salah seorang wakil peserta, secara simbolik telah menyerahkan resolusi bengkel kepada Dr Shafee Abdullah sebaik majlis dimulakan. Dr. Shafee Abdullah kemudiannya menyampaikan ucapan penangguhan dengan menekankan beberapa perkara, termasuklah meraikan kepelbagaian serta menyeru untuk menyemai nilai menghormati diatas nilai kemanusiaan yang utuh. Bengkel kemudiannya diakhiri dengan ucapan penghargaan kepada delegasi-delegasi negara anggota yang hadir.

Hak asasi merupakan satu bidang yang amat penting yang wajar diberikan perhatian dan tumpuan oleh MBM. Dalam pembangunan belia turut terdapat pendekatan human rights based approach yang menekankan kepada paksi hak asasi manusia bagi membangun dan mendidik belia khususnya hak dan akses pendidikan untuk semua generasi muda. MBM sudah mula terlibat dalam isu-isu hak asasi manusia di peringkat nasional termasuk yang terkini Semakan Berkala Sejagat (UPR) di mana rekod hak asasi manusia Malaysia dibentang dan dinilai oleh negara-negara lain di Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Geneva setiap 4 tahun sekali. MBM turut menyertai Sambutan Hari Hak Asasi Manusia 2015 yang dianjurkan oleh Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Malaysia dan Suhakam pada 7 Disember yang lalu. MBM turut mengorak langkah mencalonkan salah seorang pimpinannya untuk jawatan Pesuruhjaya SUHAKAM bagi penggal 2016-2019 bagi menggambarkan keseriusan MBM untuk bergiat aktif dalam lapangan yang penting ini.

MBM melalui JK Pendidikan akan menjadikan isu hak asasi sebagai sebahagian daripada usaha MBM memperjuangkan isu nasional dan antarabangsa ini di samping mendidik belia dan masyarakat tentang kepentingan isu hak asasi manusia ini. Sudah hak asasi yang dicitrakan oleh MBM ialah hak asasi yang beracuankan Islam, keagamaan, nilai Asia dan adat ketimuran. Justeru, Universal Declaration of Human Rights (UDHR) yang dijadikan rujukan global harus dibaca dan dirujuk di Malaysia bersama OIC Declaration of Human Rights (ODHD) dan ASEAN Declaration of Human Rights (ADHD).

About admin

Leave a Reply

スーパーコピー財布 スーパーコピー時計 スーパーコピーブランド cheap valentino

Translate »