Home / Akhbar / Undang-undang ganti ISA diharap tangani isu sensitif

Undang-undang ganti ISA diharap tangani isu sensitif

undang-undang-pelik-580x479

KUALA LUMPUR 16 Sept. – Penggubalan undang-undang baru bagi menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) yang akan dimansuhkan, diharap mempunyai peranan serupa dalam menangani isu-isu sensitif yang boleh mengancam kestabilan negara

Pakar undang-undang, Prof. Salleh Buang berkata, anasir-anasir yang hendak mengganggu-gugat keamanan dan kemakmuran negara akan sentiasa wujud dan keperluan untuk menanganinya adalah penting serta memerlukan pendekatan yang proaktif.

“Selain mengutamakan rakyat, kerajaan juga perlu mempunyai mekanisme berkesan dalam membendung dakyah segelintir pihak yang mempunyai kecenderungan mencabar institusi Kesultanan Melayu, bahasa kebangsaan, perhubungan antara agama dan antarabangsa serta mengapi-apikan sentimen perkauman.

“Kita tidak boleh leka dengan hakikat ini. Peranan undang-undang ini perlu sejajar dalam fungsinya mempertahankan Perlembagaan.

“Seharusnya tiada kompromi jika wujud provokasi terhadap isu-isu sensitif seperti kontrak sosial,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam berhubung pemansuhan ISA.

Najib berkata, dua undang-undang baru yang sesuai akan digubal di bawah semangat serta payung Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan bagi mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang dan perbuatan jenayah supaya ketenteraman dan keselamatan awam sentiasa terpelihara.

Jelas Salleh, diharap keterbukaan kerajaan tersebut disusuli dengan pembentangan rangka undang-undang tersebut menerusi Internet atau siaran di media massa bagi mengumpul pendapat serta cadangan penambahbaikan daripada majoriti rakyat.

Ditanya persamaan ISA dan Akta Patriot Amerika Syarikat (AS) 2001, katanya, skop dan pendekatan kedua-dua akta tersebut adalah berbeza mengikut keperluan negara masing-masing memandangkan Akta Patriot merupakan tindakan segera negara tersebut selepas peristiwa 11 September.

“Dalam masa sama, saya mengalu-alukan langkah kerajaan menghapuskan ISA kerana langkah tersebut membuktikan kebebasan rakyat sentiasa menjadi agenda utama kerajaan namun diharapkan undang-undang baru menggantikan ISA digubal secepat mungkin,” ujarnya.

Sementara itu, Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohamed Maliki Mohamed Rapiee berharap undang-undang yang akan digubal nanti akan terus berperanan penting dalam menjamin kestabilan negara memandangkan kegiatan subversif juga telah berkembang sejajar peredaran zaman.

“Tindakan membendung kegiatan subversif yang berkembang melalui kepesatan teknologi maklumat perlu menjadi keutamaan. Sebagai sebuah negara yang menjadi tumpuan masyarakat luar negara kerana kemajuannya, kita sebenarnya terdedah dengan pelbagai pengaruh dikhuatiri subversif dari luar.

“Diharap undang-undang baru itu cukup tegas dalam memastikan tiada pihak yang berkepentingan menyusup dan mencabar norma masyarakat terutama isu sensitif yang telah menjadi pantang larang masyarakat negara ini,” katanya.

Presiden Majlis Peguam, Lim Chee Wee pula mencadangkan supaya undang-undang baru tersebut mencontohi undang-undang menentang pengganas yang diamalkan di negara seperti Australia, Kanada, United Kingdom dan AS.

Katanya, undang-undang tersebut antara lain memperuntukkan pemansuhan automatik terhadap sesuatu undang-undang oleh badan legislatif sekiranya ia didapati tidak boleh digunakan dan pemantauan kehakiman komprehensif yang membenarkan penyemakan semula permohonan kehakiman bagi kes-kes spesifik.

Tambahnya, had masa penahanan perlu berdasarkan peruntukan reman biasa serta hak untuk mendapatkan peguam untuk semua tahanan.

“Pendekatan asas bagi membendung kegiatan pengganas adalah penting. Dalam masa yang sama, ia juga memelihara asas kebebasan, kedaulatan undang-undang dan menegah penyelewengan,” ujarnya.

About Putri Balkis

Leave a Reply

スーパーコピー財布 スーパーコピー時計 スーパーコピーブランド cheap valentino

Translate »