Home / Akhbar / NGO sokong penuh deklarasi

NGO sokong penuh deklarasi

192

KUALA LUMPUR 14 Sept. – Pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini menyokong penuh langkah bekas-bekas anggota polis dan tentera mengeluarkan Deklarasi Bukit Kepong bagi mengingatkan semua pihak supaya tidak mengguris hati dan perasaan para pejuang kemerdekaan negara.

NGO tersebut turut mengecam tindakan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu sebelum ini yang mempersendakan pengorbanan para pejuang negara apabila mengangkat komunis sebagai wira dalam tragedi Bukit Kepong.

Timbalan Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia (PSM), Datuk Nik Mohamad Nik Mohd. Salleh berkata, sejarah telah mencatatkan bahawa ramai kalangan anggota tentera dan polis terkorban akibat kekejaman komunis.

“Kebanyakan mereka terbunuh akibat jerangkap samar atau ditembak ketika bertempur dengan pengganas komunis dan tidak kurang juga yang cedera parah.

“Justeru tindakan Mat Sabu (Mohamad) mengangkat Mat Indera dan komunis sebagai wira tidak boleh diterima kerana ia jelas bertentangan dengan catatan sejarah negara,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas usaha Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM), Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) serta Persatuan Veteran Tentera Melayu (PVTM) yang sepakat mengeluarkan deklarasi itu semalam ketika berhimpun di tapak Balai Polis Bukit Kepong bagi membantah tindakan pihak tertentu mempersoalkan kewibawaan pasukan keselamatan negara.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali pula berkata, para pejuang negara yang cedera atau terkorban ketika menentang komunis wajar diberi penghargaan serta ganjaran yang setimpal dengan jasa mereka.

“Apakah cukup sekadar deklarasi? Mereka berjuang sehingga menggadai nyawa. Wajar sekali semua mereka mendapat ganjaran dan penghormatan daripada kerajaan seperti yang diberi kepada ahli sukan mahupun artis,” katanya.

Ibrahim berkata, Mohamad atau Mat Sabu perlu memohon maaf kepada semua pejuang terlibat ekoran kenyataannya yang mengguris hati dan perasaan golongan tersebut.

Bagi Presiden Persatuan Pemikir Profesional Melayu Malaysia, Prof. Datuk Dr. Kamaruddin Kachar pula, Mat Sabu wajar dikenakan tindakan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana membuat kenyataan yang menyebelahi komunis.

Katanya, pemimpin Pas itu wajar menerima hukuman itu memandangkan individu sepertinya tidak akan memohon maaf atas kesilapan yang dilakukan.

Mengenai deklarasi itu, Kamaruddin berkata, ia bagi memastikan jasa pejuang negara terus dikenang selain tidak dipersenda oleh pihak tertentu.

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohamed Maliki Mohamed Rapiee turut menyokong deklarasi tersebut dan menganggap ia satu peringatan kepada rakyat bahawa bukan mudah untuk Malaysia mencapai dan mempertahankan kemerdekaan kerana ia melibatkan pengorbanan banyak pihak.

Naib Presiden Alumni Pemimpin Mahasiswa Aspirasi Malaysia (Aspirasi), Mohd. Zafry Mohd. Yunus pula berkata, langkah bekas anggota tentera dan polis mengeluarkan satu deklarasi amat wajar kerana mereka ialah pejuang negara yang sebenar dan bukannya komunis.

“Tidak sepatutnya komunis diangkat sebagai pejuang kerana mereka sebenarnya bukan mahu memperjuangkan kemerdekaan sebaliknya mahu menjadikan Tanah Melayu sebagai negara komunis.

“Oleh itu, kami daripada Aspirasi menuntut Mat Sabu memohon maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia terutama waris-waris anggota tentera dan polis yang terkorban,” tegasnya.

About Putri Balkis

Leave a Reply

スーパーコピー財布 スーパーコピー時計 スーパーコピーブランド cheap valentino

Translate »