Home / Minda Presiden / Minda: Harga sebuah keamanan

Minda: Harga sebuah keamanan

Oleh Mohamed Maliki bin Mohamed Rapiee

TEMPOH satu minggu yang lalu seluruh dunia digegarkan dengan insiden bantahan serta kemarahan umat Islam terhadap penghinaan ke atas Nabi Muhammad s.a.w melalui penerbitan filem bajet murah tidak bermaruah dan seterusnya disusuli penerbitan karikatur dikatakan membawa imej baginda dalam sebuah majalah berbahasa Perancis.

Di Malaysia juga diadakan bantahan secara aman bagi memastikan mesej yang jelas disampaikan kepada pihak kedutaan Amerika Syarikat agar menjaga perilaku rakyat mereka untuk tidak sesuka hati membuat penghinaan sebegitu rupa.

Malaysia kini hidup dalam keamanan selepas beberapa tahun berdepan dengan ancaman komunis mahupun kuasa asing yang lain.

Semakin hari masyarakat di negara kita semakin sedar betapa pentingnya keharmornian dan keamanan sesuatu bangsa.

Jika kita melihat pada hari ini anak muda mampu tersenyum riang dan gelak tawa jelas tergambar atas usaha kerajaan yang menyediakan pelbagai program mahupun kemudahan agar mereka sentiasa bersedia berdepan dengan segala anasir yang mampu mengancam keamanan negara.

Seperti yang kita sedia maklum, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sewaktu merasmikan Himpunan Sejuta Belia menegaskan bahawa majoriti belia di perhimpunan berkenaan sebagai mereka cintakan keamanan serta tahu menghormati dan menyanjung amalan prinsip demokrasi berparlimen.

Inilah sikap dan contoh terbaik yang kita mahukan daripada belia bagi mereka menunjukkan rasa hormat dan cinta tanah air kepada negara tanpa ada provokasi dan rusuhan. Mungkin ada sebilangan mereka yang cetek ilmunya mengenai keamanan walaupun pada usia muda dengan menunjukkan demonstrasi agresif bagi mewakili perasaan mereka.

Contohnya dengan mengadakan perhimpunan Bersih 3.0 yang sangat menjejaskan imej negara di mata dunia sebagai tanda protes dan bertindak secara agresif sehingga ada merempuh halangan disediakan pihak keselamatan.

Sebilangan mereka kurang sedar dengan mengadakan demonstrasi sebegitu dapat menyelesaikan segala permintaan mereka sedangkan banyak lagi cara atau inisiatif lain bagi mereka untuk bersuara.

Sebagai Majlis Belia Malaysia (MBM), kami sendiri sentiasa terbuka dalam menerima pandangan mahupun kritikan terhadap usaha memimpin belia ke arah lebih bersifat pemimpin dan terbuka. Jika dipandang dari aspek ekonomi, tidakkah terfikir bahawa perhimpunan haram ini cuma mendatangkan kerugian kepada masyarakat dan negara?

Pada hari kejadian, berapa banyak kedai kedai ditutup sepanjang Jalan Tuanku Abdul Rahman dan berapa banyak pintu rezeki ditutup atas alasan perhimpunan Bersih 3.0?

Di sini, kita melihat sesetengah anak bangsa kurang sedar pentingnya keamanan sesuatu negara itu.

Jika diimbas kembali, peristiwa 13 Mei 1969 kemuncak masalah perpaduan kaum di Malaysia. Tragedi ini yang mengakibatkan kehilangan nyawa serta harta benda mempunyai kaitan rapat dengan ‘Pilihan Raya Umum 1969’ adalah titik hitam dalam sejarah negara (Wikipedia, 21 September 2012).

Peristiwa 13 Mei ini wajar dijadikan contoh bagi generasi sekarang agar saling menghormati dan peka terhadap perpaduan negara yang berlandaskan sistem demokrasi berparlimen.

Golongan belia mesti menerapkan semangat patriotism supaya kita tidak saling memandang rendah terhadap kaum lain.

Rasanya belum terlambat jika kita berkongsi mengenai berita pelajar dari kolej swasta yang ditahan polis berhubung tindakan menunjukkan punggung terhadap gambar Perdana Menteri pada sambutan Ambang Merdeka pada 30 Ogos lalu.

Bekas penuntut tahun dua program Diploma Multimedia Kreatif Kolej Teknologi Antarabangsa Cybernetics itu berkata beliau sangat menyesal atas tindakannya yang keterlaluan dan ingin berjumpa dengan Perdana Menteri sekiranya dibenarkan.

Sebagai belia berwawasan dan memikirkan aspek keamanan negara, seharusnya kita menjadikan berita sebegini sebagai contoh dan teladan dalam hidup serta mesti dijauhi. Cukuplah dengan pelbagai peristiwa menyentuh isu sensitif seperti agama dan perkauman yang pernah dirasai golongan terdahulu.

Lebih buruk lagi apabila golongan belia sekarang mula menganggap suara hati mereka tidak didengar pemimpin. Jika dibandingkan dengan negara jiran iaitu Indonesia, Malaysia negara mempunyai belia yang mampu memajukan serta menaikkan taraf keamanan negara ke mata dunia.

Ramai pelajar Malaysia sekarang merantau ke luar negara bagi memenuhi minat dan cita-cita mereka untuk menjadi seorang berjaya.

Penghijrahan mereka sebenarnya dapat memberi pelbagai impak dari sudut positif dan negatif. Dari sudut positif kita dapat melihat bagaimana idea baru mahupun cara kerja lebih sistematik yang diamalkan negara luar dapat diamal di negara tercinta.

Sebilangan yang menetap di sana masih berkata, Malaysia negara yang paling mereka sayangi kerana keharmonian yang kita berjaya amalkan.

Tidak lupa juga, baru-baru ini lawatan dari All China Youth Federation berkunjung ke MBM di Cheras bagi mengetahui lebih lanjut bagaimana pengurusan belia di Malaysia dijalankan. Tambahan pula, ini dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara negara.

Sebagai Presiden MBM, kami berjuang bagi membantu golongan belia berada di landasan yang benar serta menyediakan pelbagai aktiviti bagi belia mencurahkan idea, menunjukkan minat dan sebagainya demi menjamin keamanan negara.

Justeru, sudah sampai masanya belia masa kini sedar ini bukanlah masa bagi mereka menunjukkan rasa ketidakpuashatian, sifat perkauman mahupun rusuhan, tetapi pada usia sebegini banyak lagi perlu mereka sedar erti keamanan. Keamanan sesebuah negara bukanlah mudah untuk dikecapi, ia mengambil masa puluhan tahun dan belajarlah untuk menghargai nilai keamanan yang kita kecapi hingga ke hari ini. Belia sahabat keamanan adalah slogan terbaik untuk menerapkan nilai patriotisme dalam kalangan belia hari ini.

Penulis Presiden MBM berkelulusan Sarjana Pendidikan (BImbingan dan Kaunseling) USM

About admin

Leave a Reply

スーパーコピー財布 スーパーコピー時計 スーパーコピーブランド cheap valentino

Translate »