Home / Minda Presiden / Menerap budaya kesukarelaan

Menerap budaya kesukarelaan

Oleh Mohamed Maliki Mohamed Rapiee

SALAM dari Kota Kinabalu! Penulis baru saja pulang dari sesi dialog bersama sekumpulan belia Sabah untuk membincangkan topik ‘Gerakan Kesukarelaan Dalam Kalangan Belia’ di Bangunan Majlis Belia Negeri Sabah.

Menariknya, sesi dialog ini turut membabitkan penyertaan sekumpulan mahasiswa dari Pusat Pengajian Psikologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang baru saja menamatkan program keluarga angkat di Kampung Ulu Bole, Sepitang.

Program ini sebahagian daripada keseluruhan program Youth Exchange Studies (YES) anjuran Persatuan Asrama Belia Malaysia (MYHA) iaitu salah satu badan gabungan Majlis Belia Malaysia.

Penulis sempat mendengar perkongsian pengalaman sebahagian mahasiswa berkenaan yang mulanya berasa amat janggal untuk tinggal di sebuah kampung yang tiada kemudahan elektrik dan air dan keseluruhan penduduk beragama Kristian.

Namun, berkat keazaman tinggi dan iltizam untuk berbakti maka keseluruhan peserta ini dapat mengharungi cabaran tersebut dengan jayanya. Malah, ramai peserta mengalirkan air mata ekoran rasa insaf di atas ketabahan serta kemesraan ahli keluarga angkat di sebalik kekurangan kemudahan serta pembangunan diterima.

Program ini juga berjaya menyemai perasaan kasih sayang dan persaudaraan atas asas semangat 1Malaysia tanpa memperbesarkan perbezaan agama dan latar belakang kehidupan. Hakikatnya masih terlalu banyak ruang untuk sukarelawan belia kita menyumbangkan bakti kepada masyarakat di Negeri Di Bawah Bayu ini. Setiausaha Agung Majlis Belia Negeri Sabah, Abdul Ramli Ibrahim, menyatakan terdapat tiga aspek utama harus diberikan perhatian iaitu sosial, ekonomi dan pendidikan.

Menurut beliau, ada 45 peratus pelajar akan menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang masih tidak boleh membaca manakala bagi calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ialah 21 peratus.

Waktu cuti semester panjang sekarang adalah saat paling sesuai buat seluruh mahasiswa untuk menyumbang sedikit masa, tenaga dan wang ringgit kepada masyarakat. Menyentuh elemen sumbangan dalam erti kata nilai kesukarelaan, sebenarnya negara kita masih jauh terkebelakang berbanding negara maju.

Menurut laporan ‘World Giving Index 2011’ atau Indeks Memberi Sedunia tahun 2011 yang dikeluarkan Charities Aid Foundation menunjukkan Malaysia menduduki tempat ke-87 berbanding 153 negara yang dinilai.

Penilaian berdasarkan tingkah laku serta sikap rakyat kita terhadap tiga elemen iaitu menyumbang wang, menyediakan masa untuk kerja sukarela serta membantu orang asing.

Dilaporkan juga bahawa hanya 37 peratus rakyat negara kita sanggup menyumbangkan wang untuk keperluan orang lain. Hanya 20 peratus rakyat sanggup menyediakan masa untuk kerja sukarela dan 30 peratus sanggup membantu orang asing yang kesusahan.

Hasil laporan tersebut juga menunjukkan bahawa kejayaan mana-mana negara mencapai tahap paling banyak memberikan sumbangan bergantung kepada nilai asas terbentuk dalam masyarakat negara itu.

Sifat mengambil tahu dan sanggup membantu orang lain secara mendalam sememangnya diakui amat tebal bagi warga Amerika Syarikat, Ireland, Australia dan United Kingdom yang semuanya berada pada kedudukan tertinggi sebagai masyarakat pemurah.

Amat membanggakan apabila masyarakat di United Kingdom tidak menjadikan alasan kemelesetan ekonomi dihadapi blok Eropah sebagai alasan untuk mengurangkan jumlah wang dan masa untuk membantu orang lain.

Di Malaysia, sesetengah jawapan boleh diduga apabila memajukan surat permohonan bantuan daripada sesetengah syarikat korporat, termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Bayangkan saja organisasi sebesar Majlis Belia Malaysia (MBM) pernah menerima jawapan sangat ringkas berbunyi Mohon maaf, dukacita permohonan pihak Tuan tidak dapat dipertimbangkan memandangkan syarikat tidak mempunyai perancangan berkaitan program sedemikian pada tahun ini’.

Entah apa pula jawapan yang akan diberikan kepada pertubuhan kecil pada peringkat daerah dan kampung pula? Kadang-kadang jumlah yang kami pohon jauh lebih kecil daripada keseluruhan kos pengiklanan dan pelancaran produk baru mereka.

Rakyat Malaysia seharusnya berasa malu kerana negara jiran kita iaitu Thailand berjaya meletakkan dirinya jauh ke hadapan sebagai masyarakat pemurah iaitu di tempat ke-9.

Dilaporkan bahawa 85% rakyat Thailand membuat sumbangan wang secara berkala sepanjang tahun. Berkemungkinan ia ada kaitan dengan ajaran agama mereka yang amat menitik beratkan praktik memberi sedekah dalam kehidupan mereka.

Bagi Muslim, ia seharusnya juga dizahirkan dengan budaya sedekah dan amal jariah kerana janji Allah dalam al-Quran bagi amalan mulia tersebut jelas dan nyata. Dalam proses membentuk bangsa Malaysia, budaya kesukarelaan adalah sesuatu harus kita pertingkatkan demi membentuk masyarakat makmur dan saling menyayangi.

Ia selaras dengan cabaran ketujuh Wawasan 2020 iaitu ‘Mewujudkan masyarakat penyayang dan budaya menyayangi, iaitu sistem sosial yang mengutamakan kepentingan masyarakat, kebajikan insan tidak akan berkisar kepada negara atau orang perseorangan, tetapi sekeliling sistem yang kukuh.’ Menurut Pensyarah Kanan dari Pusat Pengajian Psikologi UKM, Dr Suhaimi Mohamad, yang turut terbabit sebagai ahli panel dialog bersama belia Sabah menyatakan bahawa pembabitan seseorang dalam kerja kesukarelaan mampu membentuk psikologi unggul dan sederhana.

Pengalaman dan pembelajaran diterima sewaktu menghadapi cabaran menjalankan kerja kesukarelaan akan memberikan nilai kendiri baik dan seterusnya meningkatkan jati diri.

Pembabitan dalam kerja kesukarelaan mampu meruntuhkan tembok psikologi masa lalu yang mungkin negatif dan lemah. Kejayaan kecil yang dicipta serta kepuasan akan menjadi pendorong kepada seseorang untuk menciptakan kejayaan lain yang lebih besar. Dengan sedikit sokongan dan dorongan, sukarelawan ini akan memacu usaha dan sumbangan untuk masyarakat sehingga kadang-kadang mencapai tahap luar biasa dan mengagumkan.

Sebagai contoh penulis amat kagum dengan kesungguhan Wan Mohd Hafizam Wan Ismail sedekad lalu yang sanggup mendermakan sebahagian hati beliau kepada seorang pesakit kanak-kanak, Mohd Afiq Ikmal Mohd Zaini yang berjaya membuka mata dan kesedaran masyarakat Malaysia mengenai erti dan kemuliaan menjadi seorang sukarelawan. Sehubungan itu, MBM mengalu-alukan usaha kerajaan untuk menyelaraskan gerak kerja kesukarelaan di negara ini di bawah program 1Malaysia Corps. Melalui usaha ini kita akan mampu menggembleng tenaga sukarelawan yang dilatih oleh pelbagai agensi kerajaan serta badan bukan kerajaan (NGO) untuk memenuhi aspirasi kemanusiaan sama ada di dalam atau luar negara.

Program 1Malaysia For Youth (1M4U) yang akan dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 15 Julai ini di KLCC adalah satu lonjakan terhadap usaha gerakan kesukarelaan di negara ini.

Kita sudah lama berharap kesukarelaan menjadi kerjaya kedua rakyat Malaysia. Hasrat MBM agar individu terbabit dalam kerja kesukarelaan diiktiraf sebagai pekerja sosial yang profesional nampaknya menemui sinar positif apabila terdapat usaha UKM melalui Pusat Akreditasi Pembelajaran (PAP) untuk mengemukakan cadangan kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) supaya pelajar terbabit dengan kerja sukarela turut dianugerah sijil diploma khas dalam gerak kerja kesukarelaan.

Penulis Presiden MBM berkelulusan Sarjana Pendidikan (Bimbingan dan Kaunseling) Universiti Sains Malaysia

About admin

Leave a Reply

スーパーコピー財布 スーパーコピー時計 スーパーコピーブランド cheap valentino

Translate »