Home / Minda Presiden / Antara Tunku dan Dr Burhanuddin

Antara Tunku dan Dr Burhanuddin

Oleh Mohamed Maliki Mohamed Rapiee

DI bangku sekolah, guru mengajar sejarah penjajahan negara yang bermula pada 1511 di Melaka hingga merdekanya Malaya. Dua tahun sebelum Afonso de Albuquerque menawan pelabuhan rempah dunia berkenaan, Portugis sudahpun menghantar perutusan mereka melalui Lopes De Sequiera yang cuba berunding bagi mendapatkan Melaka.

Penentangan cubaan menjajah bermula di sini apabila Sultan Mahmud membuat keputusan menangkap Sequiera dan anak buahnya lalu dijatuhi hukuman bunuh.

Melaka tidak jatuh dengan mudah. Pada serangan kali pertama dengan kekuatan kapal perang moden dari Portugis, Albuquerque gagal. Walaupun sebulan kemudian beliau berjaya menawan Melaka, Portugis tidak putus-putus menerima serangan daripada tentera Sultan Mahmud yang mahu memerdekakan kembali Melaka sehingga penjajah terpaksa membina tembok kubu yang sebahagiannya dikenali sebagai A Famosa. Sejak itu penentangan terhadap penjajah berterusan dan hanya pada 1957 perjuangan ini berhasil mendapatkan kejayaan melalui perundingan atas perpaduan rakyat berbilang bangsa.

Pada 31 Ogos 1957, pemimpin Malaya ketika itu, Tunku Abdul Rahman Putra Al- Haj bersama-sama ribuan rakyat melaungkan Merdeka! Merdeka! Merdeka! Namun 55 tahun selepas merdeka, amatlah mengejutkan apabila perlumbaan politik orang Melayu sebagai bangsa pribumi di Malaysia menjadi penyebab lunturnya semangat patriotik rakyat terhadap negara sehingga sanggup membelakangi pemimpin serta bendera kita.

Jika dalam sejarah kebangkitan Islam dulu, kita dipaparkan dengan kisah yang terjadi dalam Perang Mu’tah pada tahun 8 Hijrah. Sewaktu Rasulullah SAW menyerahkan bendera berwarna putih kepada sahabatnya, Zaid bin Harithah, Baginda berpesan: “Jika Zaid terbunuh, penggantinya ialah Jaafar bin Abi Tolib dan jika Jaafar pula terbunuh maka penggantinya adalah Abdullah bin Rawadah.” Begitulah pentingnya makna bendera kepada perjuangan Rasulullah pada masa itu. Jatuh bendera bermakna jatuhnya maruah agama dan negara. Peliknya hari ini cucu-cicit pejuang Melayu yang menentang Albuquerque pada satu ketika, kini berusaha menanamkan rasa benci pada kerajaan sehingga sanggup mengeksploitasi pelbagai hal berkaitan sejarah semata-mata untuk mendapatkan sokongan orang ramai. Yang menjadi mangsa ialah Jalur Gemilang yang menjadi simbol kedaulatan negara kita.

Dalam ceramah politik beberapa pemimpin tempatan, ada yang mengatakan bahawa Tunku Abd Rahman tidak layak diberi jawatan Perdana Menteri Malaysia pertama kerana beliau bukanlah orang yang awal-awal melaungkan slogan merdeka.

Ada juga yang kini mempopularkan bekas presiden parti mereka, Dr Burhanuddin Helmy sebagai pejuang sebenar kemerdekaan tanah air. Tak pasti jika mereka benar-benar tidak tahu atau pura-pura lupa. Kini ramai berusaha menukar tambah cerita sejarah semata-mata mahu menghasut rasa benci pada kerajaan. Tidak dinafikan Dr Burhanuddin seorang daripada pejuang berbangsa Melayu yang hebat. Dr Burhanuddin menubuhkan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dan kepetahan bercakap beliau berjaya membakar semangat nasionalisme ramai Melayu lain yang ingin merdeka.

Bagaimanapun, definasi merdeka Dr Burhanuddin tidaklah semata-mata membebaskan Tanah Melayu daripada penjajah, tetapi agenda utamanya memasukkan Tanah Melayu dalam gagasan Melayu Raya, iaitu bergabung bersama Indonesia yang merdeka pada 1945.

Penubuhan Malaysia mendapat tentangan daripada negara jiran, Indonesia dan Filipina. Indonesia menganggap Malaysia sebagai projek Neo-Kolonialisme Barat yang membantutkan hasrat Jakarta untuk membentuk Indonesia-Raya.

Tentangan penubuhan Malaysia dizahirkan dengan peristiwa konfrantasi dengan mendaratnya tentera Indonesia di beberapa tempat di pantai barat yang kononnya dihantar untuk membebaskan Tanah Melayu.

Penduduk keturunan Indonesia yang sudah menetap dan menjadi warga Malaysia turut dihasut menentang pemerintah. Filipina juga menuntut Sabah sebagai sebahagian daripada negara itu.

Lihat betapa sukarnya pemimpin terdahulu menghadapi segala cabaran bagi membentuk gagasan Malaysia. Sungguh memalukan ada segelintir anak muda buta hati dan buta sejarah yang melaungkan slogan Sang Saka Malaya tanpa mengetahui sejarah di sebalik penciptaan bendera Jalur Gemilang oleh Allahyarham Mohammad Hamzah pada 19 Mei 1950.

Seorang lagi yang kini namanya digembar-gemburkan sebagai pejuang kemerdekaan negara oleh segelintir pihak adalah Ibrahim Yaakob atau lebih dikenali dengan nama Cikgu Ibrahim. Cikgu Ibrahim yang berdarah Bugis dan pernah menjadi tenaga pengajar di Maktab Perguruan Sultan Idris adalah golongan awal yang mempunyai semangat nasionalisme tinggi sehingga mendorong semangat untuk merdeka.

Pada 1939 beliau menubuhkan Kesatuan Melayu Muda (KMM) di mana Dr Burhanuddin yang juga anak buahnya turut menjadi ahli aktif.

Menuntut kemerdekaan memang agenda utama KMM, tetapi sama seperti PKMM, definisi kemerdekaan KMM juga bertujuan menghalau penjajah berkulit putih secara habis-habisan dan bergabung bersama Indonesia.

Pada ketika itu Soekarno yang secara tebal dikaitkan dengan perjuangan komunis adalah seorang daripada sumber inspirasi perjuangan Cikgu Ibrahim. Penjajah British yang menghidu pergerakan Cikgu Ibrahim yang terlalu radikal sudah pun menangkap dan memenjarakan beliau. Ketika Perang Dunia Kedua, Cikgu Ibrahim dibebaskan oleh Jepun dan kemudiannya dilantik menjadi seorang leftenan kolonel.

Semasa British kembali menguasai Tanah Melayu, Cikgu Ibrahim lari ke Jakarta dan bekerja untuk Presiden Soekarno. Beliau dilantik sebagai Leftenan Kolonel Angkatan Darat Tentera Negara Indonesia dan sejak itu beliau menetap di sana. Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman Putra dalam satu ucapan di Persidangan Persatuan Wartawan Luar Negeri Asia Tenggara yang diadakan di Hotel Adelphi, Singapura pada 27 Mei 1961, membuat gagasan perlunya satu rancangan untuk membawa Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Borneo Utara, Brunei dan Sarawak ke dalam satu bentuk kerjasama politik dan ekonomi.

Antara lain, kerjasama ini perlu diadakan bagi menyekat pengaruh komunis yang boleh menggugat kestabilan politik serantau. Di sini amatlah jelas bahawa keamanan dan kedamaian kita nikmati di bumi bertuah Malaysia adalah hasil kebijaksanaan kepemimpinan Almarhum Tunku memimpin negara yang baru bertatih selepas menghirup nafas merdeka.

Janganlah gadaikan masa depan dan kedaulatan negara kerana pegangan politik melampau. Terdesak mendapatkan sokongan politik, hancur hati ini melihat pelbagai usaha disemai pada pemikiran anak muda supaya mereka sendiri tidak mengiktiraf kemerdekaan Malaysia yang dicapai.

Terlalu kacau, hasilnya beberapa daripada mereka berkumpul pada malam sebelum merdeka baru-baru ini menuntut mengganti bapa kemerdekaan, merubah lagu kebangsaan dan menukar bendera kebangsaan. Sempena memperingati Penubuhan Malaysia pada 16 September 1963, golongan muda diminta agar menghargai kepayahan mewujudkan sebuah negara bernama Malaysia.Perjuangan yang membentuk gagasan 1Malaysia ini, tidak akan berjaya jika tiada pengorbanan dan keazaman oleh orang terdahulu. Kekuatan bangsa Malaysia, terletak pada sifat bersatu padu rakyatnya.
Penulis Presiden MBM berkelulusan Sarjana Pendidikan (Bimbingan dan Kaunseling) USM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/10

About admin

Leave a Reply

スーパーコピー財布 スーパーコピー時計 スーパーコピーブランド cheap valentino

Translate »