MAJLIS BELIA MALAYSIA

Hari OKU Sedunia 2020: Membina kesejahteraan OKU, mendepani perubahan

Oleh:

Adhura Husna binti Farouk Izwan

Jawatankuasa Penaja Majlis Belia OKU

OKU atau Orang Kurang Upaya merupakan seseorang yang mempunyai sesuatu ketidakupayaan, sama ada ketidakupayaan penglihatan, pendengaran, pertuturan, fizikal, pembelajaran, mental, dan pelbagai. Ketidakupayaan berlaku disebabkan oleh halangan-halangan yang wujud dalam persekitaran seseorang. Halangan-halangan seperti stigma masyarakat terhadap OKU dan ketiadaan kemudahan membenih tanggapan dan diskriminasi terhadap golongan OKU yang menghalang penglibatan serta penyertaan mereka secara penuh dalam semua aspek kehidupan.

Saban kali, OKU dilihat pada ketidakupayaan atau apa yang mereka boleh berikan kepada masyarakat. Namun pada kali ini, ayuh kita lihat golongan OKU pada nilai yang mereka bawa serta kebolehan dalam ketidakupayaan mereka.

OKU bukan adiwira bak Superman

OKU seringkali dipanggil istimewa, walhal jika diperhatikan mereka hanyalah manusia biasa yang mengalami ketidakupayaan dalam dunia penuh cabaran. Mungkin anda pernah membaca atau terlihat warga OKU yang bekerja keras mencari rezeki dan menyara kehidupan sementara mendukung ketidakupayaan mereka. “Inspirasi-inspirasi” ini bukanlah dan tidak sepatutnya menjadi sesuatu yang aneh dalam golongan OKU kerana sifat diri mereka yang terlatih mendepani dunia VUCA; Kemeruapan (Volatility), Ketidakpastian (Uncertainty), Kerumitan (Complexity), dan Kekaburan (Ambiguity) ini.

Cerita-cerita inspirasi porno golongan OKU selalunya bukanlah disensasikan oleh dirinya sendiri. Warkah kehidupan sebegini seringkali timbul sewaktu adanya kegawatan ekonomi, maka yang harus diteliti bukanlah ketidakupayaan dirinya tetapi sistem yang memaksa OKU kais dulu maka makan. Oleh itu, OKU hanyalah seseorang yang mempunyai ketidakupayaan dan menggunakan ketidakupayaan tersebut sebaiknya kerana sistem yang sepatutnya melindungi golongan ini gagal melakukannya.

Lihat kebolehan dengan mengakui ketidakupayaan

Dalam mendepani cabaran masa depan, golongan OKU seharusnya dilihat setara dengan golongan bukan-OKU terutamanya dalam sektor-sektor professional. Saban tahun, semakin ramai golongan OKU yang mempunyai ijazah pengajian tinggi namun masih dijangka untuk bekerja dalam pekerjaan berkemahiran rendah hanya kerana bergelar OKU. Seharusnya ketidakupayaan seseorang OKU dijadikan kekuatan yang membenarkan beliau bekerja pekerjaan yang sesuai dengannya. Misalnya, seorang OKU autism lazimnya mempunyai kadar fokus yang tinggi dan sesuai ditempatkan dalam pekerjaan yang memerlukan kelebihan tersebut. Seorang OKU pekak berkemahiran pula sesuai bekerja sebagai pengimpal di kilang-kilang yang sentiasa bingit.

Namun begitu, dalam menyambut kebolehan golongan OKU, kita juga seharusnya mengakui yang OKU masih mempunyai ketidakupayaan dan memerlukan kemudahan-kemudahan yang membenarkan mereka berfungsi sehabis baik bagi menyumbang kepada masyarakat dan diri mereka sendiri. Hal ini kerana, semua OKU mahu hidup secara berdikari, lestari, dan semestinya mandiri.

Setiap insan serupa dengan perbezaan unik masing-masing

Ketidakupayaan juga merupakan anugerah Tuhan, yang menjadikan seseorang itu dirinya sendiri. Ia tidak harus diperlakukan seperti sesuatu yang istimewa mahupun sesuatu kekurangan, atau kelebihan. Sama seperti setiap manusia yang wujud di muka bumi ini, semuanya mempunyai identity tersendiri yang membezakan antara satu sama lain, sama ada perbezaan tersebut mampu dilihat dengan mata kasar atau sebaliknya. Seperti seorang ibu yang dapat membezakan antara dua orang anak kembar seirasnya, begitulah berbezanya setiap manusia.

Seperti OKU, mereka tidak perlu ‘disembuhkan’ dan menjadi seperti orang lain, melainkan mereka sendiri mengatakan begitu. Apa yang mereka perlukan adalah kefahaman awam, kesedaran, dan pertolongan apabila diminta. Golongan OKU perlukan kekuatan, tetapi bukan dengan cara merobek identiti diri mereka dengan mengatakan “Kalau awak bukan OKU…”, tetapi dengan bersama mereka apabila diperlukan. OKU akan menghadapi pelbagai kegagalan dalam hidup, contohnya perkara-perkara asas seperti memasak, memakai baju, memahami pertuturan dan sebagainya. Namun kegagalan merupakan garisan permulaan buat kejayaan bagi mereka.

Memudahkan OKU bermakna memudahkan semua

Mengikut bancian dunia, antara 15% sehingga 20% sesuati populasi mengalami sesuatu keadaan ketidakupayaan. Jika dibandingkan dengan jumlah penduduk Malaysia sebanyak 30 juta orang, sekurang-kurangnya 4.5 juta sehingga 6 juta rakyat Malaysia yang mempunyai sesuatu bentuk ketidakupayaan. Hal ini sejajar dengan jumlah pendaftaran OKU sebanyak 500,000 orang namun belum termasuk kebanyakan penghidap ketidakupayaan yang tidak dapat dilihat, pesakit ketidakupayaan mental yang belum berdaftar dan Orang Kurang Upaya yang tidak berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Pendaftaran OKU adalah penting kerana ia digunakan untuk memastikan tiada yang tercicir dalam mendapatkan kemudahan-kemudahan yang hakiki. Sistem sedia ada, walaupun masih mempunyai kelompongan yang sepatutnya dibaiki, seharusnya dimanfaatkan oleh semua golongan OKU supaya mereka sendiri dapat memperbetulkannya kelak, yang merupakan tanggungjawab kita bersama.

Kita semua bakal menjadi Orang Kurang Upaya, sama ada melalui sesuatu peristiwa, atau melalui masa, ia adalah takdir. Menyediakan kemudahan-kemudahan yang sepatutnya satu hak golongan OKU adalah seperti satu insurans terhadap sesuatu yang pasti berlaku pada masa hadapan. Contohnya, potongan tepi pejalan kaki (curb cut) bukan sahaja memudahkan pengguna kerusi roda tetapi juga ibubapa yang mempunyai anak kecil, orang tua, dan pekerja yang membawa troli.

Kesimpulan

Sambutan pada tahun ini agak istimewa kerana pada hemat penulis, semua orang kini telah merasakan serba sedikit bagaimana menjadi seorang OKU. Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyekat pergerakan dan memaksa orang ramai duduk di rumah hampir menyerupai ketidakbolehan kebanyakan golongan OKU berinteraksi dan melakukan aktiviti pada waktu lain kerana kemudahan-kemudahan yang diperlukan tiada. Bayangkan keadaan ini, seorang OKU wanita berkerusi roda mahu ke sesuatu negeri bukan dalam lembah Klang atas urusan penting tetapi beliau tahu, hampir tiada tandas OKU di Kawasan tersebut. Mampukah beliau keluar rumah?

Bertarikh : 3 Disember 2020

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »