Peranan Advokasi Pertubuhan Belia untuk Menghalang Konflik Bersenjata

JUFITRI JOHA

Naib Presiden MBM

Dalam sejarah peradaban dunia, konflik dan peperangan menjadi asam garam dalam kehidupan manusia. Konflik manusia sudah bermula seawal zaman Nabi Adam a.s. yang melibatkan anakandanya Habil-Qabil. Ini juga yang menjadi keprihatinan para malaikat ketika Allah Taala mencipta dan mengkhalifahkan manusia di muka bumi ini.

Konflik dan peperangan akan terus menjadi sebahagian skrip kehidupan manusia selama mana sifat-sifat terkeji seperti dendam, iri hati, tamak dan buruk sangka merajai hati sang manusia. Pada zaman moden ini konflik dan peperangan terus meletus semenjak konflik Palestin-Israel sehinggalah yang terkini ke Perang saudara di Yaman. Secara umumnya terdapat dua sebab utama berlakunya konflik dan peperangan menurut Goldstein dan Pevehouse (2006) dalam bukunya International Relations iaitu conflicts of interest (coin) dan conflicts of ideas (coid). Coin merangkumi pertikaian sempadan; cubaan penukaran kerajaan; dan konflik ekonomi seperti perdagangan, kewangan, sumber mineral, penyeludupan dadah dan transaksi ekonomi. Manakalan coid merangkumi konflik etnik; konflik agama; dan konflik ideologi. Perlu diingat bahawa tidak semua konflik boleh membawa kepada peperangan.

Berikutan isu yang perlu diberikan perhatian serius ini dan demi masa depan generasi baru, World Assembly of Youth (WAY) telah memilih tema penting iaitu Youth & Armed Conflict: To Express without a Fear and To Progress without a Threat untuk dibincang dan diperdebat bagi mencari solusi dalam Dialog Belia Antarabangsa Melaka (MIYD) kali ke-15. Majlis Belia Malaysia (MBM) turut dijemput untuk sama-sama menyampaikan buah idea bagi menghenti dan mencegah berlaku konflik bersenjata. Ia adalah permintaan Presiden WAY sendiri Y.A.B. Dato’ Seri Idris Haron yang juga merupakan Ketua Menteri Melaka.

Jufitri Joha, Naib Presiden MBM

Jufitri Joha, Naib Presiden MBM

Antara pembentangan yang menarik dalam MIYD kali ini ialah tentang konflik bersenjata yang berlaku di Aceh yang berjaya ditamatkan secara aman. Pembentangan disampaikan oleh Senator Propinsi Aceh Fachrul Razi yang turut terlibat sebagai aktor utama dalam konflik bersenjata Aceh-Jakarta. Beliau berkongsi bagaimana peranan belia sebagai aktor dan mangsa dalam konflik Aceh. Belia Aceh memimpin kepada kebangkitan rakyat Aceh yang menuntut keadilan daripada Kerajaan Pusat kerana Aceh disisihkan daripada sudut ekonomi dan keadilan. Rakyat Aceh kekal miskin dan ketinggalan. Namun hikmah berlaku Tsunami 2004 mempercepatkan proses perdamaian Aceh-Jakarta yang termetrai di Helsinki tanggal 15 Ogos 2005 iaitu 8 bulan selepas Tsunami membadai Aceh. Perdamaian ini membawa belia Aceh meletakkan senjata bersama Gerakan Aceh Merdeka (GAM) dan menyertai semula arus pembangunan Aceh dan sebahagian besarnya berpartisipasi dalam politik kepartaian.

MBM yang diwakili oleh Naib Presiden Jufitri Joha telah membentangkan tajuk Advocacy Role of Youth Organizations in Preventing Armed Conflict. Saudara Jufitri telah memulakan 15 minit bicara dengan berkongsi kejayaan Malaysia menduduki tangga ke 28 dalam Global Peace Index 2015 seperti yang dikeluarkan oleh Institute for Economics and Peace. Walaupun kedudukan Malaysia sedikit terjatuh namun secara relatifnya Malaysia masih aman dan jauh daripada konflik bersenjata. Kejatuhan ini mungkin disumbangkan sebahagian besarnya oleh peristiwa Lahad Datu. Tambahan nota bahawa Malaysia menjadi negara Organization of Islamic Cooperation (OIC) yang teratas dalam Indeks tersebut. Justeru untuk mensyukuri keamanan ini, belia dan masyarakat Malaysia harus memastikan bukan sahaja keamanan Malaysia kekal tapi mereka juga ada tanggungjawab besar untuk memastikan keamanan dunia. Sebarang konflik yang berlaku wajar dihentikan kerana setiap konflik bersenjata yang berlaku sejauh mana pun lambat laun ia akan memberikan kesan kepada Malaysia dan mana-mana kawasan seluruh dunia. Siapa sangka konflik Ukraine-Rusia ribuan kilometer di Eropah akan menyebabkan MH 17 ditembak jatuh dan mengorbankan 298 penumpang dan anak kapal yang tidak berdosa.

Kegagalan masyarakat antarabangsa menghentikan pembunuhan di Rwanda memerlukan peranan masyarakat sivil termasuk pertubuhan belia yang lebih proaktif dan reaktif. Christine Mahoney (2007) ketika mengupas buku Aiding Peace? The Role of NGOs in Armed Conflict karya Jonathan Goodhand menyebut,

“The slaughter of 800,000 people in Rwanda in 1994 marked one example among many during the twentieth century in which genocide occurred and the international community failed to intervene”.

 

Di kala perang saudara Yaman meletus pada Mac 2015 lepas yang mengakibatkan 20 juta rakyat Yaman dalam krisis kemanusiaan, 1 juta menjadi internally displaced people (IDP), dan lebih 2288 terkorban, maka pertubuhan belia mempunyai peranan yang penting untuk dimainkan sama ada untuk menghentikan (to stop) yang bersifat reaktif dan mencegah (to prevent) yang bersifat proaktif bagi berlakunya konflik bersenjata di mana-mana pada masa hadapan. Ini dua peranan yang harus dimainkan oleh pertubuhan belia. Namun persoalannya adalah, apakah cara terbaik bagi pertubuhan belia memainkan peranan ini?

Jawapannya adalah dengan advokasi. Menurut Dato’ Saifuddin Abdullah Mantan Presiden MBM, ada tiga peranan asas pertubuhan belia iaitu menjalankan aktiviti, menganjurkan kerja kebajikan dan memainkan peranan advokasi. Banyak pertubuhan belia lupa memainkan peranan advokasi kerana mereka lebih tertumpu pada dua peranan awal namun MBM sebagai sebuah pertubuhan belia kebangsaan tidak melupakan peranan advokasi penting ini bahkan menekankan peranan ini dalam agenda penjenamaannya MBM in Business (MIB). MIB menekankan peranan advokasi MBM untuk memperjuangkan isu belia, nasional dan antarabangsa.

Secara ringkasnya advokasi membawa maksud,

“…is a political process by an individual or group which aims to influence decisions within political, economic and social systems and institutions. Advocacy can include many activities that a person or organization undertakes including media campaigns, public speaking, commissioning and publishing research or polls or the filing of an amicus brief.” (sumber: Wikipedia)

Secara kesimpulan mudah dalam konteks peranan pertubuhan belia untuk menghenti dan mencegah konflik senjata ini, advokasi membawa maksud bagaimana pertubuhan mempraktiskan skil untuk mempengaruhi pihak-pihak berkuasa terlibat termasuk sebagai contoh pihak yang bertelagah di Yaman, Kerajaan Malaysia dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menghentikan perang dan memainkan peranan aktif untuk menjadi orang tengah menghentikan peperangan. Usaha-usaha advokasi meliputi lobi, serahan memorandum, penulisan, demostransi, kempen, roadshow talk dan lain-lain.

Justeru skil advokasi amat penting untuk dikuasai dan dipraktiskan. Advokasi juga penting sebagai alat pendidikan untuk tujuan pencegahan konflik bersenjata berlaku pada masa hadapan. Bert Berhey (2001) Konsultan Perlindungan Kanak-Kanak menyebut dalam Laporan Child Soldiers, Preventing, Demobilizing and Reintegrating menyebut,

 

“Advocacy is essential to prevention. Advocacy requires persistence and a full range of actions”.

Berdasarkan pengalaman, Jufitri telah berkongsi pengalaman beliau ketika dalam ABIM sebagai salah satu badan gabungan MBM yang aktif sewaktu terlibat mengadvokasi agar-agar Kerajaan-Kerajaan di seluruh dunia untuk menjadi penandatangan Arms Trade Treaty (ATT) yang diusahakan PBB. ATT berfungsi menurut United Nations Office for Disarmament Affairs (UNODA) sebagai,

“…regulating the international trade in conventional arms – from small arms to battle tanks, combat aircraft and warships – entered into force on 24 December 2014”.

Hasil advokasi berterusan ABIM bersama pertubuhan agama-agama seluruh dunia seperti Swedish Fellowship of Reconciliation (SweFOR) mengumpul tandatangan pemimpin dan pertubuhan agama seluruh dunia dalam dokumen penting Interfaith Declaration in support of ATT sebagai komitmen bersama untuk mengingatkan Kerajaan-Kerajaan mereka agar peka terhadap isu ini dan menyokong ATT maka ATT telah ditandatangani oleh 130 buah negara dan 69 buah negara telah meratifikasinya. 154 negara telah menerima pakai ATT dan hanya 3 negara menolak manakala 23 berkecuali. Itulah sebahagian kecil usaha yang dilaksanakan oleh pertubuhan belia namun yang penting adalah usaha yang jauh lebih baik daripada tidak berbuat apa-apa.

Jufitri turut berkongsi pengalaman dan peranan pemimpin dan pertubuhan belia menggunakan skil advokasi untuk menghentikan perang di Syria yang meletus semenjak 15 Mac 2015. Walaupun gagal untuk menghentikan perang sehingga kini namun usaha tetap diteruskan dengan pelbagai cara termasuk siri demonstrasi di hadapan Kedutaan Syria di Kuala Lumpur, serahan memorandum, flashmob, penulisan, kempen di media sosial, dan penubuhan badan kemanusiaan Malaysia Life Line for Syria (MLLFS).

Pengalaman untuk mencegah konflik sama ada bersenjata atau tidak turut dikongsikan seperti usaha interfaith engagement melalui Friendship Group for Interfaith Service (FGIS), latihan bermodul Young Ambassador for Peace yang dikelolakan oleh Commonwealth Youth Programme (CYP), penyebaran kefahaman kesederhanaan melalui kerjasama Global Movement of Moderates (GMM) dan aktiviti kepimpinan kesukarelawanan dan keamanan MyCorps.

Jufitri mengakhiri pembentangan dengan mengingatkan peserta MIYD bahawa usaha yang kecil tetapi jika dibuat bersama akan lambat laun memberikan kesan besar seperti Kapal Mavi Marmara yang memecahkan rantai belenggu Zionis terhadap Gaza dan BDS Movement yang memberikan kesan kepada ekonomi Israel dengan menggerakkan kempen memboikot produk-produk Israel. 92 anggota tetap WAY dan 38 badan gabungan MBM jika bersatu hati, fikrah dan aksi mencegah konflik bersenjata maka tidak mustahil akan menyumbang kepada masa depan keamanan dunia seperti kata Jody William Penerima Nobel Peace Laureate dan Aktivis Anti Periuk Api, Together We Are Superpower!