MAJLIS BELIA MALAYSIA

Jadilah pemberi

Sebilangan besar rakyat Malaysia masih memperkatakan kesanggupan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pergi ke Gaza untuk melihat sendiri penderitaan rakyat Palestin. Tempoh enam jam dimanfaatkan sepenuhnya beliau untuk mendapatkan gambaran sebenar sebuah konflik kemanusiaan yang berlaku begitu panjang tanpa penghujungnya.

Komitmen Perdana Menteri adalah kemuncak rentetan pelbagai usaha rakyat Malaysia yang sejak dulu tidak pernah berkurangan walaupun konflik itu didalangi kuasa besar yang sentiasa melindungi sebuah rejim ganas dan tidak berperikemanusiaan.

Suatu mesej penting yang sempat penulis dengar sewaktu ucapan Perdana Menteri sekembalinya dari Gaza ialah betapa pentingnya rakyat Palestin bersatu padu untuk menyuarakan dan mempertahankan tanah airnya sendiri. Dengan maksud jelas, parti Hamas dan Fatah mesti bersatu melupakan konflik dalaman serta perbezaan ideologi dan menumpukan kepada musuh utama iaitu Israel. Mesej Perdana Menteri ini juga sebenarnya terpakai kepada keseluruhan rakyat Malaysia yang mesti bersatu dan mengutamakan fokus kepada menghadapi ‘musuh’ negara seperti ancaman ekonomi, aktiviti subversif luar, jenayah terancang serta gejala sosial.

Sedia pertahan negara Semua rakyat mesti menunjukkan kesediaan untuk hidup dan mati bersama mempertahankan negara ini pada erti kata sebenar. Bukan sekadar pada slogan dan kulit semata-mata.

Lebih malang lagi terdapat individu yang bertindak memburuk-burukkan negara semata-mata mahu dilihat sebagai hero dan pejuang pada peringkat antarabangsa. Tahun 2013 yang diisytiharkan sebagai ‘Tahun Kesukarelaan’ bagi negara ini adalah satu seruan tegas kerajaan yang mahukan rakyat Malaysia mengutamakan negara dan masyarakat berbanding diri sendiri. Terdapat pertanyaan dilontarkan adakah rakyat Malaysia masih tidak cukup pemurah? Kalau diikutkan ada banyak kejayaan serta usaha murni yang dilaksanakan oleh negara ini seperti menyertai pasukan pengaman anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), penyertaan misi sukarela dan bantuan bencana ke seluruh dunia.

Hakikatnya ia masih belum mencukupi. Pembabitan rakyat kita dalam usaha kesukarelaan di peringkat antarabangsa sebenarnya banyak diusahakan kerajaan dan jika ada pembabitan NGO adalah secara sementara dan bermusim.

Ia bergantung kepada beberapa faktor antaranya kejadian atau peristiwa tercetus yang memerlukan perhatian seperti bencana tsunami dan gempa bumi. Satu lagi faktor penentu ialah keupayaan sumber serta kewangan. Dalam kajian ‘World Giving Index 2012 oleh Charities Aid Foundation’ menunjukkan Malaysia masih berada pada tahap rendah dalam tiga aspek dikaji iaitu i) kesanggupan meluangkan masa untuk kerja sukarela, ii) memberikan wang untuk orang lain, dan iii) bersedia membantu orang lain yang bukan sewarganegara.

Walaupun terdapat sedikit peningkatan dalam kedudukan ranking berkenaan berbanding tahun sebelumnya, namun pencapaian ini masih belum boleh membanggakan kerana negara berdekatan yang mungkin dianggap secara relatif agak ‘kurang makmur’ seperti Indonesia dan Filipina sudah berada di tangga lebih atas dalam kalangan negara Asia Tenggara bagi penilaian yang sama. Justeru, Majlis Belia Malaysia (MBM) melihat ia satu cabaran besar harus digalas bersama khasnya oleh belia negara ini. Kini tibalah masanya untuk kita menjadi pemberi yang sebanyak-banyaknya. Amatlah memalukan apabila terdapat anak muda pada usia pertengahan 20-an masih tiada pengalaman terbabit dalam kerja sosial.

Khidmat kerja sosial Penulis amat jengkel sekiranya sewaktu meneliti resume lepasan universiti yang sedang beriya-iya mencari kerja, namun tiada langsung catatan pembabitan beliau dalam khidmat kerja sosial.

Jika penulis sebagai majikan, pasti orang seperti ini akan tiada tempat untuk mereka diambil bekerja. Alasannya, kerana tiada jaminan orang seperti ini akan memberi sumbangan balik kepada masyarakat apabila mereka berkerjaya kelak.

Menjadikan setiap rakyat Malaysia sebagai sukarelawan umpama menyiapkan mereka sebagai pejuang yang akan mempertahankan negara seolah-olah peperangan akan terjadi bila-bila masa.

Kerajaan tidak akan mampu menciptakan semua pembangunan kepada rakyat tanpa rakyat juga bangun mengerah tenaga.

Jadilah orang yang memberi sebanyak-banyaknya kepada negara yang kita cintai ini kerana hakikatnya sudah terlalu banyak negara berikan kepada kita. Penulis Presiden MBM berkelulusan Sarjana Pendidikan (Bimbingan dan Kaunseling) USM

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »