Nakba: 67 Tahun Palestin Menderita, Iktibar Buat Belia Malaysia

15 Mei yang lepas genap 67 tahun, Palestin dicerobohi dan dijajah oleh Rejim Zionis. Bagi kita, 15 Mei adalah hari bergembira buat belia Malaysia kerana belia diraikan oleh Kerajaan Malaysia bagi mengangkat generasi muda serta meraikan bakat dan kepentingan kelompok aset terpenting negara ini. Di Palestin lain pula ceritanya kerana belia dan warga Palestin terus menderita di bawah cengkaman kuku besi pemerintahan zalim Zionis. Mereka masih terus terkial-kial mencari kemerdekaan hakiki namun yang dipuji semangat juang mereka yang tinggi melawan ketidakadilan dan kekejaman. Belia Malaysia bertuah kerana hidup di Negara yang aman namun keamanan yang tidak disertai dengan penghayatan kemerdekaan dikhuatiri akan membuaikan lagu kealpaan yang membawa Negara dijajah semula oleh penjajahan bentuk baru. Artikel ini bertujuan mengingatkan Belia Malaysia tentang peristiwa duka ini dikala kita bergumbira dengan Hari Belia Negara dan Festival Belia Putrajaya. Biarlah kita raikannya dengan penuh keinsafan bahawa ketika kita bergembira ada juga yang berduka di sana.

https://bsnews.info

https://bsnews.info

Yahudi berfahaman ekstremis akan terus mendakwa bahawa sejarah 3000 tahun yang lampau membuktikan bahawa mereka adalah penduduk asal Palestin dan satu-satunya kaum yang layak tinggal di bumi bertuah itu tanpa meraikan kepelbagian. Tanpa menafikan Yahudi yang berfahaman sederhana yang meraikan kepelbagaian seperti Miko Peled, anak kepada Jeneral Israel sendiri namun pentadbiran Tel Aviv akan terus didominasi oleh parti yang beraliran ekstrem seperti Netanyahu yang mahu rakyat Palestin terus lenyap dari muka bumi Palestin. Ramai Yahudi di seluruh dunia termasuk dari Amerika yang berhijrah ke bumi yang disebut sebagai “promising land” ini kerana mahu tinggal dekat dengan syurga di dunia.

15 Mei 1948 disebut sebagai Hari Malapetaka atau Nakba Day bagi rakyat Palestin di mana Zionis melancarkan pembersihan etnik terhadap 750 000 orang Palestin iaitu tiga perempat populasi rakyat Palestin. Nakba merupakan rentetan berdarah daripada peristiwa Kampung Deir Yassin di mana komando Zionis yang diketuai Menachem Begin menyerang dan merampas Kampung Deir Yassin ini yang dihuni oleh 750 orang rakyat Palestin pada 9 April 1948.

Rejim Zionis pernah satu ketika melalui wakilnya ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) membantah penggunaan perkataan Nakba yang digunakan oleh Ban Ki Moon Sekjen PBB dalam kenyataan rasminya pada ketika itu. Danny Carmon Timbalan Duta Israel ke PBB mendakwa penggunaan Nakba adalah alat propaganda Arab untuk meremehkan dan menafikan keabsahan kewujudan Rejim Tel Aviv, oleh itu PBB tidak patut menggunakan istilah tersebut.

Ini merupakan sindrom kedegilan Rejim Zionis yang berterusan membuli rakyat Palestin di arena antarabangsa. Tidak cukup di arena antarabangsa Zionis terus membuli rakyat Palestin dengan meluaskan penempatan haram yang mengikis sedikit demi sedikit tanahair rakyat Palestin. Kedegilan dan kekejaman Zionis ini telah membuka mata dan simpati dunia terhadap rakyat Palestin ini. Kemuncak kepada kemarahan masyarakat dunia apabila Komando Zionis mengepung dan menyerang rombongan kapal kemanusiaan Mavi Marmara yang mahu memecahkan sekatan bagi menghantar bantuan kemanusiaan ke dalam Gaza pada 2010. Kejadian itu menyebabkan 9 sukarelawan Turki terbunuh dan Syahid, beberapa aktivis tercedera dan mereka ditangkap. Sikap biadab ini terus menyerlahkan warna sebenar Rejim Zionis di mata dunia.

Pengiktirafan Palestin sebagai sebuah Negara terus mendapat sokongan dan dokongan dunia termasuk majoriti besar Negara-Negara di Kesatuan Eropah dan Amerika Latin. Malaysia juga antara Negara yang konsisten mendokong perjuangan Palestin dan peluang sebagai Anggota Tidak Tetap Majlis Keselamatan PBB diyakini akan digunakan sebaiknya untuk terus membela nasib Rakyat Palestin. Usaha Kerajaan mengiktiraf kewujudan Pergerakan Resistance Palestin (HAMAS) sebagai pemerintah sah di Gaza dan Kedutaan tidak rasminya di Kuala Lumpur iaitu Palestine Cultural Organization Malaysia (PCOM) merupakan langkah terpuji dan harus dipertahankan.

Di Peringkat Majlis Belia Malaysia (MBM), usaha merapatkan hubungan antara Belia Malaysia dengan Belia Palestin wajar diperkukuhkan sebagai usaha solidariti mendokong perjuangan rakyat Palestin yang tertindas. Palestin bukan hanya isu belia Islam tapi ia merupakan isu kemanusiaan sejagat yang memerlukan dokongan perhatian belia Malaysia merentas kaum dan agama. Di Palestin juga ada belia Kristian yang hidup tertindas dan mereka bangun melawan kezaliman Zionis. Di Palestin juga ada belia Yahudi yang tidak setuju dengan polisi jahat Zionis yang bangun melawan ketidakadilan ini. Justeru isu Palestin adalah isu untuk semua Belia Malaysia bahkan belia dunia.

Kerjasama MBM lebih erat dengan Kedutaan Palestin di Malaysia dan PCOM dipercayai boleh memberikan sokongan moral kepada Belia Palestin khususnya yang belajar dan bekerja di Malaysia. MBM juga yakin bahawa isu Palestin merupakan isu yang penting untuk dijadikan iktibar oleh Belia Malaysia bahawa bernilainya nikmat keamanan dan betapa penting peranan Belia dan Rakyat Malaysia berperanan bagi menamatkan konflik berdarah Palestin-Israel kerana keamanan dunia secara keseluruhannya bergantung kepada keamanan di Asia Barat ini. Jika aman Asia Barat maka sebahagian besar dunia akan menikmati keamanan sejati. Belia Malaysia mahu menjadi penyumbang kepada keamanan dunia dan bukan hanya sebagai pemerhati.

Oleh: JUFITRI BIN JOHA,

Naib Presiden MBM &

Pengerusi JK Pendidikan MBM