MAJLIS BELIA MALAYSIA

Tidak perlu sertai IS untuk jihad

KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan menawarkan platform kepada anak muda di negara ini untuk berjihad tanpa mengangkat senjata seperti militan IS di Syria.

Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, program sukarelawan kebajikan peringkat antarabangsa, MyCorps menjadi platform terbaik untuk golongan muda membantu di negara-negara luar dalam pelbagai bidang.

“Kita tukar program MyCorps bagi anak muda secara sukarela…pergi cari negara lain yang lagi miskin dari negara ini untuk buat kerja kemasyarakatan supaya mereka tidak sertai IS untuk ubah dunia. Tak payah masuk IS. Boleh berjihad melalui MyCorps.

“Berkampung di sana. Membantu dari segi pendidikan.. menjadi seorang guru, membantu dari segi prasarana…tidak ada air dan sebagainya, masalah perubatan…jadi doktor di kawasan tersebut. Kita urus dengan baik, jangan buat macam Bakti Siswa,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada program Himpunan Menangani Gejala Ekstremisme dan Solidariti Kemanusiaan Syria, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau menyebut keislaman seseorang tidak dinilai semata-mata dengan kesanggupan mengorbankan nyawa sendiri sambil mengambil nyawa orang lain.

“…naratif utama belia menyertai IS adalah kerana Islam dan agama. Tidak Islamlah seseorang itu jika dia tidak membantu umat Islam yang kesusahan hinggakan pendekatannya tidak lagi diherankan.

“Namun adakah kita patut nilai keislaman seseorang itu semata-mata dengan kesanggupan mengorbankan nyawa sendiri sambil mengambil nyawa orang lain?” katanya.

Katanya, surat 18 mukasurat yang ditandatangani lebih 120 pemikir Islam seluruh dunia September lalu menegaskan betapa kekejaman dan keganasan IS tiada tempat dalam Islam.

“Islam menghalang pembunuhan manusia tidak berdosa dan menghalalkan perang sebagai sebuah pertahanan, bukan serangan.

“Kesimpulannya mudah, IS telah menyalahanggap Islam sebagai sebuah agama keganasan, agama kekasaran, agama pembunuhan,” katanya.

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »